Hak asasi: Gagasan Khalifah Ali dibimbangi khawarij moden

makam-ali
Makam Ali bin Abi Talib, khalifah ke-4 Islam, di Najaf, Iraq.

Kira-kira 1,400 tahun lalu, ketika Ali bin Abi Talib hendak mengangkat takbir solat subuh, seorang lelaki bernama Ibn Muljam menetak beliau.

Khalifah keempat itu meninggal dunia pada 17 Ramadan, 40 Hijrah bersamaan 24 atau 28 Januari‎, ‎661.

Terbunuhnya Saidina Ali di tangan seorang lelaki Islam dari puak Khawarij (puak yang mengkafirkan umat Islam tidak sehaluan), yang juga hafiz Al-Quran dan bekas pengikutnya, merupakan batu gerhana yang memusnahkan dunia Islam. Ia adalah tanda berakhirnya Islam Muhammadi, Islam yang dianjur dan diajar oleh Rasulullah saw.

Islam baginda Rasulullah saw adalah Islam yang mengataskan hak asasi manusia.

Sebagai contoh gagasan mengenai Islam Muhammadi daripada khalifah keempat ketika zaman Khulafa Rasyidin ini dapat digali menerusi khutbah, warkah dan juga kata hikmat atau lidah pendeta.

Kata-kata bernilai Saidina Ali ini dihimpun dan disusun oleh Sayyid Radi (sekitar kurun ke 11 Masehi) di bawah judul Nahj al Balaghah (Puncak Kefasihan). Ali menekankan kesetaraan dalam kemanusiaan, dan ini dapat dilihat dengan mudah sekali dalam warkah beliau kepada Gabenor Mesir pada waktu itu iaitu Malik al-Ashtar.

Tatkala mengingatkan al-Ashtar mengenai rakyat, Ali menyebut: “Manusia itu hanya dua macam; pertama adalah saudaramu seagama atau kedua, saudaramu sesama manusia.”

Ali turut menggariskan satu metrik yang sangat penting untuk orang Islam ketika berdepan dengan pencabulan hak asasi manusia. Dalam sebuah warkah kepada anaknya, Ali menyarankan kepada anak-anaknya, antara lain, “menyatakan sikap di hadapan penindas dan menawarkan bantuan kepada yang tertindas”.

Ali Paya, seorang sarjana hak asasi manusia dalam makalah berjudul “Imam Ali’s Theory of Justice Revisited” ketika membincangkan gagasan Khalifah Ali mengenai keadilan, menyatakan wasiat beliau itu sangat penting dan menjadi satu tanggungjawab moral yang perlu dipenuhi melangkaui faktor kaum dan agama.

Jelaslah pada nasihat Ali itu, agama, bangsa, kelainan budaya, pengalaman sejarah dan keturunan tidak dapat mengatasi tanggungjawab moral ini.

Gagasan Saidina Ali tentang keadilan ini sangat relevan hari ini sehingga diangkat oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ia digunakan untuk menjadi acuan sebuah pemerintahan yang adil dan menjauhi korupsi.

Surat Ali dan PBB

Sebuah laporan Program Pembangunan PBB (UNDP) untuk negara rantau Arab pada 2002 menganjurkan 5 kebebasan yang mesti dijamin oleh pemerintah untuk menjadi pra-syarat sebagai sebuah negara yang maju dan membangun.

Lima pra-syarat ini mesti diterjemah dan dilaksanakan dalam polisi kerajaan dan saling lengkap-melengkapi. Pra-syarat yang dimaksudkan merangkumi kebebasan berpolitik, prasarana ekonomi, peluang sosial yang cukup, jaminan ketelusan dan perlindungan keselamatan.

Apa yang mustahak difahami adalah pada 2002, laporan PBB itu menjadikan surat Saidina Ali tersebut sebagai rujukan kebijaksanaan. Dalam erti kata lain surat perintah khalifah silam itu kepada gabenor Mesir tersebut menjadi bukti bahawa pemerintah Islam dituntut untuk menegakkan sebuah pentadbiran dan pemerintahan yang murni, beretika dan adil. Bukan sebaliknya.

Profesor Syed Hussein Alatas, dalam syarahan akademik beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2001 bertajuk “Cita Sempurna Warisan Sejarah”, menyatakan bahawa hak asasi manusia diperjuang dan dipertahankan oleh Saidina Ali.

“Hak asasi manusia yang timbul dari Revolusi Amerika dan Perancis, yang sekarang sedang meluas di merata dunia adalah sambungan daripada hak asasi yang dipertahankan oleh Saidina Ali daripada pengaruh yang hendak merosakkannya, dalam sejarah masyarakat Islam.” Sekali lagi surat perintah Ali kepada gabenor Malik dirujuk.

Ali telah membangkitkan dua jenis hak asasi manusia iaitu, hak layanan adil dari pemerintah dan hak berilmu pengetahuan.

Syed Hussein Alatas turut mencadangkan bahawa isi surat khalifah Ali dijadikan panduan pada zaman moden ini tanpa perlu diubah walau sedikit pun kerana seperti yang dicatatkan oleh beliau, “dasar-dasar pemikiran Saidina Ali memang daripada Islam yang diamalkan oleh Nabi Muhammad, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar”.

