Wahhabi dan industri fekah di Malaysia

islamalbum

Saya terbaca pengumuman di media sosial tempoh hari, mengenai sebuah seminar yang bakal diadakan dalam beberapa bulan tentang mazhab dan fekah mazhab Syafi’i di Malaysia.

Dewasa ini, banyak seminar sebegini tetapi apa yang menghairankan, muka yang muncul kali ini bukan pula daripada mereka yang mendakwa tidak taksub kepada mazhab.

Ada di kalangan mereka sebenarnya cukup anti kepada mazhab dan menganggap diri mereka sebagai hanya berpegang kepada “Quran dan Sunnah”, sementara agamawan lain digelar sebagai asatizah “kampung”.

Pendapat sebegini merupakan petanda amat kuat yang mereka itu Wahhabi, aliran rasmi agamawan Arab Saudi yang terkenal dengan fatwa sempit dan harfiah itu.

Di Malaysia, pengaruh pemikiran begini membuka ruang kepada industri fekah alaf baru.

Apa itu Wahhabisme? Jika ditanya kepada Wahhabi sendiri, mereka yang bersembunyi di sebalik maksud literal, Wahhabi adalah pengikut Muhammad ibn Abdul Wahab yang hidup pada kurun ke-19.

Dia memberi tumpuan kepada tawhid (keesaan Allah) dan menentang keras amalan yang dianggap “bid’ah” (inovasi dalam agama).

Disebabkan dia bermazhab Hanbali, dia bersumberkan Al-Quran dan Hadis (walaupun kebanyakan penganut mazhab ini pada zaman moden menolak Wahhabisme).

Namun begitu, pentakrifan ini terlalu literal dan diberi hanya untuk menyembunyikan sifat Wahhabi yang sebenar.

Siapa bawa Islam sebenar?

Hakikatnya, yang ditentang bukanlah Ibn Abdul Wahab sendiri (yang menulis kitab yang amat canggih tentang tawhid) tetapi sikap pengikut Wahhabi. Mereka merasakan diri mereka sebegai pewaris sebenar Al-Quran dan Sunnah.

Mereka menggunakan label “ahlul hadis” untuk memperdepankan golongan mereka sebagai golongan yang meneliti khazanah hadis dan memahami bagaimana untuk menapis hadis sahih daripada koleksi hadis.

Mereka juga gemar memetik hadis tentang 73 puak, di mana satu puak yang terselamat itu ialah puak mereka!

Sains ekonomi mengatakan keperluan atau kemahuan perlu diwujudkan supaya bekalan boleh diberi. Inilah prinsip yang paling sesuai untuk mengungkap industri fekah di Malaysia.

Prinsip yang dilontarkan oleh umat Islam semasa berdakwah seperti “Islam itu mudah” akan terus dilupakan dan digantikan dengan pula dengan amaran yang kita jangan tersalah fekah nanti amalan kita ditolak. Kalau salah fekahnya, kita akan mengikut amalan “bid’ah” dan bukan sunnah.

Makan akan dipetiklah hadis yang berbunyi yang setiap bid’ah itu penyelewengan dan setiap penyelewengan itu dalam api (neraka). Begitulah mereka menakutkan umat Islam.

Kekeliruan mengenai ibadah

Persoalannya, bagaimana kaum Wahhabi menilai amalan yang bid’ah? Jika kita mengambil sambutan Maulud Nabi sebagai contoh, golongan Wahhabi menentang apa yang ditermakan mereka sebagai “ibadat khusus” dalam sambutan ini.

Kita tidak dibolehkan mengadakan sembahyang atau puasa yang khusus, jauh lagi zikir dan lagu meraikan sambutan ini. Perarakan yang membawa sepanduk pula dikritik sebagai “membuang masa”.

Di sinilah berlaku kecelaruan dalam fikrah Wahhabi. Bagi mereka, terdapat garis pembahagian antara ibadat “khusus” dan secara logiknya, ibadat “am”. Jika kita sembahyang sunat mustahab (sunat biasa 2 rakaat), tidak mengapa, tetapi tidak boleh sembahyang disebabkan Maulud Nabi.

Begitu juga dengan puasa – jika kita puasa sunat biasa, tidak mengapa, tetapi kita jangan puasa kerana Maulud pula, kerana itu sudah bid’ah! Padahal ibadat itu sama sahaja!

Namun, inilah mentaliti Wahhabi. Pada mereka, ibadat “khusus” perlu disandarkan kepada dalil yang hanya dapat disahihkan oleh mereka, kerana kononnya merekalah yang menguasai ilmu hadis sepenuhnya.

Yang menghairankan, apabila menonton video ceramah mereka, tidak pula kita sepi daripada mendengar mereka mengatakan ada “khilaf” di kalangan ulama. Khilaf (daripada perkataan Arab ‘ikhtilaf’), yang bermaksud perbezaan pendapat, menunjukkan yang ulama silam sampai membuat rumusan berlainan apabila menjalankan proses fekah (fekah adalah proses di mana maklumat yang sedia ada daripada sumber syariat iaitu Al-Quran dan Sunnah diteliti untuk mendapatkan hukum).

Ini lumrah manusia, tetapi masalahnya, Wahhabi perlu mewujudkan imej yang mereka inilah pewaris Nabi yang sebenar dan menjalankan hukum Tuhan. Maka tidak wajarlah wujud pewaris Nabi lain yang berkhilaf!

Secara logiknya, Nabi mempunyai sistem peribadatan khusus yang satu kerana jika peribadatan itu daripada Allah, maka ia tidak boleh ada percanggahan (berdasarkan prinsip Al-Quran, Surah An-Nisa, Ayat 82).

Jadi bagaimana pula golongan Wahhabi yang kononnya mewarisi sunnah yang sebenar boleh ada banyak percanggahan pula?

Alih pandangan

Inilah industri fekah yang kian tumbuh di Malaysia. Orang Islam dididik dari awal supaya mempunyai fekah yang betul, maka mereka pun beraraklah menyertai seminar seperti disebutkan di atas.

Sebenarnya, apakah jalan yang patut kita ambil? Adakah kita memerlukan beribu-ribu hukum yang tidak dapat disahihkan dan yang sebenarnya tafsiran manusia?

Jika diteliti kandungan Al-Quran, jawapannya tidak. Hukum-hakam yang terkandung dalam kira-kira 100 ayat sebenarnya hanya 2% daripada bilangan ayat secara keseluruhan!

Maksudnya, Al-Quran sendiri tidak menekankan hukum-hakam. Penekanan ini adalah produk fikrah manusia sahaja dan sebenarnya, bertujuan mengalihkan pandangan daripada perjuangan Islam menegakkan keadilan.

Cuba fikir, pernahkah diadakan seminar tentang rasisme dan hak istimewa kaum menurut perspektif Islam? Tidak pernah. Agaknya kenapa?