Bahas RUU 355 perlu matang, buang sentimen benci

ruu-355-court-hadi

Oleh Tarmizi Anuwar

Setelah 2 kali ditangguhkan pembentangan, akhirnya Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membentangkan usul Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU355 di Dewan Rakyat pada hari terakhir persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Ke-13.

Usul meminda Akta 355 merupakan Rang Undang-undang Persendirian yang mana dalam sistem Parlimen ala Westminster memberi peluang kepada ahli-ahli dewan sama ada pembangkang atau kerajaan mencadangkan undang-undang baru atau pindaan untuk dibahaskan di Parlimen. Walaupun hak ini diberikan kepada ahli-ahli dewan, namun di Malaysia sebelum ini tidak pernah ada usul rang undang-undang persendirian yang berjaya dibentangkan untuk bacaan.

Ini bermaksud usul RUU 355 merupakan satu-satunya usul rang undang-udang ahli persendirian yang berjaya dibentangkan di Malaysia. Secara tidak langsung, ia juga menunjukkan Malaysia adalah antara negara yang belum pernah meluluskan sebarang rang undang-undang ahli persendirian sejak mencapai kemerdekaan.

Tanpa bias kepada tindakan dan strategi politik, ini sewajarnya dipandang dari 1 sudut yang positif di mana terdapat perkembangan yang baik bagi salah 1 ruang pendemokrasian di Malaysia. Terutamanya apabila ahli Parlimen yang bukan berada dalam barisan kerajaan diberi peluang untuk mengemukakan usul RUU persendirian untuk dibentangkan dalam Parlimen.

Namun, melihat kepada kaedah dan perspektif yang diambil oleh Hadi semasa sesi pembentangan dan juga ucapan sokongan usul oleh Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hasan (Setiausaha Agung PAS), saya mendapati terdapat beberapa perkara yang bertentangan dengan semangat kebebasan dan kesaksamaan dalam Dewan Rakyat dan demokrasi itu sendiri.

Merujuk kepada Senarai Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 6 April 2017, Hadi dalam ucapannya ada mengatakan bahawa sekelompok ahli politik sama ada beragama Islam atau bukan Islam yang menentang RUU 355 adalah petanda buruk kepada kematangan politik perpaduan di negara ini. Dalam ucapannya juga, terdapat kecenderungan yang jelas menyatakan kepada orang bukan Islam tidak berhak untuk tidak bersetuju dengan RUU 355 di mana seolah-olah mereka tidak mempunyai pilihan selain menyokong.

Peranan semak imbang ahli Parlimen

Dalam hal ini, apa pun usul atau rang undang-undang yang dibentang atau dibahaskan, ahli Parlimen sewajarnya pergi kepada 1 peringkat budaya yang melangkaui eksklusiviti bagi sesetengah kumpulan atau kelompok tertentu. Alasan hukuman tidak akan dikenakan pada golongan tertentu tidak signifikan kerana setiap ahli Parlimen dijamin haknya untuk berbahas sama ada setuju atau tidak setuju mengenai perkara yang melibatkan dasar negara secara saksama tanpa sebarang diskriminasi.

Setiap ahli Parlimen berperanan besar sebagai pihak semak imbang dalam urusan yang melibatkan urus tadbir negara. Mereka mewakili bukan hanya pengundi di tempat mereka tetapi turut mewakili rakyat Malaysia secara keseluruhan yang berbilang kaum dan agama. Mewujudkan ruang perbahasan yang adil adalah penting untuk mengimbangi pandangan ahli politik, parti politik atau institusi kuasa yang menggunakan sentimen keagamaan dengan menjustifikasikan semua orang Islam di Malaysia bersetuju dengan rang undang-undang yang dibawa oleh kelompok mereka.

Pusat Inisiatif Dasar Invoke telah melakukan 1 kajian terhadap sentimen pengundi Melayu mengenai RUU 355 yang melibatkan seramai 43,030 pengundi Melayu secara rawak di seluruh negara. Hasil kajian ini mendapati, sebanyak 70.1% atau 30,173 pengundi Melayu tidak tahu mengenai RUU 355 dan hanya 29.9% atau 12,857 pengundi mengetahuinya. Dalam 29.9% ini, hanya sebanyak 44.4% atau 5,708 pengundi yang melihat isu penting menentukan undian dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Selebihnya iaitu 25.2% atau 3,240 pengundi merasakan ada isu yang lebih penting dan 30.4% atau 3,909 tidak menjawab soalan.

Sentimen struktur etnik dan agama yang didendangkan oleh PAS yang mana seakan-akan semua umat Islam dalam negara ini bersetuju dengan usul pindaan RUU 355 adalah penting untuk diperhalusi.

Perlu difahami, terdapat pengundi Melayu atau umat Islam sendiri yang tidak merasakan ia 1 isu yang penting berbanding isu-isu sosioekonomi atau sememangnya mereka tidak bersetuju dengan pindaan tersebut. Walaupun dalam sistem demokrasi berparlimen di mana satu-satu usul dan rang undang-undang hanya memerlukan majoriti mudah dalam Dewan Rakyat untuk diluluskan, namun tindakan mewujudkan gambaran bahawa polemik RUU 355 ini seakan-akan pertembungan antara golongan Islam dengan bukan Islam hanya membawa kesan yang negatif kepada perpaduan dan keharmonian kaum di Malaysia.

Malaysia bukan hanya mendepani isu perpaduan kaum antara Melayu, Cina dan India tetapi cabaran yang lebih besar sedang dihadapi dan masa akan datang adalah fenomena super kepelbagaian. Ini adalah satu fenomena hasil daripada kesan migrasi dan globalisasi manusia yang datang dari pelbagai tempat dari rantau dunia.

Fenomena ini melahirkan cabaran yang lebih besar kepada pembuat dasar, terutamanya dalam membentuk dasar yang lebih inklusif merangkumi pelbagai sektor dan kelompok. Masyarakat semakin hari semakin kompleks, pelbagai dan terpecah-pecah. Sekiranya pendekatan secara keseragaman agama atau kaum terutamanya secara hegemoni agama masih diaplikasikan kepada masyarakat tanpa mengambil kira perubahan semasa, maka kesan hubungan sesama (intra) dan antara (inter) kaum semakin sukar untuk disepadukan.

Jangan libatkan sentimen kebencian

Proses demokrasi yang baik adalah mekanisme semak imbang yang aktif. Entiti semak imbang yang paling utama adalah rakyat.

Apabila rakyat mula aktif berpartisipasi dalam hal ehwal sivik dan demokrasi bermaksud pendemokrasian menunjukkan perkembangan positif. Rakyat tanpa mengira agama dan kaum berhak untuk mempersoalkan dan berbahas mengenai sebarang perkara yang melibatkan diri mereka atau negara selaras dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Polemik RUU 355 perlu ditangani sebagai 1 pertembungan idea yang sihat dalam kerangka demokrasi. Sebarang idea yang dilontarkan perlu menjalani proses perbahasan dan perdebatan dengan matang tanpa perlu dilibatkan sentimen kebencian dan prejudis terhadap perkauman atau agama. Terutamanya sebagai ahli Parlimen, dalam membahaskan dasar dan perundangan negara, tembok kelas agama perlu diruntuhkan dengan menyediakan ruang wacana yang kesemua pihak mempunyai hak dan legitimasi yang sama.

Perpaduan bukan bermaksud tiada konflik atau pertembungan tetapi kematangan dan tanggungjawab dalam menguruskan konflik secara interaksi aman dan saling menghormati.

Tarmizi Anuwar adalah Pengurus Penyelidik di Institute for Leadership and Development Studies

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.