Berakhir episod hukum mahasiswa

bahasa,-komen,-opinion,-FMT,-rahman-imuda,-mahasiswa,-universiti-awam,-IPTA,-mahkamah,Oleh Rahman Imuda

Jumaat lepas saudara Arifin Amin dari UiTM Seri Iskandar dikenakan amaran dan denda RM200 kerana keterlibatan beliau dalam Flashmob Demonstrasi Tangkap Malaysian Offical One dan Perhimpunan Bersih 5.0 tahun lepas. Perbicaraan ini seperti menjadi penutup kepada satu siri perbicaraan pelajar yang panjang.

Bermula dengan 4 mahasiswa Universiti Malaya, diikuti Saudara Asheeq di Universiti Kebangsaan Malaysia, kemudian 2 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah, kemudian disusuli saudara Arifin di UiTM. Tuduhan mereka hampir sama yakni terlibat dengan perhimpunan awam. Kita juga tidak boleh melupakan 4 mahasiswa daripada UMANY UM yang didakwa kerana mengangkat plakad ketika ceramah berkenaan 1MDB yang berlangsung di Universiti Malaya. Kira-kira 11 mahasiswa dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib atas ‘dosa’ mereka terhadap universiti sepanjang 6 bulan kebelakangan ini.

Mahasiswa Kalah?

Jika melihat keputusan-keputusan perbicaraan 11 mahasiswa ini, kesimpulan awal yang dibuat oleh kebanyakan orang adalah mereka kalah. Tetapi pada pandangan saya kesimpulan seperti itu adalah terlalu terburu-buru. Hasil perlawanan memberi pencerahan kepada masyarakat dan merevolusikan sistem politik negara ini bukanlah bergantung semata-mata pada keputusan tatatertib yang masih banyak boleh dipersoalkan itu.

Proses ‘memintarkan’ masyarakat ini akan terus berlangsung walaupun apa jua keputusan prosiding terhadap mereka. Kemenangan mahasiswa akan terjadi apabila insiden 11 mahasiswa yang dibicarakan ini menjadi batu loncatan untuk mahasiswa di seluruh negara lebih sedar tentang peranan besar yang mereka miliki.

Kebanyakan mahasiswa harus berhenti berangan-angan bahawa mereka adalah pemimpin masa hadapan dan hanya akan berjuang setelah mendapat pekerjaan yang selesa kelak. Mereka perlu menyedari mereka adalah pemimpin hari ini.

Semoga dengan zaman kebangkitan mahasiswa yang kita rasai pada saat ini dapat merangsang generasi selepas seterusnya untuk mengambil pelajaran dan merangka strategi ke arah satu gerakan mahasiswa yang lebih matang, peduli, ideal dan didengari.

Zaman menjadi mahasiswa tidak lama. Oleh itu, adalah menjadi angan-angan kosong jika kita ingin mengubah sistem yang telah bernanah ini dalam masa 3 hingga 6 tahun. Ia juga satu proses yang panjang dan memerlukan perancangan yang berterusan.

Mari kita serahkan kepada generasi seterusnya untuk meneruskan perlawanan ini, biarlah kita yang waktunya sudah berakhir memberikan nasihat dan dorongan tanpa memaksa mereka mengikut telunjuk kita.

Bersama tanpa bersatu

Antara pelajaran terbaik yang boleh diambil oleh persatuan-persatuan mahasiswa dalam menghadapi krisis ramai aktivis yang dibicara ini adalah dengan bersatu dalam isu walaupun tidak bersama secara menyeluruh. Kepelbagaian warna yang ada pada ideologi dan pembawakan persatuan mahasiswa menyebabkan penyatuan secara total itu hampir mustahil.

Oleh itu, saya berpandangan adalah lebih baik persatuan-persatuan mahasiswa bersatu atas satu-satu isu. Sebagai contoh bersatu dalam mendesak pihak universiti menggugurkan pertuduhan terhadap para aktivis. Ini akan menjadikan hubungan itu lebih mudah dan selesa kerana tidak terikat dengan peraturan-peraturan tertentu yang sering dilihat membawa konflik sesama persatuan-persatuan yang bersekutu.

Apabila kebersamaan terhadap sesuatu isu itu berlaku, kerjasama sesama persatuan mahasiswa akan berlaku dengan lebih mudah. Setiap persatuan mahasiswa yang wujud di Malaysia memiliki kemahiran dan kekuatan masing-masing. Apabila persatuan mahasiswa bekerjasama, secara tidak langsung perkongsian pintar sesama mereka akan berlaku.

Perkongsian-perkongsian seperti ini bukan sahaja penting untuk mengeratkan hubungan sesama persatuan mahasiswa, tetapi dalam masa yang sama akan memberikan para aktivis ilmu baharu yang mereka boleh terokai. Saya boleh katakan, krisis mahasiswa ramai dibicara tidaklah harus dilihat sebagai bala semata-mata, tetapi sebagai satu titik temu yang mencipta kebersamaan dalam kalangan persatuan-persatuan mahasiswa itu sendiri.

Mencabar keputusan prosiding yang dijalankan oleh pihak universiti adalah satu langkah yang baik untuk mencari keadilan setelah merasakan diri dizalimi. Tapi berdasarkan pengalaman mahasiswa-mahasiswa sebelum ini, mencabar keputusan ini adalah satu proses yang panjang dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

Bukan itu sahaja. Para mahasiswa yang ingin mencabar keputusan universiti perlu kukuh daripada aspek ekonomi dan tekanan-tekanan yang mereka mungkin akan hadapi daripada pihak universiti.

Mujurlah ada beberapa NGO yang sering mara untuk memberi bantuan guaman terhadap mahasiswa yang tertindas ini. Besar harapan saya agar kebanyakan mahasiswa tidak memberikan tenguk dan leher mereka kepada para politikus untuk setitis wang. Kebanyakan politikus pasti akan menuntut balasan dan faedah setelah bantuan wang diberikan untuk para mahasiswa, akhirnya mahasiswa diperkudakan untuk kepentingan politik.

Saya yakin keputusan mahkamah awam pasti akan berpihak kepada para mahasiswa seperti yang berlaku pada Fahmi Zainol.

Kita berharap semoga mahasiswa-mahasiswa yang dihukum ini tidak patah semangat dalam mengharungi perjuangan sebagai aktivis mahasiswa. Ini merupakan satu kenangan yang tidak akan dimiliki oleh mahasiswa yang tidak terjun ke dalam dunia aktivisme mahasiswa.

Cerita yang boleh dikongsikan dengan penuh bangga apabila sudah menjelang usia tua kelak kepada generasi akan datang.

Rahman Imuda adalah bekas pemimpin mahasiswa sebuah universiti awam

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.