Trump serang Syria secara unilateral, PBB membisu

trump-pbbOleh Mohamad Sabu

Peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semakin dipertikaikan. Keutuhan dan keunggulan PBB yang menjadi badan pengawal dunia terutama bersangkutan dengan kedaulatan negara, peperangan, kenegaraan, kemiskinan, kelaparan, bencana dan sebagainya ditangani oleh PBB tidak lagi berfungsi dengan sepatutnya. Mutakhir ini pandangan PBB kadangkala langsung tidak dihiraukan.

Jikalau ada berlaku serangan bom kimia dari mana-mana pihak, sepatutnya PBB menyiasat siapa yang melepaskan bom kimia itu. Di Syria sudah berlaku beberapa kali. Andainya keputusan muktamad mendapati rejim Basyar Al-Assad yang bertanggungjawab, maka beliau hendaklah dibicarakan di Mahkamah Antarabangsa seperti yang telah dilakukan kepada rejim Serbia dan rejim negara-negara Afrika.

Sebaliknya tanpa apa-apa keputusan dari PBB, siasatan belum bermula, Amerika telah mula menyerang pangkalan udara Syria.

Nampaknya kuasa unilateral menentukan segala-galanya di dunia sekarang, bukan lagi PBB. Sementara OIC juga sudah menjadi kesatuan negara-negara penonton yang tidak berwibawa. Begitulah juga negara-negara NAM dan lain-lain. Apakah ASEAN juga akan menjadi keadaan serupa?

Sepatutnya negara-negara anggota memberi tekanan kepada PBB supaya mengendalikan pilihan raya di Syria. Biarlah rakyat Syria menentukan siapa yang mereka mahu memimpin negara mereka sama ada Assad dan kumpulannya atau puak-puak menetang. Syaratnya mereka menerima demokrasi dan keputusan rakyat.

Tetapi di bawah (kepimpinan Presiden) Donald Trump dan parti Republikan seringkali berlaku perang dan terbaru serangan telah berlaku ke atas Syria beberapa hari lalu. Kita bersimpati kepada mangsa serangan termasuk kanak-kanak yang maut akibat serangan senjata kimia.

Persoalannya, kenapa tidak ada kasihan belas yang sama ke atas kanak-kanak di Yaman, Pakistan dan Afghanistan yang juga dihujani oleh roket-roket dari dron yang dipandu secara automatik oleh Amerika di Pentagon.

Di sini negara-negara yang bertamadun hendaklah bangun melalui PBB mencari jalan penyelesaian, bukan menimbulkan konflik yang semakin parah menyebabkan jutaan rakyat menjadi pelarian dan menderita khasnya di Libya, Yaman, Syria, Afghanistan dan beberapa negara lain lagi.

Mohamad Sabu adalah Presiden Parti Amanah Negara

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.