Sungai Nil dan 1MDB, suatu perbandingan

1mdbOleh Hafiz Hassan

Umum mengetahui Sungai Nil adalah sungai terpanjang di dunia. Lazimnya ia dikaitkan dengan Mesir. Hakikatnya, hanya 22% air Sungai Nil mengalir dan merentasi wilayah Mesir.

Hakikatnya juga, sungai terpanjang di dunia ini mengalir dan merentasi sekurang-kurangnya 9 buah negara iaitu Ethiopia, Zaire, Kenya, Uganda, Tanzania, Rwanda, Burundi, Sudan dan Mesir.

Bayangkan sebuah sungai yang mungkin tidak sepanjang Sungai Nil tetapi mengalir dan merentasi beberapa wilayah, dari Wilayah M hingga ke Wilayah A. Bayangkan air sungai di Wilayah A tercemar.

Pihak berkuasa Wilayah A mendakwa punca dan sumber pencemaran bermula di Wilayah M. Dan ia bukan dakwaan kosong semata-mata.

Sebaliknya dakwaan itu dibuat susulan siasatan yang rapi dan terperinci oleh agensi yang berwenang di Wilayah A.

Pihak berkuasa Wilayah M pula menafikan dakwaan pihak berkuasa Wilayah A. Malah pihak berkuasa Wilayah M menuntut pihak berkuasa Wilayah A mengemukakan bukti bahawa punca dan sumber pencemaran bermula di Wilayah M.

Apa pun, pihak berkuasa Wilayah A sudah pun memulakan kerja pembersihan sungai sebagai melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai pihak berkuasa. Bila tiba masanya nanti, ia mahu membuktikan punca dan sumber pencemaran bermula di Wilayah M.

Nah, apakah tindakan pihak berkuasa Wilayah A dalam menangani pencemaran sungai dalam wilayahnya dengan menggunakan agensi berwenangnya itu suatu tindakan mencampuri urusan dalaman Wilayah M? Apakah perlu pihak berkuasa Wilayah A memaklumkan tindakannya kepada pihak berkuasa Wilayah M?

Sebab itu, kita musykil dengan kenyataan senada kalangan mufti bahawa tindakan seperti yang diambil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) adalah campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman Malaysia.

Meminjam perumpamaan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman, mana mungkin tindakan dalam sesebuah rumahtangga demi menjernihkan rumahtangga itu boleh dianggap campur tangan dalam hal ehwal rumahtangga lain, apatah lagi memporak-perandakan rumahtangga yang lain itu.

Hakikatnya, bukan DoJ sahaja yang mengambil tindakan undang-undang berkaitan 1MDB. Negara jiran terdekat, Singapura, juga mengambil beberapa tindakan yang bersifat regulatori dan pendakwaan jenayah.

Malah Singapura menyenaraikan tindakannya setakat pada 30 Mei 2017 dalam satu kenyataan akhbar oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada tarikh yang sama (Financial Penalties Imposed on Credit Suisse and UOB for 1MDB-Related Transactions)

Dalam kenyataan itu, MAS mengumumkan ia mengakhiri siasatan semakan 2 tahun ke atas bank di negara itu yang terlibat dengan dana 1MDB. Dalam tindakan terbarunya, MAS mengenakan tindakan penalti kewangan terhadap 2 bank serta mengenakan perintah larangan (PO) terhadap 3 individu.

Sebelum itu, antara tindakan MAS ialah mengarahkan penutupan BSI Bank dan Falcon Bank ekoran kegagalan pengurusan kanan mengawal mendapati berlakunya pelanggaran anti-pengubahan wang haram selain mengeluarkan PO selama 10 tahun sehingga seumur hidup ke atas 4 bekas pekerja institusi kewangan terbabit dalam transaksi berkaitan 1MDB.

Selain itu, ia juga mengenakan penalti kewangan berjumlah S$29.1 juta ke atas 8 buah bank, iaitu BSI Bank, Falcon Bank, DBS, UBS AG, Standard Chartered Bank, Coutts, Credit Suisse dan UOB atas pelbagai pelanggaran peraturan pengubahan wang.

Yang menarik juga, tindakan turut diambil terhadap individu di mana MAS mengeluarkan arahan 15 tahun PO terhadap 3 individu iaitu Jens Fred Sturzenegger, Yak Yew Chee dan Seah Mei Ying.

Sturzenegger adalah pengurus cawangan Falcon Private Bank Ltd, cawangan Singapura (Falcon Bank), manakala Yak dan Seah adalah pekerja BSI Bank Limited (BSI Bank).

Ketiga-tiganya bahkan berdepan dengan pendakwaan jenayah. Hasilnya, Sturzenegger telah dijatuhkan hukuman penjara 28 minggu dan denda S$128,000 setelah mengaku bersalah atas 6 pertuduhan jenayah kewangan termasuk memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa dalam usaha untuk menutup hubungan Falcon Bank dengan Low Taek Jho dan Yak.

Seah pula dijatuhkan hukuman penjara 2 minggu dan denda S$10,000 setelah mengaku bersalah atas 3 pertuduhan termasuk gagal melaporkan urus niaga mencurigakan dan memalsukan surat rujukan di BSI Bank bagi pihak Low.

Manakala Yak dijatuhkan hukuman penjara 18 minggu dan denda S$24,000 setelah mengaku bersalah atas 4 pertuduhan termasuk memalsukan surat surat rujukan berkenaan Low.

Kalau kita melakukan tabayyun seperti dianjurkan oleh Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, kita akan menemukan dapatan di atas.

Sedangkan di Malaysia, masih tiada pendakwaan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam transaksi berkaitan 1MDB.

Sebab itu, tidak hairanlah kalau ada yang bersuara: Pihak asing siasat dan dakwa institusi dan individu dalam transaksi berkaitan dengan 1MDB, tidak malukah kita?

* Hafiz Hassan ialah pembaca FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.