Semangat sambut Merdeka yang semakin pudar

Merdeka-DayOleh Ishak Sairozi

Ia pasti menjadi sejarah. Tidak kira berapa kali kemerdekaan negara ini disambut oleh warganegaranya namun ia tetap akan mengukir sejarah yang sangat bermakna kepada negara.

Malaysia merupakan satu negara yang unik di mana pelbagai kaum hidup dalam suasana aman harmoni dan telah merdeka lebih daripada separuh abad.

Negara ini, dari segi sejarah merdekanya merupakan kisah silam yang indah tentang perjuangan pelbagai bangsa menuntut kemerdekaan negara.

Malaysia pada tahun ini akan menyambut kemerdekaannya yang ke-60. Di sebalik 60 tahun kemerdekaan ini kita sewajarnya perlu mengambil iktibar sejarah kemerdekaan negara ini.

Datuk nenek kita, adalah pejuang merdeka yang sebenar. Bekas-bekas pemimpin kita adalah pahlawan kita. Toleransi dan penerimaan pada zaman sebelum merdeka adalah ikhtibar yang harus kita renung dan muhasabahkan hinggalah dewasa ini.

Kita hidup dalam lipatan memori sejarah perjuangan para perajurit yang bermandi darah, berpeluh keringat, memerah kudrat demi kesejahteraan masyarakat pada masa kini.

Justeru, merdeka dan sejarah tidak dapat dipisahkan.

Malangnya, kisah sejarah kemerdekaan hanyalah silibus yang diletakkan sedikit sahaja dalam sukatan pelajaran di sekolah.

Sejarah kemerdekaan hanyalah cerita kecil dalam buku teks sejarah, buku sivik dan kewarganegaraan, serta subjek kajian tempatan.

Kisah tentang kemerdekaan juga hanya diceritakan dalam Kem Biro Tata Negara, Program Latihan Khidmat Negara dan pegawai yang dipilih mengikuti program Pegawai Tadbir Diplomatik di mana hanya segelintir yang mendapat input tentang sejarah merdeka.

Kisah merdeka hanya diceritakan kembali berulang kali ketika bulan 8 memasuki tarikhnya.

Kita tidak berminat untuk bercerita tentang kisah merdeka kita sekiranya tiada keadaan mendesak yang menyuruh kita berbuat demikian.

Oleh sebab itulah, merdeka pada hari ini, hanyalah sebuah cerita lampau yang seakan tidak bermakna kepada masyarakat era baru.

Pada beberapa tahun kebelakangan ini, kita sebenarnya semakin kurang semangat kemerdekaan dalam diri kita. Lihat sahaja di jalan raya pada Ogos.

Kereta berjenama Malaysia banyak di jalan raya tidak kurang juga jenama luar negara tetapi boleh dikira hanya beberapa sahaja yang bersemangat patriotik melekatkan bendera di atasnya.

Bendera Malaysia, jalur gemilang tidak berkibar semegah dan sebanyak dahulu.

Bukan sahaja di jalan raya, bahkan organisasi-organisasi kecil dan besar, di kampung ataupun di bandar, kebanyakannya tiada inisiatif sendiri untuk mengibarkan jalur gemilang di bangunan mahupun premis mereka.

Ini menunjukkan semangat merdeka kita sudah semakin pudar.

Menyemai kebanggaan pada bendera merupakan salah satu ciri penting dalam pembinaan negara.

Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan bendera kebangsaan mereka kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara yang dapat membantu usaha ke arah mempromosikan dan mengukuhkan lagi proses pembinaan negara dalam negara kita yang berbilang kaum, agama dan budaya ini.

Bendera Jalur Gemilang yang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriorisme adalah penting untuk kita menanam semangat dan nilai-nilai nasionalisme dan patriotisme ini dalam kalangan generasi muda.

Salah satu cara untuk menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera.

Menganjurkan kempen “Cintakan Bendera Kita” di sekolah, dalam kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya.

Dan ini tidak seharusnya diadakan hanya bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan, malah sepanjang tahun.

