Umno usah menghasut, Pakatan tetap jamin hak Melayu

Mohd-Sany-Hamzan-umnoOleh Mohd Sany Hamzan

Perkara 153 dalam Perlembagaan negara yang mengiktiraf kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera tetap terjamin dan dipertahankan apabila Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara.

PH yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan kepimpinannya mendukung sepenuhnya semangat Perlembagaan Negara terutama melibatkan kepentingan bumiputera.

Dalam perjanjian PH yang termeterai pada 13 Disember 2016, PKR, DAP, Amanah dan PPBM bersepakat dan bersetuju untuk menyokong beberapa perkara penting termasuklah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas, aman dan damai di di negara ini sejajar dengan Perkara 3; serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

Pemuda Amanah menangkis dakwaan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri kononnya hak keistimewaan orang Melayu akan hilang sekiranya PH diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Batu Sapi semalam, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu mendakwa jika kuasa pemerintahan negara diambil PH, semua yang dirancang kerajaan untuk pertahankan Melayu dan Bumiputera musnah.

Pemuda Amanah mengutuk kenyataan melampau Ismail yang cuba menakut-nakutkan rakyat khususnya orang Melayu dengan mendakwa kononnya hak mereka akan tergadai sekiranya PH memerintah. Kenyataan sedemikian sangat keterlaluan dan bersifat hasutan terhadap orang Melayu agar tidak melakukan perubahan.

Kami percaya, rakyat sangat berkeyakinan terhadap kepimpinan PH yang sangat mementingkan aspek kepentingan semua kaum dan keistimewaan orang Melayu. Sudah pasti pimpinan seperti Dr Mahathir akan memastikan orang Melayu sentiasa dijamin seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Umno cuba menakut-nakutkan rakyat kononnya DAP mengetuai PH sedangkan mereka mengetahui hakikat sebenarnya. Umno juga cuba menggambarkan kononnya orang Melayu di Pulau Pinang terpinggir sedangkan MCA baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa DAP lebih mementingkan melayu di negeri tersebut. Mereka antara sesama parti komponen cuba menipu rakyat demi survival undi kelompok mereka.

Pemuda Amanah mengajak seluruh rakyat menolak politik perkauman yang sentiasa dimainkan demi mengekalkan survival politik Umno-BN khususnya menjelang pilihan raya. PH tetap komited menyuburkan semangat demokrasi serta mengangkat martabat perlembagaan negara.

Rakyat telah cakna terhadap taktik yang dimainkan oleh Umno dalam menutup salah laku dan kegagalan mereka mengurus tadbir negara. Kami yakin rakyat telah meletakkan azam untuk membuat perubahan dalam PRU14 nanti!

Mohd Sany Hamzan adalah Ketua Pemuda Amanah Nasional

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.