Wajibkan bukan Islam tutup kedai, apa kata Islam?

cina

Oleh Mujahidin Zulkiffli

Pada pandangan saya, hukum menutup kedai peniaga bukan Islam walaupun untuk beberapa minit di waktu Maghrib, sepatutnya dihukumkan sebagai haram.

Pandangan saya adalah berdasarkan kepada 2 dalil naqli yang utama:

“Ketahuilah! Sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat bukan Islam) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat”. (Hadis Sahih, Riwayat Abu Daud).

Menutup perniagaan rakyat bukan Islam walaupun hanya satu minit boleh dikira sebagai “mengurangkan hak mereka”. Ini bercanggah dengan hadis di atas.

Bukan itu sahaja, mengambil satu minit daripada masa berniaga mereka tanpa kerelaan mereka, adalah juga bercanggah dengan hadis di atas.

“Maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat” – jelas daripada hadis ini, Nabi Muhammad sendiri akan menjadi penentang kepada kerajaan PAS di akhirat nanti.

Dalil yang kedua:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan.

“Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: 8).

Allah berfirman supaya kita “berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa”.

Jadi bagaimana boleh kerajaan PAS Kelantan berlaku tidak adil kepada peniaga bukan Islam? Ini jelas dan nyata bertentangan dengan ayat di atas.

Apakah kerajaan yang diterajui pak lebai ini masih lagi kerajaan Islam? Perbuatan mereka agak meragukan kerana bertentangan dengan Al-Quran dan hadis.

Lagipun, bukankah menutup kedai supaya dapat bersembahyang itu hanyalah satu alasan?

Ramai umat Islam di seluruh dunia masih boleh bersembahyang walaupun terpaksa bekerja sepanjang hari. Korbankanlah waktu berehat untuk bersembahyang selama 10 minit.

Bukankah berkorban itu juga suatu ibadah dan jihad? Pulanglah ke pangkal jalan.

Mujahidin Zulkiffli ialah pembaca FMT

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.