Ada apa pada nama? Harimau Malaya atau Malaysia

harimau-malaya

Oleh Firdani Adam

Setahun dahulu, gelaran “Harimau Malaysia” mula kedengaran. Ia merujuk kepada pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai “Harimau Malaya”.

Tahun ini, gelaran itu dikembalikan, untuk sedikit sebanyak menimbulkan ruang perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagi kebanyakan peminat bola sepak Malaysia, mereka mahukan gelaran Harimau Malaya digunakan namun bagi sebahagian yang lain, mereka lebih suka dengan gelaran Harimau Malaysia.

Dua nama yang berbeza bagi satu entiti yang sama.

Asal usul Harimau dan Malaya

Merujuk kepada nama itu sendiri, Harimau dan Malaya membawa makna yang saling berkait rapat.

Harimau Malaya merujuk spesis harimau yang hanya terdapat di semenanjung Malaysia, atau Panthera Tigris Jacksoni dalam bahasa latin. Ia diancam kepupusan dan diklasifikasikan oleh Tabung Alam Sedunia (WWF) sebagai haiwan yang “sangat terancam” (critically endangered).

Daripada sudut sejarahnya, Harimau Malaya diambil daripada jolokan yang diberikan oleh Presiden Indonesia, Sukarno kepada seorang pemain pasukan bola sepak Malaya pada 1953, Abdullah Mohd Don, atau Dollah Don.

Dollah Don adalah anak kelahiran Johor yang bermain dalam posisi penyerang dalam pasukan Malaya.

Kagum dengan kehebatan permainan Dollah Don yang menyumbang 3 gol hatrik 3 ketika menentang pasukan Indonesia, Sukarno menggelarnya Harimau Malaya.

Kehebatan Dollah Don menjadi penaik semangat pasukan Malaya dan seterusnya pasukan Malaya dikenali sebagai Harimau Malaya hingga tahun 2016.

Nilai Malaysia

Penukaran nama Harimau Malaya menjadi Harimau Malaysia pada 2016 rata-rata disambut baik oleh peminat bola sepak Malaysia terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Konotasi “Malaysia” membawa makna kesatuan, kesepaduan, kebersamaan yang menyemarakkan lagi semangat keMalaysiaan.

Sebelum ini, jika pasukan Malaysia menang dalam perlawanan bola sepak peringkat antarabangsa, nama yang naik hanyalah Harimau Malaya, namun apabila tewas, gelaran Malaysia digunapakai. Ia menimbulkan sentimen seakan-akan yang baik itu hanya diraih oleh orang Malaya (Semenanjung) manakala yang buruk itu, semua sama-sama menanggung. Perasaan diketepikan itu wujud sehinggakan ada pihak yang tidak bertanggungjawab menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka.

Malaysia atau Malaya?

Bagi peminat bola sepak tegar Malaysia, nama pasukan bukanlah satu isu besar yang perlu diambil peduli. Mungkin mereka kurang memahami sensitiviti yang dirasakan oleh sebahagian warga Sabah dan Sarawak terhadap konotasi Malaya-Malaysia dan mungkin ada juga yang menganggap ia sekadar sandiwara politik pihak tertentu yang selayaknya diendahkan sahaja.

Ketika masyarakat di semenanjung meraikan kejayaan pasukan kebangsaan, senario yang sama juga berlaku di Sabah dan Sarawak.

Tetapi kejayaan itu disulami dengan rasa terkilan. Bagi mereka, jolokan Harimau Malaya yang digunakan tidak mencerminkan keseluruhan Malaysia. Kerana itulah Harimau Malaysia adalah lebih tepat bagi mereka.

Agen penyatuan

Apakah penukaran nama pasukan memberi impak kepada prestasi pemain atau memberi cacat cela kepada pasukan Malaysia?

Itu antara persoalan yang diungkapkan oleh mereka yang memilih “Malaysia” sebagai gelaran pasukan. Namun, itu cuma sekadar sentimen yang hanya mampu dibicarakan sesama mereka yang berkongsi pendapat yang sama, tidak tular di media sosial sebagaimana isu remeh temeh yang sentiasa kita hadapi.

Tegasnya, ia bukanlah isu politik. Ia lebih besar daripada politik. Sebagai warga Sabah dan Sarawak yang berjiwa besar, usah ambil peduli dengan isu pertukaran nama ini dan usah pula dikaitkan dengan isu politik dan sebagainya.

Anggaplah ia sebagai merujuk nama spesies Harimau Malaya ataupun sebagai mengambil semangat Dollah Don.

Kita cuma mengharapkan yang terbaik buat Malaysia yang dicintai dan meneruskan perjuangan di medan masing-masing demi masa depan Malaysia yang gemilang.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.