Selamat datang Ramadan (serta bufet, pembaziran dan tarawih kilat)

puasa_600

Setiap tahun, umat Islam bergembira menyambut kedatangan bulan Ramadan. Di bulan ini, umat Islam percaya menerima pahala berlipat kali ganda.

Kalau ada yang mengeluh kerana terpaksa berlapar dan dahaga selama 14 jam, saya syorkan mereka melihat umat Islam di Barat yang terpaksa berpuasa selama lebih 20 jam, jika Ramadan jatuh pada musim panas seperti sekarang. Memang bukan mudah.

Tetapi, bila kita perhatikan umat Islam pasca Ramadan, sebenarnya kesan bulan puasa itu tidak banyak terlekat kepada mereka.

Di manakah hilangnya semangat Ramadan?

Islam merupakan sistem pembaikan diri (tazkiyah an-nafs) yang sepatutnya berfungsi 24 jam sehari, 365 hari dalam setahun. Tetapi, jika kita tidak benar-benar memahami semangat Ramadan, ia hanya akan berpungguk pada bulan tersebut sahaja. Maka hilanglah kebaikan tetap yang kita perolehi semasa Ramadan bersama-sama kuih raya.

Ramadan ialah ‘waktu puncak’

Untuk memahami semangat sebenar Ramadan, kita patut membaca Al-Quran. Dalam Surah Al-Baqarah (ayat 183-187), kita disuruh berpuasa seperti umat sebelum kita agar kita bertakwa (mempunyai kesedaran tentang Tuhan).
Suruhan ini sebelum Ramadan disebut. Sepatutnya, kita patut berpuasa beberapa hari dari masa ke semasa apabila sihat dan tidak musafir.

Perkataan “Ramadan” bermaksud panas terik atau membakar. Ada makna juga yang mengaitkan maksudnya dengan menajamkan pedang. Ia adalah “waktu puncak”.

Disebabkan umat Islam menggunakan kalendar berasaskan bulan, maka Ramadan tidak akan jatuh pada musim yang sama tiap-tiap tahun.

Maka “panas terik” di sini adalah dari segi metafora. Ramadan adalah waktu puncak untuk berpuasa. Satu bulan berterusan. Tetapi kita tidak boleh terus melupai amalan ini di bulan lain.

Umat Islam disyorkan berpuasa sekurang-kurangnya sehari dua dalam seminggu. Ini amalan sunat tetapi jarang diamalkan kerana kesibukan kita.

Tetapi disebabkan kita sekarang dalam bulan Ramadan, maka wajar kita bernekad meneruskan puasa selepas ini juga selepas sehari beraya. Ramai orang yang mengamalkan puasa 6 hari dalam Syawal.

Sekiranya kita membiasakan diri dengan berpuasa, maka perubahan secara mendadak daripada tidak berpuasa langsung kepada berpuasa 14 jam sehari selama sebulan tidak akan mengejutkan sistem penghadaman kita. Kita akan lebih mudah memegang kepada tabiat ini selepas musim raya kelak.

Pada saya, inilah juga sebab sebenar di sebalik pembaziran yang teruk semasa bulan Ramadan.

Kapitalisme di bulan Ramadan

Pada bulan Ramadan timbullah “bazar Ramadan” di mana aneka juadah yang selalunya tidak dilihat, tiba-tiba muncul. Dari jam 3 petang lagi, penjaja memulakan perniagaan mereka.

Pada masa itu, umat Islam yang datang akan tersangat lapar kerana sudah berpuasa selama 9 jam. Tidak hairanlah mereka akan membeli makanan yang berlebihan yang hanya akan dibazirkan kerana tidak sempat dimakan sebelum basi. Ini sememangnya tidak bertepatan dengan semangat Ramadan.

Begitu juga dengan kualiti makanan di bazar ini. Beberapa orang yang saya tanya menyatakan orang yang diberi lot bazar bukannya peniaga tetap. Mereka hanya meniaga sebulan dalam setahun sahaja.

Tidak hairanlah jika mereka tidak tahu selok-belok menjaga kebersihan atau kualiti. Mereka patut tahu yang Islam memastikan mereka menjual yang halal lagi bersih.

Kapitalisme dalam Islam juga akan melunturkan semangat Ramadan. Bufet Ramadan yang harganya berpuluh dan kadang-kadang beratus ringgit melanggar semangat kesederhaan bulan ini.

Saya pernah mengunjungi bufet sebegini dan melihat aneka juadah yang ada. Sasaran ialah makan sebanyak jenis makanan yang mungkin sehingga kenyang. Orang Pulau Pinang kata, “mentekedarah”.

Orang Islam yang mahu berpegang kepada sunnah Rasulullah patut menjauhi bufet Ramadan.

Antara Tarawih dan Al-Quran

Sembahyang sunat terawih adalah lagi satu amalan bulan Ramadan yang disalah ertikan dan disalah gunakan umat Islam. Tiap-tiap tahun, akan timbullah debat sama ada umat Islam patut sembahyang 8 atau 30 rakaat.

Ada agamawan yang lebih luas pemandangan tetapi ada juga yang sempit yang menegaskan bahawa jika mereka sembahyang kurang daripada 20 rakaat, maka ia bukan tarawih tetapi sembahyang sunat biasa atau sembahyang stail “Pak Wahab” (nama jolokan bagi golongan Wahabi).

Bagi saya, pemikiran begini mengabaikan tujuan sebenar ibadat iaitu mengingati Al-Quran. Kerana kita beria-ia menghabiskan bacaan Al-Quran dalam kadar satu juzuk sehari, maka kita tidak akan dapat mendengar jauh sekali memahami bacaan imam sembahyang yang seperti “bullet train” itu.

Sepatutnya, Ramadan adalah masa kita menyegarkan kembali hubungan kita dengan kitab Tuhan. Tidak perlu kita menghabiskan satu kitab. Baca ayat dengan perlahan supaya kita dapat memahami dan mungkin mengamati tafsirnya kemudian.

Ramadan adalah nikmat daripada Tuhan untuk membawa kita kembali kepada jalan yang penuh pembaikan diri.

Oleh itu, wajarlah kita mengecapi semangat sebenar bulan ini supaya kita boleh memperolehi kebaikannya dengan sebanyak mungkin.