Islamisasi atau Arabisasi, siapa yang tentukan?

Nasharudin-Mat-Isa--1

Isu Islamisasi di Malaysia sudah lama bermain. Mana tidaknya, ia memberikan kesan kepada cara hidup masyarakat majmuk di Malaysia.

Semakin lama, semakin banyak cara hidup di negara ini dicerobohi agamawan yang kononnya memperjuangkan Islam.

Di mana garis yang memisahkan Islamisasi dan Arabisasi? Di mana garis yang memisahkan di antara agama diperturunkan Tuhan dan budaya daripada manusia?

Sebenarnya, garis inilah yang sering dipermainan untuk kepentingan sendiri.

Minggu lalu, bekas timbalan presiden PAS, Datuk Nasharuddin Mat Isa memberi ucaptama di senuah seminar bertemakan kesederhanaan.

Menurut Nasharuddin, ramai keliru kerana menyangka Islam itu Arab dan Arab itu Islam, sedangkan bukan semua orang Arab pun yang Islam (lebih 20 juta orang Arab adalah Kristian).

Dengan kekeliruan ini, menurut Nasharuddin, ramai yang takut proses Islamisasi. Orang Melayu sebenarnya amat kaya budaya mereka dan selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak, ia tidak haram.

Hukum syarak

Secara prinsipnya, saya setuju sangat dengan kenyataan Nasharuddin. Sememangya Islam dan Arab itu bukan sama dan jika kita tidak berhati-hati, kita akan terima sahaja apa yang dikatakan “Islamik” biarpun ia mungkin hanya budaya Arab kuno.

Akan tetapi, walaupun saya setuju juga kenyataan Nasharuddin yang mengatakan selagi budaya itu tidak bercanggah dengan hukum syarak, ia bukan haram, saya ingin mengupas tentang definisi “hukum syarak” dalam konteks ini.

Hukum syarak memang tinggi kuasanya. Kepada umat Islam, hukum syarak membawa maksud ia daripada Tuhan sendiri, dan ini jelas akan menakutkan sesiapa yang beriman. Jadi apabila dikatakan yang hukum syarak itu bercanggah sesuatu amalan budaya, ini berkemungkinan besar akan menghentikan amalan budaya demikian.

Di Malaysia, ia kerap berlaku dalam beberapa dekad ini. Umpamanya, amalan membaca Yasin dah mengadakan tahlil pada malam Jumaat ataupun kenduri doa selamat. Melayu Islam mengamalkan upacara sendiri dari dahulu lagi tetapi sejak beberapa dekad ini, kita sudah sering mendengar yang mereka takut kalau-kalau amalan ini termasuk dalam kategori bid’ah, ataupun amalan yang diada-adakan.

Menurut pemahaman Wahabi, amalan yang diada-adakan tanpa asas Sunnah hukumannya api neraka. Begitulah ironinya, kita baca doa buat si mati, sebaliknya kita sendiri masuk neraka!

Adakah amalan membaca Yasin dan tahlil dianggap budaya atau agama? Ramai ulama yang saya tanya mengatakan ia sebahagian daripada agama walaupun ia tidak wajib tetapi merupakan sunnah yang dituntut.

Saya sendiri melihat yang amalan ini berlanggar dengan falsafah Al-Quran. Ini adalah kerana kitab Allah menyatakan kita tidak dapat menolong orang-orang yang sudah mati, sudah tentu tidak dengan meratib apa-apa doa pun. Apa yang dapat menolong kita hanyalah amalan masing-masing.

Namun begitu, Al-Quran tidak mengharamkannnya. Mungkin kita boleh menganggapnya unsur budaya sahaja.

Agama tidak diturunkan ke dalam vakum

Adakah budaya ini boleh merosakkan umat Islam yang mengamalkannnya? Mungkin juga, tetapi pada pendapat saya, semuanya bergantung kepada niat masing-masing.

Jika niat kita ialah untuk membelakangkan atau melambatkan amal salih dan mengharapkan doa orang masjid untuk menolong kita di alam barzakh, maka sikap kita terhadap amal salih akan kurang serius. Ini merosakkan jiwa dan masyarakat kita. Amal salih diganti dengan ritual.

Jika amalan ini dianggap sebagai peringatan sahaja, ia mungkin tidak menjejaskan akidah kita. Pada saya, ia membangkitkan rasa insaf kita untuk benar-benar memahami apa yang kita baca.

Sama juga dengan amalan talkin selepas menanam si mati. Bukannya si mati dapat mendengar nasihat tok imam yang memberi jawapan kepada soalan “siapa tuhan kamu”, tetapi kepada yang hidup, ini peringatan yang sangat diperlukan.

Kita tidak boleh terima sahaja alasan “hukum syarak” sebelum memberi analisa yang terperinci tentang apa itu “syarak”.

Harus ingat, agama itu diturunkan Tuhan ke dalam sesuatu budaya. Agama tidak turun dalam suasana yang kosong, atau vakum. Ada manusia yang mengamalkan sesuatu budaya dan apabila mereka menerima sesuatu wahyu dalam bentuk kitab, mereka akan mentafsirkan prinsip kitab itu menurut lensa budaya mereka.

Ini tidak bermakna yang apa ditakrifkan oleh mereka sebagai “hukum syarak” itu benar-benar daripada Tuhan.

Umpamanya, amalan bacaan Yasin dan tahlil tidak diamalkan di Semenanjung Arab, maka jika kita mengamalkannya di Nusantara, ia dianggap bid’ah atau inovasi. Anggapan ini berdasarkan pemahaman yang tafsiran berdasarkan budaya adalah nas Tuhan sendiri. Kita tidak boleh keliru mengenai perbezaan ini.

Berbalik kepada kenyataan Nasharuddin, sebelum kita pasti yang sesuatu amalan budaya itu melanggar hukum syarak, eloklah kita memastikan dahulu apa itu hukum syarak.

Jika kita benar-benar mahukan “Islamisasi”, hukum yang kita dirikan itu benar-benar mesti bersumber kepada Al-Quran. Semua yang lain adalah interpretasi manusia sahaja dan mungkin tertakluk kepada “Arabisasi”.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.