Jom solat?

solat

Murid yang mengikuti pendidikan Islam di sekolah negara kita kerap mendengar ungkapan “sembahyang itu tiang agama”.

Banyak masa diluangkan dalam kelas untuk mengajar selok belok sembahyang dan juga fadhilatnya.

Sememangnya, sembahyang – atau kini dipanggil dalam bahasa Arab asalnya sebagai “solat” – merupakan amalan baik, tetapi adakah kita mengambilnya dengan “mindset” (pemikiran atau minda) yang betul?

Saya terbeliak mata tempoh hari apabila terbaca tentang pementasan teater “Jom Solat”.

Namun begitu, bila difikirkan kembali, mengapa saya terkejut sangat? Rancangan “Tanah Kubur” sudah lama tersiar dan ada beberapa episod yang memfokuskan kepada solat juga. Imaginasi penulis Tanah Kubur memang tiada tolok bandingnya sampai tidak memerlukan sebarang dalil untuk menghukum pesalah tiap-tiap minggu.

Tetapi saya tidak pernah mendengar tentang teater muzikal Jom Solat. Mengikut laman Facebooknya, ia mengisahkan sekumpulan kanak-kanak yang sering mengabaikan solat yang kemudiannya sedar setelah melalui pengalaman yang menginsafkan.

Soalan yang saya ingin ajukan kepada penulis, pengarah dan penerbit teater ini ialah, apakah mesej yang ingin dibawa kepada penonton kanak-kanak dan dewasa?

Adakah mesejnya, jika kita amalkan solat, semua masalah hidup akan selesai? Adakah itu yang disampaikan oleh ajaran Islam?

Adakah kita mengamalkan solat dalam ertikata sebenar, iaitu dalam rangka kerja yang dilukiskan Al-Quran, ataupun adakah kita “mengkultuskan” solat?

“Kultus” adalah terjemahan perkataan Bahasa Inggeris “cult”, merujuk kepada sebuah organisasi tertutup dan terputus daripada realiti kehidupan seharian.

Sesebuah kultus memerlukan adat dan upacara mereka sendiri untuk menjadi ekslusif, dan setiap ahli perlu mematuhinya.

Adakah pengagihan agama di Malaysia suatu pengkultusan?

jom-solat

Ibadah dan trend solat

Lihat sahaja kelas dan kuliah agama. Kebanyakannya mencipta ruang yang asing daripada kehidupan. Ruang ini dipanggil “ibadah”. Para ustad mengajar murid mereka (termasuk yang dewasa) tentang ibadat yang afdal bagi mereka.

Salah satu ibadat yang menjadi “trend” sekarang ialah sembahyang sunat dhuha. Saya diberitahu, sembahyang ini, walapun bukan fardu, adalah sunat mu’akad, iaitu sunat yang sangat-sangat dituntut. Sembahyang dhuha mempunyai surah pilihan seperti Ash-Shams and Adh-Dhuha dan juga mempunyai doa pilihan, dengan harapan boleh membuka pintu rezeki.

Tak kurang juga bacaan yang disarankan para ustad supaya menjadi bacaan umat Islam untuk meleburkan dosa dan sebagainya.

Ada pula yang menghafal 10 ayat pertama Surah Al-Kahf ataupun keseluruhan Surah Al-Mulk. Adakah mereka memahami hafalan mereka? Biasanya tidak, tetapi itu tidak penting.

Apa yang penting ialah mereka meratib firman Allah dengan bacaan yang betul.

Kanak-kanak Islam diajar yang sembahyang itu tiang agama. Tetapi tiang bangunan bukan matlamat sesebuah bangunan itu, sebaliknya matlamat bangunan ialah sebagai tempat berteduh.

Begitu juga, sembahyang mengekalkan hubungan kita dengan Allah, tetapi itu bukan matlamatnya. Sebaliknya, matlamatnya ialah mengekalkan hubungan dengan Allah supaya agama diperkasakan dalam kehidupan kita.

Solat betul tapi masih lakukan mungkar

Al-Quran sebenarnya menekankan solat yang membawa kepada keadaan dalaman yang tunduk kepada Tuhan, supaya tingkah laku kita lebih selari dengan saranan Tuhan. Ayat-ayat seperti 19:58-60 dan 29:45 adalah contoh.

Bandingkan masyarakat Melayu Islam dengan ayat-ayat tersebut. Melayu Islam amat menekankan solat dan perlakuan solat dengan cara yang betul. Tetapi, berapa ramai daripada agamawan yang bercakap mengenai budaya rasuah and kronisme?

Parti politik berteraskan agama pun kini tidak banyak bercakap masalah ini.

Tetapi menurut ayat 29:45, solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Bagaimana pula masyarakat Melayu Islam boleh parah dengan kemungkaran sedangkan mereka tidak meninggalkan solat?

Di sini, kita patut bertanya, adakah hanya solat dan ritual Islam itu dikira ibadah? Dalam sistem falsafah syariah, hukum terbahagi kepada “ibadah” and “mu’amalah”. Ibadah berkait dengan ritual termasuk solat, mu’amalah pula berkait perhubungan sesama manusia.

Al-Quran tidak membezakan keduanya. Apa jua tindakan kita untuk mendapat keredhaan Tuhan, adalah ibadah. Perkataan mu’amalah pun tiada dalam Al-Quran!

Solat itu sebenarnya tidak boleh dipisahkan daripada semua perlakuan dalam kehidupan manusia.

Di sinilah sebenarnya masalah kita. Kita hanya pandang kepada yang zahiriyah (luaran) tetapi melupakan batiniyah (dalaman). Sepatutnya, kita mengajar anak kita tentang keadaan dalaman (internal states) yang patut mereka alami semasa solat. Fahaman ini boleh datang dengan mengajar mereka memahami ayat yang mereka baca.

Dengan cara ini, solat tidak akan diperlekehkan dan kesannya boleh membawa kepada transformasi diri.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.