Salam David Beckham dan ‘apartheid’ baru

salam-beckham

Semakin lama, semakin luas jurang perbezaan di antara rakyat Malaysia beragama Islam dan bukan Islam.

Pengasingan ini dinamakan “apartheid”. Sebab apartheid ini berlaku bukanlah tuntutan Islam sendiri, tetapi amalan yang diajar oleh agamawan yang tidak dapat membezakan agama dan budaya.

Amalan ini boleh jadi amalan yang kecil sahaja seperti berjabat tangan.

Minggu lepas, lagenda bola sepak dunia, David Beckham, terpegun apabila tangan yang dihulurkan tidak disambut oleh seorang wanita Melayu Islam.

Beckham datang ke Malaysia sebagai duta global AIA, bertindak pantas lalu meneruskan senyumannya.

Yang menghairankan, akhbar The Star yang melaporkan kejadian itu berkata tindakan wanita itu bertepatan dengan “batas pergaulan Islam”.

Inilah masalah sebenarnya. Dengan mudah, sebuah akhbar “arus perdana” membuat dakwaan yang ini “batas pergaulan Islam”.

Yang sebenarnya, peraturan sedemikian tidak disebut langsung dalam Al-Quran, sumber utama Islam. Ia hanya menyatakan jangan mendekati zina (Surah Al-Isra, ayat 32). Adakah dengan berjabat tangan di khalayak ramai itu boleh membawa kepada zina? Tak masuk akal langsung!

Sebenarnya, wanita ini hanya mengikut suruhan ustaz yang tidak memahami perbezaan antara budaya dan agama, itu saja.

Di Arab Saudi, lelaki dan perempuan tidak boleh duduk dalam satu ruang. Tiada percampuran langsung. Inilah yang menjadi ikutan ulama tempatan, iaitu budaya Arab kuno sahaja.

Di Turki, tiada masalah begini. Lelaki dan wanita boleh bercampur gaul dengan baik, bersalaman dan malah juga boleh melakukan “air kiss”! Saya pun terkejut apabila melihat amalan ini buat kali pertama. Tetapi mereka selamba saja kerana ini memang budaya mereka. Bukan ia mendekati zina pun.

Kesucian di Johor

Kalau bersalaman pun menjadi satu hal, apatah lagi isu yang cukup dekat di hati Melayu Islam – isu kesucian.

Minggu lepas, muncul laporan sebuah kedai dobi di Muar yang khas untuk orang Islam sahaja. Maka lebih luaslah jurang di antara kita. Mufti Johor sendiri yang mengiakan polisi itu. Menurutnya, orang Islam perlu menjaga kesucian mereka dan apa-apa unsur daripada bahan tidak suci boleh mengkompromi kesucian ini.

Tidakkah mufti itu tahu yang atom-atom juga boleh meresap ke udara? Dan mengikut kitaran air, air yang kita gunakan itu bukanlah air baru tetapi air yang pastinya dipakai oleh orang-orang lain sebelum itu?

Jadi bagaimana ia boleh disucikan lebih daripada kaedah yang biasa? Bagaimana pula kalau pakaian orang Islam yang menggunakan kedai ini tersentuh dengan pakaian orang bukan Islam pula? Tentunya peluh orang bukan Islam akan mengandungi atom yang “tidak halal” dan membatalkan sembahyang kita!

Kalau mahu benar-benar yakin, maka orang Islam kenalah berpindah ke planet yang lain!

Sedihnya, inilah akibat kita kurang daya pemikiran. Al-Quran hanya mengharamkan pemakanan daging babi (lahm al-khinzeer). Atom-atom babi tiada disebut langsung. Dalam kes anjing pun, kalau binatang tangkapan buruan anjing itu pun boleh halal (rujuk 5:4), maka tidak perlulah kita poyo sangat dengan kedai dobi Islam ini.

Baru-baru ini, timpul pula klip video dari kawasan Flora Damansara, di mana sekumpulan berpakaian lengkap dengan jubah dan kopiah memberikan peringatan kepada orang awam.

Tiga permintaan mereka ialah berkisar penggunaan dadah, minuman keras di tempat awam dan pakaian sopan.

Permintaan pertama tiada masalah langsung. Semamangnya pengambilan dadah itu salah di sisi undang-undang.

Permintaan kedua kena difikirkan dulu. Di kedai yang menjual alkohol, sudah tentu kedai yang menjual arak perlu ada lesen. Jika apa yang dimaksudkan “tempat awam” adalah padang permainan dan sebagainya, maka kita patut setuju. Mabuk di tempat awam boleh membahayakan, terutama jika ada kanak-kanak berdekatan. Ini telah menjadi masalah besar di Barat.

Permintaan ketiga sememangnya bermasalah. Siapakah yang berhak mentakrifkan apa itu pakaian sopan? Jika ditanya golongan agamawan, mereka mungkin berkata berjubah sahaja yang sopan!

Kita tidak berhak menyuruh orang lain berpakaian “sopan”. Seseorang berhak menentukan pakaian mengikut kepercayaan masing-masing.

Malaysia satu negara berbilang bangsa dan agama. Janganlah kita membiarkan satu golongan mendominasi ke atas golongan lain.

Dasar yang dianggap Islamisasi datang dengan kita tidak sedar. Sebelum kita tahu, mungkin kita telah menjadi negara Taliban!

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.