Ke mana perginya Ali Shariati di kalangan pejuang Islam?

ali

Sebelum pergi untuk sembahyang Jumaat minggu lalu, saya berasa berat hati kerana dijangkakan khatib di masjid berhampiran akan menyampaikan khutbah mengenai rang undang-undang meminta Akta 355 (RUU 355) yang dibentangkan di Parlimen sehari sebelum itu.

Melalui khutbahnya sebelum ini, masjid itu mempunyai nada yang menyokong pendirian PAS. Akibatnya, ahli jemaah yang tidak menyokong pendirian parti itu tentu berasa tidak selesa.

Benar seperti yang dijangkakan, walaupun tidak menyebut nama RUU itu, khatib menyampaikan khutbah yang menyokongnya.

Bukan saja itu, juga tanpa menyebut nama, beliau mengkritik pedas dengan membayangkan label buruk kepada penentang RUU itu. Sasaran utamanya adalah kepada bekas rakan seperjuangan mereka yang kini keluar menubuhkan parti lain.

Tentu ada kalangan jemaah masjid yang tidak berasa selesa dengan khutbah begini, lebih-lebih lagi disampaikan secara keras kerana tidak semua orang Islam menyokong RUU itu kerana terdapat perbezaan pendapat.

Minggu lalu, selain daripada RUU 355, terdapat peristiwa dalam dan luar negara yang memberi tekanan pada umat Islam, tetapi pada masa sama turut melibatkan orang bukan Islam.

Di dalam negara, terdapat 2 isu mengenai perundangan yang melibatkan perlindungan kanak-kanak dan remaja.

Pertama, isu mengenai perlindungan perempuan bawah umur daripada dirogol. Kedua, isu anutan agama anak ibu bapa yang bertukar agama. Perkara ini melibatkan rang undang-undang.

Mengenai isu pertama itu, RUU berkaitannya dibentangkan di Parlimen. Namun, ada komen daripada seorang ahli politik menjadi kontroversi hingga dilaporkan di luar negara.

Sementara mengenai isu kedua, RUU mengenainya ditangguhkan. Sungguhpun begitu, dijangka juga ia turut menjadi kontroversi kerana ia melibatkan hubungan antara warganegara Malaysia yang berlainan agama.

Ketika umat Islam negara ini disibukkan dengan isu perundangan sosial itu, dunia dikejutkan dengan serangan udara tentera Syria ke atas rakyatnya dengan menggunakan bahan kimia. Kerajaan Syria menafikannya dan mendakwa bahan kimia itu adalah milik pihak pemberontak.

Negara Barat mengecam Syria sementara Rusia membelanya. Dengan serta-merta Amerika menyerang Syria. Beberapa negara dunia mengecam serangan Amerika ke atas Syria.

Akhirnya yang menderita akibat serangan itu adalah rakyat Syria yang sudah lama menanggung kesusahan dalam perang saudara di negara itu.

Ali Shariati

Dalam suasana begini, saya tertarik dengan Seminar Pemikiran Ali Shariati yang dianjurkan oleh Islamic Renaissance Front (IRF) pada Sabtu lalu. Ini kerana sudah lama pendokong gerakan Islam tidak bercakap mengenai beliau sejak tahun 1980-an, iaitu lebih 30 tahun.

Shariati adalah seorang intelektual Iran dari bidang sosiologi yang mati pada tahun 1977 dipercayai dibunuh polis rahsia Shah Iran, Savak, kerana kegiatan beliau menentang rejim diraja itu.

Beliau dianggap arkitek Revolusi Islam Iran yang dipimpin Ayatullah Khomeini pada 1979. Bagaimanapun, setelah republik Islam ditubuhkan, ulama yang mendominasi pemerintahan Iran meminggirkan pemikiran Shariati.

Bukan saja pemikiran Shariati dipinggirkan tetapi juga kumpulan selain ulama arus perdana, walaupun turut menyumbang pada revolusi itu.

Ketika saya pergi ke Iran pada 1988, orang di sana sudah tidak bercakap mengenai Shariati.

Pemikiran Shariati menganjurkan supaya agama mengutamakan keadilan sosial, kebajikan rakyat bawahan yang susah dan tertindas. Keutamaan agama adalah menentang kezaliman dan membebaskan rakyat bawahan daripada penindasan.

Agama dapat diamalkan dalam pelbagai bentuk menurut tafsiran penganutnya. Oleh kerana banyak perkara hendak dilakukan maka isunya adalah apa yang patut didahulukan.