Di samping semangat merdeka yang semakin pudar, kita juga sudah semakin kurang semangat patriotik terhadap negara yang kita sayangi ini.

Di sebalik kisah hebat negara merangkul pelbagai kejayaan dan pencapaian di mata dunia masih terdapat rakyat yang tidak cinta dan sayangkan negara.

Banyak kisah penghinaan terhadap negara sendiri kini sedang kita hadapi. Pelbagai isu yang menjejaskan perpaduan dan keamanan negara menunjukkan sikap
tidak patriotik kita terhadap Malaysia.

Di pelbagai tempat di negara ini kita lihat masalah yang berkaitan dengan sikap kita terhadap persekitaran dan masyarakat memperlihatkan kita sudah tidak sayang akan negara ini.

Pembuangan sampah merata, vandalisme hinggalah ke kisah pengeboman yang berlaku di tanah air sendiri adalah cerita yang menunjukkan kita tidak sayang kepada Malaysia dan keamanan yang dimilikinya.

Kelantangan beberapa pengguna media sosial yang mengutuk Malaysia dan mencabar kedaulatannya turut dikesali.

Akaun palsu yang tumbuh bak cendawan digunakan untuk memburukkan lagi institusi di Malaysia seperti PDRM, SPRM malah majlis Raja-Raja Melayu juga tidak terlepas daripada dihina melalui media sosial.

Keterbukaan kita mengikis dan menghakis nilai murni dan cinta kita kepada raja dan negara – prinsip Rukun Negara ke-2.

Menjelang 60 tahun kemerdekaan negara. Kita seharusnya pergi lebih jauh ke hadapan menuju negara maju menjelang tahun wawasan.

Kita perlu sedar negara ini bangun dan terus berjaya kerana kisah lampaunya yang dipenuhi sejahtera pelbagai bangsa.

Perpaduan adalah tunjang utama kemerdekaan negara kita. Justeru, masyarakat pada hari ini perlu bermuhasabah diri menilai tentang penghayatan kemerdekaan yang ada dalam diri.

Setiap pihak haruslah bersatu padu mencambahkan lagi benih kemerdekaan supaya sejarah semakin subur dihayati masyarakat pelbagai kaum negara ini.

Hari ini, lagu Negaraku semakin kuat bergema di banyak majlis anjuran kerajaan mahupun bukan kerajaan hasil keberkesanan kempen Negaraku yang digerakkan kerajaan.

Lagu Negaraku adalah peniup semangat kepada rasa cintakan tanah air. Dasawarsa yang mencabar ini juga menuntut kita untuk tidak lupakan ideologi kebangsaan yang kita banggakan.

Seperti yang dilafaz dalam bacaan ikrar, kita ingin mencapai cita-cita Rukun Negara berdasarkan prinsipnya.

Justeru kita harus memberi keutamaan kepada Rukun Negara untuk terus menjadi nadi yang menyatupadukan kita dalam semangat merdeka.

Keutamaan harus diberi kepada Rukun Negara sebagai tanda nasionalisme. Pengetahuan tentang Rukun Negara harus dipertingkatkan melalui institusi pendidikan dan media.

Rukun Negara harus dijadikan kayu ukur penggubalan dasar.

Marilah kita semua bersatu hati untuk berjanji akan menjadikan merdeka tahun ini sebagai sambutan yang gemilang. Marilah kita sama-sama kembali menghayati erti kemerdekaan 60 tahun yang kita kecapi.

Marilah kita sama-sama mengibar jalur gemilang kebanggaan kita di semua tempat yang ada.

Marilah kita menyebarkan cerita tentang sejarah merdeka kepada semua generasi muda dan bakal pewaris bangsa.

Marilah kita hakis nilai negatif masyarakat dalam usaha melahirkan masyarakat yang merdeka dan sejahtera.

Akhir kata, mari kita seluruh warganegara, ramai ramai menyambut hari merdeka. Merdeka!

Penulis ialah eksekutif di Yayasan 1Malaysia.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.