Kesihatan Dr M faktor penting

mahathirDalam Pakatan Harapan (PH), ramai yang kini bergantung hidup pada Tun Dr Mahathir Mohamad seperti PPBM kerana undi Melayu semakin menjauhi PH.

Kesudian DAP dan PKR untuk bersama semula dengan Dr Mahathir menandakan kegagalan Amanah dalam menarik undi orang Melayu. Mereka tiada cara lain, selain berbaik dengan Dr Mahathir.

Dr Mahathir pula memerlukan liputan media yang positif terhadap beliau. Media prokerajaan sudah tentunya tidak akan memberikan ruang tersebut, tapi media yang propembangkang akan memberikan ruang tersebut, maka terpaksalah beliau mendampingi DAP dan PKR.

Dr Mahathir kini dilambung umpama sebuah saham yang diura-urakan harganya akan meningkat secara mendadak.

Hasilnya, mereka yang mengejar kuasa dan kekayaan sanggup mengambil risiko dengan membeli saham tersebut lalu terus melonjakkan harganya menjadi harga premium.

Apakah nilai saham ini disokong dengan asas yang kukuh? Saham tanpa asas yang kukuh, apabilanya ia jatuh, ia akan jatuh lebih mendadak berbanding ketikanya naik. Tapi bagi pengejar kuasa, tiada yang sanggup menjual saham tersebut sebelum ia mencapai harganya iaitu Putrajaya.

Mereka yang pernah digigit seperti PSM dan Kua Kia Soong pula menjerit-jerit dari tepi agar rakyat biasa menjauhi saham bernama Dr Mahathir ini. Mereka membayangkan bahawa saham ini hanyalah ilusi dan sangat berbahaya untuk dijadikan satu pelaburan.

Tapi bagi mereka yang mengejar kuasa, mereka tidak peduli, walaupun ada anak muda menggelar mereka sebagai badut. Yang penting ialah iman mereka terhadap ura-ura itu terus kukuh, bahawa saham ini akan terus meningkat nilainya sehingga ke Putrajaya.

Hidup mati mereka kini bergantung kepada Dr Mahathir.

Apa tidaknya? Dr Mahathir kini berkempen seperti seorang calon presiden Amerika Syarikat (AS) untuk menggantikan presiden yang ada.

Tanpa nama Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam kertas pendaftaran PH, Dr Mahathir berjaya menyempitkan optik perlawanan di PRU14 menjadi perlawanan antara beliau dengan Najib.

Rakyat diberikan persepsi bahawa jika PH menang, Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri ketujuh walaupun setakat ini Dr Mahathir masih bermain teka-teki sama ada beliau akan bertanding mahupun tidak. PH pula malu-malu untuk mengakuinya.

Untuk terus membina persepsi ini dan agar persepsi ini akan melekat di minda rakyat, Dr Mahathir perlu muncul sentiasa, dan perlu dilihat sebagai sihat dan fit untuk menerajui PH.

Dr Mahathir kini umpama bintang bola sepak ternama. Tanpa kehadiran di mana-mana satu perlawanan kerana faktor kesihatan akan menyebabkan perlawanan itu hilang tarikan, dan para penonton merasakan harga tiket yang dibayar tidak berbaloi. Malah ada yang akan menjual saham terlebih awal.

Masalahnya boleh Dr Mahathir mengikuti ‘such punishing schedule’ pada usianya yang kini menjangkau 92 tahun?

Kehilangan beliau 2 hari lepas daripada ceramah PH menimbulkan segala macam persoalan. Dikhabarkan beliau tidak sihat. Penulis mendoakan agar beliau cepat sembuh.

Apapun, kesihatan Dr Mahathir kini menjadi faktor penting kepada PH menghadapi PRU14. Tanpanya, segalanya akan ‘back to square one’ bagi PH.