Bagi Shariati, apa yang patut didahulukan ialah keadilan sosial di mana kebajikan rakyat bawahan diutamakan.

Pandangan Shariati berbeza daripada apa yang dikemukakan ulama tradisional. Ia memberi kesan besar kepada anak muda yang sedar politik, bukan saja di Iran tetapi juga di negara Islam lain.

Tema keadilan yang dipinggirkan

Shariati banyak menarik anak muda cenderong pada fahaman sosialis dan komunis kepada pemikiran Islam.

Buku karangan Shariati termasuk transkrip kuliahnya dalam Parsi diterjemahkan ke dalam banyak bahasa dunia termasuk bahasa Inggeris yang diterbitkan di Amerika Syarikat.

Saya beli buku Shariati pada 1982 yang ketika itu dijual bebas di Pustaka Perkim dan Dewan Pustaka Islam milik Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Tetapi saya mula tahu mengenai Shariati melalui “Readings in Islam”, sebuah majalah berbahasa Inggeris mengenai isu semasa dunia Islam yang dibatalkan permit penerbitannya atas sebab lain.

Buku Shariati juga diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia yang diterbitkan oleh Penerbit Mizan. Ada juga penerbit di Malaysia yang menerjemahkan buku Shariati ke dalam Bahasa Malaysia.

Pemikiran Shariati ini mempengaruhi satu generasi aktivis Islam pada 1980-an termasuk pelajar Malaysia yang belajar di Britain ketika itu. Generasi ini pulang ke Malaysia dan aktif dalam pelbagai pertubuhan Islam termasuk PAS.

Itulah sebabnya tema keadilan sosial dan kebajikan rakyat diutarakan dalam perjuangan politik PAS selama 30 tahun. Bagaimanapun, sejak 2 tahun ini, haluan PAS sudah berlainan.

Seminar Pemikiran Ali Shariati pada Sabtu lalu itu juga menyaksikan pelancaran buku beliau bertajuk Agama Lawan Agama yang diterbitkan IRF. Pelancaran dibuat oleh Timbalan Pengerusi Amanah Selangor, Saari Sungib sementara ucaptama disampaikan oleh Timbalan Penasihat Umum Amanah, Abdul Ghani Shamsuddin. Kertas dibentangkan oleh pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik dan pensyarah Universiti Kebangsaan Singapura, Dr Azhar Ibrahim, dan dimudahcarakan oleh Pengerusi IRF, Datuk Dr Ahmad Farouk Musa.

Ghani dan Saari merupakan sebahagian daripada generasi aktivis tahun 1980-an ketika Shariati mewarnai pemikiran gerakan Islam, walaupun kedua-duanya mempunyai latar belakang berbeza dan aktif dalam pertubuhan yang berlainan.

Namun begitu, tidak ada mana-mana kumpulan khusus yang mendokong pemikiran Shariati. Umumnya kumpulan pendokong pemikiran Shariati adalah mereka yang berasa hampir dengan semangat Revolusi Iran. Itupun di kalangan penyokong pemikiran Ayatullah Khomeini, mereka sudah tidak berminat terhadap pemikiran Shariati.

Pada awal 1980-an, Abim dan Islamic Representative Council (IRC) merupakan sebahagian daripada gerakan Islam yang mempunyai pelbagai aliran dan pengaruh pemikiran. Kedua-duanya tidak dikenali sebagai kumpulan pendokong Revolusi Iran. Pihak yang menyokong Revolusi Iran di kalangan pelajar Malaysia di Britain adalah Suara Islam. Tetapi perkara itu kini sudah hanya menjadi catatan dalam sejarah gerakan Islam.

Setelah 30 tahun, sudah tentu tumbuh berbagai aliran pemikiran yang diperkayakan lagi pengalaman pahit manis perjuangan gerakan Islam. Sebab itu tidak ada mana-mana pertubuhan, kumpulan atau aliran pemikiran yang boleh mendakwa merekalah mewakili kesemua umat Islam di negara ini.

Dalam perpaduan umat Islam, terdapat di dalamnya kepelbagaian yang wajar diraikan dan dihormati oleh satu sama lain. Dengan latar belakang pendidikan serta pendedahan sosial dan intelektual yang berbeza, tentulah ia menghasilkan bentuk pemikiran yang berlainan.

Dengan memahami hakikat ini tidak perlulah kata-kata kesat dan keras yang dilemparkan kepada sesama Islam yang berlainan aliran fahaman.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.