Sukarnya pembangkang hendak berpakat

pakatan

Minggu lalu, secara rasminya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai Pakatan Harapan (PH). Dengan ini, gabungan itu mempunyai 4 anggota, termasuk PKR, Amanah dan DAP.

Ia menjadi bersejarah kerana kedua-dua tokoh ikon PPBM dan PKR, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah bersama-sama memimpin negara ini.

PH ditubuhkan tahun lalu bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang bubar akibat perseteruan DAP dan PAS. Perpecahan Pakatan Rakyat ini juga membawa kepada perpecahan PAS yang melahirkan Amanah.

Ketiadaan PAS menyebabkan kedudukan PH tidak sekuat Pakatan Rakyat. Amanah yang menggantikan PAS adalah parti lebih kecil. Sementara PBBM juga adalah parti baharu walaupun mempunyai tokoh hebat.

Namun begitu PH lebih tersusun berbanding Pakatan Rakyat walaupun ia akan menghadapi saingan daripada PAS yang dijangka memecah undi pembangkang dalam pilihan raya akan datang, dan selanjutnya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Pemecahan Pakatan Rakyat dan PAS merupakan strategi BN selepas pilihan raya tahun 2008.

Ketika mula Pakatan Rakyat ditubuhkan, ia berada dalam keadaan kuat. Anwar yang mengumumkan penubuhannya masih bebas dan dapat menyatukannya. Mursyidul Am PAS ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bukan saja menyatukan partinya tetapi juga komited terhadap kerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Pada masa itu Pakatan Rakyat memerintah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan.

Tetapi kekuatan Pakatan Rakyat terhakis bermula dengan kelemahan ahli dewan undangan negeri DAP dan PKR di Perak yang akhirnya menjatuhkan kerajaan negeri mereka. Ia diikuti dengan krisis perpecahan dalaman PAS Selangor dan PAS Kedah. Di Selangor, ia menyaksikan terkeluarnya Datuk Dr Hassan Ali.

Pakatan Rakyat ditubuhkan setelah parti yang menentang BN memenangi 5 negeri dan menafikan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum tahun 2008. Parti-parti itu ialah PKR, DAP dan PAS, sementara Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertanding atas tiket PKR.

Gabungan ini hanya sempat menghadapi sekali pilihan raya umum iaitu pada tahun 2013. Dalam pilihan raya itu, ia kehilangan Kedah dan gagal memenangi semula Perak. Negeri Pakatan Rakyat tinggal 3 iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Dalam pilihan raya 2013, Pakatan Rakyat memperlihatkan suasana tidak sekatanya. Terdapat 2 tempat di mana berlaku pertandingan PAS menentang calon Pakatan Rakyat yang menggunakan lambang PKR.

Di Kota Damansara, calon Pakatan Rakyat diwakili oleh PSM yang bertanding atas tiket PKR ditentang oleh PAS. Akibatnya, BN yang memenangi pertandingan 3 penjuru itu.

Pakatan Rakyat terus menghadapi perpecahan apabila PKR melaksanakan “Langkah Kajang” pada 2015 yang bertujuan untuk menggantikan menteri besar Selangor ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dengan Anwar.

Usaha itu tidak kesampaian apabila Anwar didapati bersalah dan dihukum penjara. Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudian menggantikan suami beliau dalam Langkah Kajang, tetapi akhirnya beliau tidak dapat juga menjadi Menteri Besar.

Sebaliknya ia bukan saja membawa pergeseran dalam Pakatan Rakyat iaitu antara PKR dan PAS, tetapi juga di kalangan dalaman kedua-dua parti itu. Ini kerana PAS menyokong Khalid dan akhirnya yang menjadi menteri besar ialah Datuk Seri Azmin Ali.

Proses terungkainya Pakatan Rakyat bermula apabila Nik Aziz meninggal dunia dan jawatan beliau diambil alih Datuk Haron Din. Ekoran itu berlakulah pertelingkahan antara PAS dan DAP yang membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat diikuti dengan perpecahan PAS yang menghasilkan Amanah.

Daripada situlah PKR, DAP dan Amanah menubuhkan Pakatan Harapan.