Cuma, Ali telah mengambil satu lagi langkah ke hadapan dengan mengambil inisiatif mendokumentasikan dasar pemikiran tersebut yang mana menurut Syed Hussein untuk dijadikan “dokumen bagi asas pemerintahan, dikaitkan dengan suasana dan keadaan, dalam bentuk falsafah pentadbiran”.

Meraikan Ali melangkaui mazhab

Selain Syed Hussein, bekas timbalan presiden Indonesia, Adam Malik dalam tahun 1980-an turut menyebut perihal Saidina Ali.

Dalam prakata buku berjudul “Imam Ali bin Abi Thalib r.a” oleh Al Hamid Al Husaini pada 1981, Adam menyatakan buku itu mungkin tidak terlepas daripada kontroversi berkait Syiah.

“Nama Imam Ali r.a dihubungkan dengan gerakan Syiah Khomeini di Iran, tapi seperti nyata dari penuturan riwayat ini, kedudukan, peranan serta makna perjuangan Saidina Ali r.a jauh melampaui sekadar cita-cita perjuangan suatu mazhab tertentu saja, kerana beliau sungguh merupakan pahlawan Islam dalam erti sejati. Oleh kerana itu, saya pun turut berharap agar buku riwayat Imam Ali r.a ini dapat dibaca pemuda-pemuda Islam Indonesia, terutama untuk menghayati betapa berat perjuangan dan betapa luhur iman dan akhlak beliau menghadapi tentangan-tentangan yang ada pada masa hidupnya.”

Dalam bahagian prakata lain, Lukman Harun, Ketua Hubungan Luar Negeri dan Kemasyarakatan Pimpinan Pusat Muhammadiyah, menyarankan buku ini dibaca kerana Ali adalah “seorang pemimpin yang mendahulukan kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadi”.

Kiai Idham Khalid turut mewartakan betapa buku tulisan Al Hamid mengenai Ali ini merupakan sebuah hasil tulisan yang terpercaya kerana mengutip bermacam-macam sumber mazhab dan tidak cenderung atau sepihak kepada mazhab tertentu.

“Menurut hemat kami, bahagian terbesarnya ditulis oleh sejarah Islam dari kalangan Ahlus Sunnah. Di samping ada pula yang ditulis oleh sejarawan-sejarawan Islam dari luar kalangan Ahlus Sunnah.’

Kira-kira 1,356 tahun yang lalu, ketika Ali hendak mengangkat takbir solat subuh, seorang lelaki bernama Ibn Muljam menghunjam pedang beracun di kepala beliau.

Kepala khalifah keempat itu menganga luka parah sehingga terserpih otaknya.

Sebelum syahid, Ali sempat memberikan wasiat politiknya untuk renungan pemerintah Islam terkemudian. Antaranya: “Jadilah kalian penentang orang zalim dan pembela orang mazlum (orang yang dizalimi).”

Memetik Rasulullah s.a.w., Ali menegaskan bahawa membaiki dan menjaga hubungan persaudaraan antara sesama kaum muslimin lebih utama daripada sembahyang dan puasa sunat.

Ali seperti yang dipetik oleh Al Hamid seterusnya mengingatkan, “Hanya ada 2 jenis orang berjuang. Pertama itu pemimpin yang memberikan bimbingan. Kedua orang yang patuh kepada pemimpin serta mengikuti kebenaran pimpinannya.”

Untuk menghuraikan maksud kata-kata tersebut, demi mempertahankan “Islam first hand” daripada Rasulullah, Ali memberikan formulanya, agar “jangan dibiar ahli keluarga Nabi dianiaya dan jangan dibiar sahabat Nabi yang tidak mengadakan bid’ah mungkar tidak dilindungi daripada kejahatan penguasa zalim”, selain dianjurkan supaya melindungi “golongan yang lemah iaitu kaum wanita dan hamba sahaya”.

Paling penting, ingatan beliau kepada rakyat adalah “jangan khuatir mencegah kemungkaran pihak penguasa sehingga nanti dikhuatiri melimpah kekuasaan kepada orang yang berperangai jahat”.

Gagasan Ali dibimbangi

Hari ini, jauh dari tempoh masa beribu tahun lamanya sejak kesyahidan Ali itu, dan jauh pula dari segi geografisnya, amalan Islam yang kita kenal di alam Melayu sudah mengalami campur tangan dan pencemaran oleh tangan penjahat dan penguasa tirani.

Oleh kerana Ali adalah yang paling kuat sekali menekankan hak asasi manusia, menentang kezaliman pemerintah dan menyanggah korupsi, maka pemerintah umat Islam dewasa ini sangat bimbang jika gagasan Ali itu dipugar dan diingati kembali.

Mereka bimbang, takut dan tidak akan membenarkan rakyat bangkit mempersoalkan hak asasi manusia dan merebut kuasa dari tangan mereka.

Untuk itu tidak berlaku, mereka, penguasa zalim akan cuba meredam dan memadam nama Ali untuk seribu tahun lagi.

Tidak ada bezanya mereka dengan Ibnu Muljam. Pembunuh terkutuk Ali ini hanya berupaya menghapuskan jasad baginda. Akan tetapi sesetengah pemerintah zalim dalam kalangan umat Islam pergi lebih jauh dari itu.

Mereka, khawarij moden ini lebih terkutuk lagi kerana ingin menghapuskan gagasan dan idea-idea keadilan Saidina Ali agar tidak diketahui umat manusia.

Faisal Tehrani ialah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan penerima Anugerah Seni Negara 2006.