Hadi, contohilah Ibu Hadi

Rosmaya-Hadi-awanghadiOleh Tariq Ismail

Berdasarkan laporan Bloomberg bertarikh 4 April berkenaan kaedah luarbiasa yang digunapakai oleh timbalan gabenor Bank Indonesia untuk menangani inflasi, saya tergerak menyarankan ianya sesuatu yang patut dicontohi rakyat Malaysia amnya dan Ahli Parlimen kita khususnya.

Laporan tersebut menyatakan bahawa Ibu Rosmaya Hadi telah bekerja erat dengan pemimpin-pemimpin agama di akar umbi untuk menyebarkan gerakan supaya jangan berbelanja melampaui batas dan supaya tawar-menawar dalam pembelian seharian. Ibu Hadi mengaku bahawa rakyat di akar umbi kemungkinan takkan dapat memahami pesanan teknikal dari bank pusat, tetapi berkemungkinan akan mendengar kata pemimpin setempat yang lebih berpengaruh.

Pokoknya, laporan ini mengenengahkan bahawa Kesederhanaan adalah suatu sikap yang diunjurkan Islam. Dalam konteks ini, semenjak beberapa tahun yang lalu, terdapat gerakan mengarah kepada Wassatiyah.

Tetapi secara praktiknya, rakyat Malaysia masih lagi berperangai sebaliknya, seringkali bersikap tidak bertanggungjawab dan menyorok disebalik bangsa dan agama untuk mengabdikan minda rakyat. Wassatiyah sepatutnya tidak digunakan untuk menakutkan rakyat agar patuh kepada pihak berkuasa.

Bukankah Wassatiyah suatu pentas bagi mendengar keluh kesah rakyat menggunakan akal fikiran tanpa beremosi? Bukankah Wassatiyah melibatkan pengakuan bersalah? Bukankah Wassatiyah suatu cara untuk mengambil balik tanggungjawab, menerima tanggungjawab dan bertanggungjawab memastikan hak sivil seluruh rakyat Malaysia terpelihara?

Cuba kita lihat pada RUU 355 yang secara asasnya suatu rang undang-undang yang mulia niatnya tapi terlalu menjangkau ke langit. Atas kertas, sememangnya ia nampak baik. Tetapi seringkali, secara praktiknya, suatu undang-undang menjadi bermasaalah apabila manusia menyalahtafsir dan menyalahertikan undang-undang tersebut.

Secara asasnya juga, ianya hanya menangani sebahagian kecil undang-undang Shariah, iaitu berkenaan hukuman kerana tidak patuh kepada cara hidup Islam. Tetapi ianya tidak membantu menangani isu pra-syarat bagi undang-undang tersebut bahawa masyarakat harus dibelai dan dijaga agar dapat membina suasana dan cara hidup yang menggalakkan perkembangan masyarakat yang Islamik. Inilah isu-isu asas termasuk pendapatan dan kekayaan, juga keadilan sosial untuk wanita, kanak-kanak, anak-anak yatim dan orang-orang tua.

Jika ini hakikatnya, bagaimanakah hendak kita tegakkan keadilan apabila bahagian kecil undang-undang Shariah ini dilaksanakan ke atas rakyat Malaysia? Bagaimanakah rakyat Malaysia, akan dijamin hak mereka jika mereka tidak mampu mendapatkan khidmat guaman, berbanding seseorang yang mampu?

Mari kita ketepikan hal-hal politik. Saya ingin mengajak semua MP beragama Islam supaya menimbang semula RUU 355 dengan teliti.

Pertimbangkan semula, adakah sistem kehakiman dan mahkamah Malaysia bersedia dari segi mental, fizikal dan kewangan untuk menguatkuasakan undang-undang ini? Saya rasa tidak.

Gaji untuk mereka yang berkhidmat di Mahkamah Syariah masih lagi rendah daripada mereka di Mahkamah Sivil. Bayangkan saja, jika mereka di mahkamah sivil boleh dipengaruhi rasuah, inikan pula mereka di Mahkamah Syariah memandangkan perbezaan tahap kewangan mereka.

Dan ini menjurus kembali kepada asas tadbir urus Islam untuk menghapuskan ketidaktaraan kekayaan sehingga ianya membawa kepada gejala rasuah.

Kepada Hadi, saya tidak menentang niat RUU ini. Tetapi akibatnya ke atas masyarakat yang sedia terpecah-belah yang membuat saya meminta ianya ditunda. Sebelum RUU ini dibentang untuk dipersetujui, perlu diadakan terlebih dahulu, suatu Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada rakyat Malaysia dari segenap lapisan untuk meneliti RUU ini dan akibatnya ke atas masyarakat Malaysia secara amnya.

Rakyat yang bukan Islam juga berhak didengari dan diberi penjelasan berkenaan RUU ini, lebih-lebih lagi memandangkan Malaysia bukan negara yang rakyanta eksklusif Islam.

Hadi, sebagai ulama yang berwibawa dan sebagai seorang yang berpegang teguh kepada prinsip, saya memohon agar beliau pertimbangkan semula rayuan saya. Pimpinlah dan berilah rakyat Malaysia penjelasan yang berhak ke atas mereka. Janganlah sisihkan mereka dengan mencerca dan mencela mereka.

Islam adalah kesederhanaan. RUU 355 mungkin berniat baik dan berharapan tinggi, tetapi ia tetap tidak menangani pra-syarat untuk membina suasana sosial terbaik bagi keislaman yang jati.

Bukankah lebih berbaloi untuk memberi penyelesaian kepada masyarakat Melayu luar bandar agar pendapatan mereka meningkat dan hidup mereka diperbaiki dahulu?

Mari kita contohi Ibu Hadi untuk mendokong Wassatiyah dengan memenuhi harapan rakyat dan tidak melemahkan semangat mereka.

Tariq Ismail ialah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.