Janji orang berimankan ‘matlamat menghalalkan cara’

mahathir

1 March 2016

Sehari selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau dan isteri keluar Umno berikutan tidak berpuas hati dengan pemerintahan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak, beliau memberi janji tidak akan menyertai parti pembangkang, sebaliknya hanya sekadar meneruskan pendedahan salah laku kerajaan.

“Tidak, saya tidak akan menyertai pembangkang. Saya tidak bersetuju dengan mereka,” katanya.

Malah beliau berkata beliau akan menyertai semula Umno apabila Najib meninggalkan parti berkenaan sepertimana beliau menyerahkan borang kepada Najib selepas Tun Abdullah Badawi dijatuhkan.

13 bulan kemudian…

8 April 2017

Dr Mahathir berubah nada.

Beliau yang kini menjadi kawan rapat DAP, dan penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru menyertai Pakatan Harapan berjanji, beliau tidak akan kembali kepada Umno walaupun Najib berjaya dijatuhkan dalam PRU14.

Alasannya: “Umno sudah rosak guna wang untuk sogok ahli.”

Bukan itu sahaja, Dr Mahathir turut menyatakan bahawa beliau sedia membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU14.

“Kalau rakyat nak (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, siapa saya nak tahan rakyat.”

Alasan Dr Mahathir

Mereka yang mengikuti Dr Mahathir akan tertanya-tanya, apakah setahun ini sahajakah Umno rosak dengan politik wang?

Di zaman Pak Lah menjadi Presiden Umno (tahun 2005), bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad digantung jawatan dan keahliannya selama 2 penggal atau 6 tahun kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang oleh Lembaga Disiplin parti.

Pada 2009, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam juga dikenakan tindakan tatatertib kerana politik wang.

Pendek kata, alasan yang digunakan Dr Mahathir untuk tidak kembali ke Umno tidak kuat.

Bersama dengan kenyataan ‘kesediaan’ beliau untuk membebaskan Anwar, ia seolah-olah sekadar kenyataan berbaur penyedap hati untuk meredakan kesangsian para penyokong Pakatan Harapan, terutamanya penyokong Anwar yang masih meragui keikhlasannya bersama pembangkang.

Bolehkah percaya?

Bolehkah janji seorang yang berimankan ‘matlamat menghalalkan cara’ seperti Dr Mahathir dipercayai?

Sekiranya Najib berjaya ditumbangkan di PRU14, tapi Umno masih kekal berkuasa, apakah kebarangkalian Dr Mahathir untuk kembali bersama Umno dan menjadi penasihat BN?

Antara:

“Walaupun Najib sudah tiada, Umno-BN perlu ditumbangkan walau apapun…”

dengan

“Pakatan Harapan memang tiada wibawa untuk menerajui kerajaan. Tiada ketokohan, suka berbalah. Saya tahulah sebab dah setahun genap saya bersama mereka. Saya tidak mahu dikenali sebagai pengkhianat bangsa dan agama dengan terus bersekongkol dengan mereka… Umno kini mulai bersih seperti zaman saya dulu selepas Najib tiada… Umno-BN adalah model terbaik untuk Malaysia…”

Yang mana akan menjadi kenyataan Dr Mahathir, yang pernah berkata bahawa “pemandu yang bodoh sahaja akan terus memandu apabila melihat jalan raya diletupkan dan tidak lagi boleh dilalui” jika penghalang jalan beliau iaitu Najib telah jatuh tersungkur?

Buatlah tekaan sendiri.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

 

Dr Mahathir tiada masalah bebaskan Anwar