Miskin jiwa apabila menjawab artis rungut kos hidup

rakyat-harga-barangOleh Rahman Imuda

Baru-baru ini, seorang penyanyi popular mempersoalkan kenaikan harga barang yang semakin menekan rakyat. Kenyataannya mengundang pelbagai reaksi daripada segenap masyarakat, tak terkecuali ahli politik yang berucap dalam persidangan mega parti politik.

Sebelum saya memeitk komentar pemain politik yang memberi reaksi, terdapat mereka yang memberi ulasan mengenai tiket konsert penyanyi itu yang mencecah ratusan ringgit, dan mempersoalkan mengapa dia perlu risau tentang kenaikan harga barang. Pastinya dia mampu untuk berbelanja semahunya.

Komen itu mendapat restu salah seorang ahli politik yang berkata, kalau benar-benar ikhlas turunlah padang, jangan hanya tahu “tekan-tekan” semata-mata.

Jika saya mengambil hujah “harga konsert” yang melambangkan pendapatan artis tersebut, ini bermakna orang yang berkemampuan atau berada tidak boleh mengeluh tentang kos sara hidup yang semakin tinggi.

Logik seperti ini tidak boleh diterima, memandangkan golongan ini juga merupakan rakyat Malaysia. Suara rakyat harus diteliti tanpa melihat kelas sosial mereka. Kemudian saya juga terfikir, berapa ramai individu daripada kelompok yang miskin mempunyai populariti seperti artis tadi?

Bahkan masih ada rakyat yang tidak mampu untuk membeli telefon pintar, apatah lagi mempersoalkan kegusaran mereka di media sosial.

Populariti datang dengan tanggungjawab yang besar. Saya percaya artis tersebut tidaklah terlalu terkesan dengan kenaikan harga barang dan kurangnya peluang pekerjaan, tapi lebih melihat kepada tekanan yang sedang dihadapi oleh kebanyakan marhaen.

Bagi saya, ia merupakan tanggungjawab sosialnya supaya isu kos sara hidup dan pekerjaan lebih dibincangkan berbanding cerita usang untuk menjatuhkan seteru politik. Berapa ramai artis yang berani berkata sesuatu yang benar dengan meletakkan kariernya sebagai taruhan?

Apabila kita meneliti jawapan kedua pula, kita akan menyedari ia merupakan cara tipikal kebanyakan kita melihat isu dan masalah. Kita gemar untuk membincangkan siapa yang memberi pandangan berbanding melihat isu/masalah apa yang disampaikan. Sewajar pemain politik itu tidak menyerang peribadi artis, tetapi menjawab persoalan yang diberikan.

Mustahil sesuatu masalah akan selesai sekiranya setiap kali kita diberitahu tentang masalah, kita menyerang mereka yang memperlihatkan masalah tersebut.

Menafikan masalah dengan cuba mengubah isu merupakan satu kemiskinan jiwa, sesuatu yang pernah disebutkan oleh pendeta agung Melayu, Za’aba. Hanya kerana seseorang itu tidak merasakan tekanan seperti golongan miskin, tidak bermakna tekanan-tekanan tersebut tidak wujud, menafikan masalah tidak pernah menyelesaikan masalah.

Jurang yang besar di antara mereka yang bergelar politikus atau orang-orang penting dalam “decision-making” dengan kelompok miskin menyebabkan seringkali ungkapan “saya faham perasaan anda semua” tidak bermaksud sedemikian.

Sesekali saya agak emosi membicarakan isu “kebersamaan” dalam menghadapi krisis ekonomi atau pemotongan bajet negara. Selalunya saya melihat apabila berlaku “penjimatan” dalam bajet negara, ia kerap mengambil sesuatu daripada rakyat.

Kita tidak boleh menafikan kita sedang menghadapi krisis peningkatan kos sara hidup dan kekurangan peluang pekerjaan untuk graduan. Kita tidak boleh menafikan masalah ini semakin menekan rakyat, terutamanya untuk rakyat yang miskin.

Jangan hanya kerana ingin melihat bos kita tersenyum lebar, kita menafikan semua ini dengan memberikan jenaka yang hambar.

Campaklah masalah ini kepada pemimpin kanan pemerintah, sekiranya mereka mengambil perhatian dan cuba mengatasi masalah ini, pastinya keyakinan rakyat akan semakin bertambah.

Rahman Imuda merupakan aktivis mahasiswa.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.