
Untuk mereka yang membaca novel saya “Bagaimana Anyss Naik ke Langit” (diterjemah sebagai “How Anyss Went to Heaven”) dan kini “Profesor”, akan ada satu pertanyaan, mengapakah gaya penulisan saya ini kurang “glamour”.
Mungkin, kerana saya suka melawan. Jadi tujuan saya mengarang adalah untuk melawan. Selain melawan gagasan yang menurut kayu ukur saya kesasar, saya juga melawan bentuk sedia ada.
Saya bukan melawan tanpa tapak atau sebab musabab. Saya merujuk ke belakang dan mengangkat ciri-ciri tradisional agar dapat diserap ke dalam kerja sastera yang kontemporari.
Ciri tradisi ini menurut saya sangat kaya dan dapat menjadi peluru penabur untuk musuh yang kita hadapi hari ini.
Adalah sukar sekali untuk membawa masuk ciri tradisi ini. Ia mungkin menggelisahkan segelintir pembaca. Akan tetapi kerja seniman adalah juga untuk menjambatani masa lalu dan masa kini. Itu adalah dialog paling praktikal. Projek dialog yang sebenar, menurut saya adalah menghubungkan alam tradisi dan dunia moden.
Saya mendapati pengarang Melayu dulu-dulu adalah bukan setakat penghibur, tetapi juga pengasuh dan pendidik. Oleh kerana itu, terdapat secara ketara elemen didaktik.
Saya selalu memberitahu pelajar saya, orang Melayu tiada suatu gagasan tetap untuk menyampaikan cerita.
Tetapi yang pasti, cerita itu selalunya pelajaran – “stories are lessons” – makanya kita ketemukan karya Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) yang menulis pada tahun 1940, yang menyatakan cerita selalunya ada matlamat, ia sengaja dimasukkan dalam kisah.
Kemudian saya menemukan pengarang Melayu suka memuatkan kembara dan misteri. Dalam tahun-tahun 1939 dan 1940 misalnya, cerpen kembara dan misteri yang ditulis dengan gaya bebas dan dimuatkan elemen didaktik sangat dominan sekali dalam pasaran.
Pada gaya dan teknik, pengarang Melayu itu adalah juga pengarang esei atau makalah yang fasih dan berjaya. Johan Jaafar dalam “History of Modern Malay Literature” sebagai contoh menyatakan yang kandungan berat-berat itu sangat mustahak sehingga pengarang akan menggunakan apa sahaja bentuk dan struktur asalkan tujuan mereka tiba.
Satu lagi ciri tradisi yang sangat ketara adalah penerangan yang terperinci, kecil-kecil dan panjang-panjang, serta khutbah yang bertele-tele, yang kadang-kala menguasai cerita.
Novel Melayu yang pertama – Hikayat Panglima Nikosa – adalah contoh terbaik. Pengarangnya adalah Ahmad Syawal Abdul Hamid. Novel ini terbit pada tahun 1876 di Kuching, Sarawak. Ia jelas memberitahu bahawa wacana dan pelajaran diintegrasi dengan fiksyen.
Daripada 27 halaman, 14 adalah mengenai nasihat pertanian dan bercucuk tanam, 11 halaman mengenai naratif atau perjuangan watak utama membebaskan kampungnya dari gangguan lanun dan penjahat dan dua halaman diperuntuk untuk latar tempat iaitu Jalanan Baharu.
“Hikayat Panglima Nikosa Mendapat Kesusahan Waktu Perang Sampai Mendapat Kesenangan” asalnya ditulis dalam Jawi, dan pengkaji Borneo yang tersohor, I. Proudfoot, dalam “Early Malay Printed Books” menyatakan novel ini adalah sebuah fiksyen yang menggunakan watak Melayu untuk menekankan nilai pendidikan dan peluang yang boleh direbut dalam bidang pertanian dan
perladangan.
Hal yang sama dinyatakan oleh Phillip L. Thomas dalam “Publications of the Sarawak Literary Society and the Borneo Literary and Historical Manuscript Project” bahawa Hikayat Panglima Nikosa adalah novel awal Sarawak yang menyarankan pendidikan, perbandaran dan pertanian moden.
Hikayat Panglima Nikosa dinobatkan selaku novel pertama oleh Sasterawan Negara S. Othman Kelantan dan kemudian oleh sarjana Universiti Malaya, Abdullah Tahir. Tetapi harus dinyatakan di sini, novel Melayu yang lain, yang dianggap pertama iaitu Hikayat Faridah Hanum oleh Syed Sheikh al Hadi (1925/1926) juga menekankan elemen didaktik yang ketara.
Inilah puncanya, seperti yang saya nyatakan, usaha dialog saya antara tradisi dan moden direncahkan dalam novelet “Bagaimana Anyss Naik ke Langit” dan kini “Profesor”.
Inilah sebabnya ada travelog-misteri, ada laporan oral dan berita, dan nasihat hak asasi manusia mengenai orang Penan, dan kemudian mengenai kaum LGBT di dalam Profesor.
Namun demikian saya tidak mengabaikan plot di dalam kedua-duanya. Plot, bukanlah jalan cerita. Plot adalah sebab dan akibat. Di dalam kedua-dua novel ini terdapat kausaliti yang kuat dan rapi.
Jikalau pembaca menangani kerangka kerja saya sebagai dokumentari, tentu sahaja pertanyaan mengapa wacana demikian banyak tidak timbul. Memanglah usaha begini kurang dipandang. Bahkan kata Geoff Dyer dalam “Based on a True Story: The Fine Line Between Fact and Fiction”, karya sebegini tidak ada kediaman yang semenggah, malah di kedai buku ia sukar diletakkan di rak, atau boleh dibubuh di dalam beberapa genre berbeza.
Saya tidak menyalahkan pembaca jika mereka rasa canggung dengan kerangka karangan yang saya guna.
Saya, anda, dan kita semua pernah dijajah Inggeris, makanya kita terbawa-bawa dengan cara atau tradisi penulisan penjajah. Lagipun Inggeris adalah bahasa utama, dan sastera Inggeris dianggap bergengsi dan tuan. Seperti yang dinyatakan Bill Ashcroft dalam “The Empire Writes Back: Theory and Practice in Post-Colonial Literatures”, karya tempatan malangnya terpengaruh dan pengarang kita ikut langsung terhempuk oleh tradisi penjajahan.
Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.