3 cadangan selesai isu lulus BM untuk anak diplomat dan sepertinya

medical_student_spm_600

Oleh Nisar Mohammad Ahmad

Menurut menteri kesihatan, 23 doktor perubatan yang tidak memenuhi syarat lulus Bahasa Melayu (BM) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran malaysia (SPM) untuk pelantikan Pegawai Perubatan UD-41 kebanyakannya anak diplomat Malaysia yang bertugas di luar negara. Sebelas daripadanya anak Melayu.

Ada dalam kalangan mereka yang menghabiskan keseluruhan tempoh pengajian rendah dan menengah serta peringkat ijazah di luar negara kerana mengikuti ibu bapa yang bertugas di luar negara. Atau mungkin juga ada anak diplomat yang memulakan persekolahan di luar negara, apabila pulang ke tanahair mereka menyambung persekolahan di sekolah antarabangsa.

Disebabkan mereka bersekolah di luar negara atau di sekolah antarabangsa, maka mereka tidak mengambil SPM (termasuk kertas BM) seperti rakan-rakan sewarganegara mereka yang lain. Sebaliknya mereka mengambil peperiksaan O-level atau peperiksaan lain yang setaraf. Justeru, ada yang katakan, walaupun mereka tidak mengambil SPM tidak semestinya mereka tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu kerana mereka rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi 11 orang daripada 23 orang doktor terbabit berbangsa Melayu.

Bagaimana mungkin orang Melayu tidak boleh bercakap dalam BM?

Cumanya harus diingat, setakat ini syarat BM dalam SPM adalah satu-satunya kaedah tapisan yang perlu dilepasi oleh mana-mana bakal penjawat awam untuk membuktikan kemahiran BM mereka. Hatta jika ada rakyat Malaysia yang lahir dan tinggal di Malaysia serta bertutur dalam BM dalam percakapan seharian sekalipun, jika tidak lulus BM dalam SPM masih tidak boleh bekerja di sektor awam.

Namun, jika diamati, rakyat Malaysia yang melazimi pertuturan BM biasanya akan lulus BM dalam SPM. Hanya rakyat Malaysia yang jarang atau tidak pernah membiasakan diri dengan BM sahaja yang tidak mampu lulus BM dalam SPM.

Berdasarkan senario di atas, saya ingin ccadangkan 3 perkara.

Pertamanya, mekanisme dan standard penilaian BM dalam SPM tidak perlu terlalu tinggi seolah-olah ingin melahirkan pakar bahasa. Memadai dengan standard yang menjurus kepada memastikan rakyat Malaysia memahami asas-asas penting BM dan menghayatinya sebagai bahasa kebangsaan yang akan digunakan mereka di alam perkerjaan, urusan rasmi dan pertuturan seharian.

Bagaimanapun, jika format dan standard soalan BM SPM sekarang ini memadai untuk menyediakan asas-asas penting BM kepada rakyat Malaysia, maka ia boleh diteruskan.

Kedua, untuk kategori rakyat Malaysia seperti 23 doktor di atas, dicadangkan mereka melalui proses tapisan bahasa samada dengan cara mengambil SPM secara persendirian atau mengambil kertas BM Julai (kertas ulangan) atau diwujudkan mekanisme penilaian khas yang dapat mencapai objektif penguasaan BM mereka. Adapun memberi pelepasan atau kelonggaran dari syarat lulus BM SPM ini dibimbangi akan menyebabkan keperluan syarat kemahiran berbahasa BM itu dilihat tidak penting dan boleh dikompromi.

Ketiga, memandangkan kebanyakan yang terlibat anak-anak diplomat atau rakyat Malaysia yang bertugas di luar negara, dicadangkan agar ibu bapa mereka melazimi perbualan di rumah dengan anak-anak dalam BM. Itulah identiti “ke-Malaysia-an” anda. Jika ini tidak berlaku, tiada ruang untuk anak-anak anda menggunakan BM kerana di luar rumah, samada di sekolah atau tempat bermain mereka lebih banyak menggunakan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris.

Amat malang andai mereka lebih menguasai bahasa asing tetapi tidak fasih atau tidak faham bahasa ibunda sendiri. Ia suatu “kecacatan” untuk seseorang warga Malaysia. Ibu bapa perlu berperanan di sini untuk menanam rasa cintakan negara yang salah satunya dengan memastikan penguasaan BM dalam kalangan anak-anak mereka.

Nisar Mohammad Ahmad adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-Undang di Universiti Sains Islam Malaysia.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.