Antara Mashal Khan dan tuduhan ‘hina Islam’ di Malaysia

Mashal-Khan-demoBaru-baru ini, sebuah video Facebook memaparkan mayat yang berlumuran darah, sementara kedengaran laungan takbir oleh sekumpulan pelajar yang menendang mayat itu.

Mayat itu ialah Mashal Khan, pelajar kewartawanan di Universiti Abdul Wali Khan di Mardan, timur laut Pakistan.

Mashal dituduh menghina agama Islam. Dengan tiada perbicaraan atau diberi peluang untuk mempertahankan dirinya di mahkamah, bilik asramanya dipecah masuk dan dia dipukul dan didera sehingga mati.

Siapa Mashal? Menurut laman Facebooknya, dia menggelarkan dirinya sebagai humanis. Ini bermaksud dia memeluk nilai kemanusiaan, tidak semestinya menolak Islam.

Bapa Mashal sendiri mengaku yang dia mengambil agamanya dengan serius. Jadi mengapa dia boleh menjadi mangsa keganasan sebegini?

Satu teori mengatakan yang Mashal menjadi mangsa laman Facebook palsu yang menyamar menjadi dirinya. Akaun palsu ini melepaskan komen pedas mengenai Islam.

Ada juga teori yang menyatakan Mashal membawa soalan dalam satu debat yang payah dijawab oleh agamawan. Satu lagi teori yang dinafikan keluarga Mashal ialah yang dia memeluk mazhab Islam Ahmadiah dan ini dianggap menyeleweng.

Walaupun insiden ini masih baru dan segar, ia mencambahkan beberapa versi dalam jalan ceritanya.

Di serata media sosial, pembunuhan Mashal menerima respons yang berbeza. Kebanyakan mereka cukup sedih tetapi ada juga yang mengambil kesempatan untuk menzahirkan kebencian mereka terhadap Islam secara keseluruhan. Ada juga yang menjadi apologis – yang mengatakan bahawa insiden ini tiada kena mengena dengan Islam langsung! Kedua-dua pendekatan ini adalah salah.

Yang mengutuk Islam hanya mengikut agenda kolonialis Barat dalam membina persepsi negatif tentang Islam untuk mendapatkan justifikasi menjajah negara Islam. Kebencian mereka amatlah ketara sehingga menafikan apa sahaja kebaikan dilakukan umat Islam.

Yang menafikan ia ada kena mengena dengan agama Islam juga salah kerana orang yang melakukan pembunuhan ini memberi alasan mempertahankan Islam. Walaupun kebanyakan orang Islam mengutuk keganasan sebegitu, kita tidak dapat menafikan yang ada menganggap Islam membolehkan tindakan sebegini.

Bolehkan terjadi di Malaysia?

Persoalan sekarang ialah, jika insiden sebegini boleh berlaku di Pakistan, bolehkah ia berlaku juga di Malaysia?

Orang Melayu memang menyayangi agama Islam tetapi adakah sifat sayang itu boleh bermanifestasi dalam bentuk keganasan kepada individu dengan tidak menghiraukan sistem keadilan negara?

Baru minggu lepas, kita melihat bagaimana sebuah NGO “Islam” di Pulau Pinang memberi amaran kepada akbar Nanyang Siang Pau yang menerbitkan kartun “monyet” memaparkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Inilah sikap orang Islam di Malaysia. Mereka tidak kisah yang Hadi dan PAS mempermainkan orang bukan Islam dengan mengatakan yang rang undang-undangnya bukan masalah kepada bukan Islam. Mereka juga tidak kisah yang RUU 355 diubah beberapa kali oleh Hadi kerana tidak diterima Parlimen.

Bagaimana pula hakikat yang Barisan Nasional pun telah menunda tarikh untuk mendebatkan pindaan ini? Itu semua tidak relevan, yang relevan ialah kartun itu dibuat oleh “Cina kapir”, itu sahaja! Inilah pemikiran dangkal dan primitif yang berteraskan sifat asabiyah.

Jadi bolehkah Malaysia sampai ke tahap Pakistan? Mungkin belum lagi kerana undang-undang negara masih beroperasi. Tetapi dengan sokongan kerajaan (seperti dalam kes RUU 355); dan persekongkolan kumpulan seperti Perkasa dengan watak seperti Zakir Naik yang menerima pingat pahlawan Perkasa; dan permainan “politik Islam” PAS yang boleh mempermainkan emosi umat Islam, maka kita tidak patut terkejut jika kes sebegini boleh berlaku di Malaysia juga.

Apakah jalan penyelesaian kita? Dengan pendidikan kepada generasi baru. Pupuklah semangat toleransi dan harmoni. Didiklah generasi baru dengan idea yang Islam atau mana-mana agama pun mempunyai banyak versi hasil daripada buah fikiran manusia.

Apabila kita terlalu taksub, ketaksuban kita adalah kepada manusia dan bukan daripada menyembah Tuhan.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.