Undi disia-sia

Segala pergolakan dalam parti-parti pembangkang ini mendatangkan kekecewaan pada pengundi mereka. Harapan besar pendokong pembangkang dipunahkan dengan gelagat politik para pemimpinnya.

Sebagai pihak pembangkang yang hendak menumbangkan parti kerajaan, mereka perlu idealisme dan etika lebih tinggi. Jika tidak, rakyat akan berasa undi mereka dipersia-siakan.

Bagaimanapun, ketika Pakatan Harapan tidak sekuat Pakatan Rakyat, berlaku pula krisis dalaman Umno akibat isu 1MDB. Isu ini melarat hingga membawa kepada penubuhan PPBM. Maka dalam ketiadaan PAS dalam Pakatan Harapan, penyertaan PPBM menambahkan kekuatan pakatan itu.

Sebagai parti baharu, PPBM tidaklah sekuat PAS, apatah lagi bila dibandingkan dengan Umno. Lebih-lebih lagi selama ini Pakatan Rakyat banyak juga memperoleh manfaat jentera pilihan raya PAS. Ditambah pula dengan jentera PAS yang lebih kemas daripada PKR dan DAP.

Kedua-dua PPBM dan Amanah adalah parti baharu dan kecil yang tidak dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh PAS.

Sehingga ini, dapat dilihat bahawa PAS lebih mesra dengan Umno berbanding ketika ia berada dalam Pakatan Rakyat.

Jika keadaan sekarang berterusan, maka kemungkinan pula akan berlaku pertandingan 3 penjuru iaitu BN, PH dan PAS. Apabila keadaan ini berlaku, ia lebih menguntungkan BN daripada PH.

Namun begitu, Pakatan Harapan bukanlah tiada harapan. Kempennya mungkin lebih ditujukan terus kepada rakyat. Ini supaya rakyat secara langsung boleh memberi undi kepada Pakatan Harapan walaupun jenteranya tidak sekemas BN dan PAS.

Walaupun baharu dan kecil, kemampuan PPBM dan Amanah tidak boleh diperkecilkan dengan begitu saja. Kedua-dua parti itu dipimpin dan digerakkan oleh orang berpengalaman yang pernah memberi sumbangan besar kepada parti lama masing-masing iaitu Umno dan PAS.

Namun begitu, selain daripada kekuatan politiknya, apa yang perlu diambil kira ialah inti perjuangan bukan saja PPBM dan Amanah, tetapi juga PH sendiri.

Setiap parti dalam PH mempunyai fahaman politik masing-masing. DAP mempunyai fahaman sosialisme demokratik. PPBM adalah parti nasionalisme Melayu. Amanah pula parti berfahaman Islam. Sementara PKR membawa fahaman demokratik liberal. Tetapi PH secara keseluruhannya memegang fahaman bahawa Malaysia boleh menjadi lebih baik jika mereka yang mentadbir. Atas anggapan BN gagal mentadbir negara, maka sebab itu mereka bangkit bertindak menjadi pembangkang dan mencabar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

Dari sudut lain, PH merupakan sebahagian daripada tradisi parti pembangkang negara ini untuk bekerjasama bagi mencabar parti kerajaan yang sejak kemerdekaan didominasi oleh gabungan politik pimpinan Umno dalam bentuk Perikatan dan BN.

Sebelum Pakatan Rakyat, gabungan yang ditubuhkan oleh parti pembangkang ialah Barisan Alternatif, bermula pada 1999. Sebelum itu, ada Angkatan Perpaduan Ummah dirangkaikan dengan Gagasan Rakyat yang ditubuhkan pada 1990.

Gabungan itu didahulukan pula oleh Harakah Keadilan Rakyat (HAK) yang ditubuhkan pada 1986. Pakatan paling awal yang ditubuhkan di negara ini ialah Front Sosialis Rakyat Malaya (SF) iaitu pada 31 Ogos 1957, hari kemerdekaan negara.

Semua ahli politik tahu bahawa bersatu teguh, bercerai roboh, dan bersekutu bertambah mutu yang merupakan cogan kata pada jata negara.

Cara hendak menang ialah bersatu dan pecahkan pihak lawan. Tetapi pada realitinya, untuk bersatu amat sukar, terutama di kalangan pihak pembangkang.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.