Di sebalik IMAMS, industri haji yang tersasar

imams-haji-mabrur-malaysiaMinggu lepas, kecoh mengenai Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS).

Di bawah sistem ini, GST dikenakan terhadap orang Islam yang mengerjakan umrah. Dan antara yang dipersoalkan ramai adalah beberapa pegawai tinggi dalam syarikat yang bukan beragama Islam.

Dalam politik Melayu Islam yang penuh semangat asabiyah, untuk seseorang bukan Islam diberi perkongsian dalam perniagaan seperti ini memang satu perkara yang tak boleh dimaafkan.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermiyati Samsudin yang “tidak tahu” tentang sistem ini, menyatakan IMAMS akan dimansuhkan. Menterinya, Datuk Seri Nazri Aziz berkata ia satu kesilapan dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mengatakan yang dia tidak tahu-menahu mengenainya.

Perdana menteri pula bertegas ibadat umrah tidak patut dikenakan GST langsung.

Ramai menteri Umno cepat-cepat ingin mengakhiri babak memalukan ini. Ia kerana ibadat haji, seperti ritual lain dalam Islam, adalah sensitif kepada golongan Melayu Islam.

Mungkin apabila mereka mendapat tahu bukan Islam terlibat dalam mengendalikan sistem yang mengutip cukai GST untuk umrah, persepsi mereka ialah ibadat mereka akan kurang kesuciannya.

Lalu Kementerian pantas terpaksa mengundur dan meminta maaf dan pemimpin negara terpaksa memisahkan diri mereka daripada nampak bersekongkol dengan IMAMS.

Skandal IMAMS adalah satu petanda pengkomersialan ibadat haji. Ibadat haji sekarang menjadi satu industri dan perkembangan ini mengurangkan daya spiritual atau kerohaniannya.

Seorang pengulas tempatan pernah membuat pemerhatian, bagaimana ibadat haji menjadi lebih penting daripada aktiviti menolong masyarakat.

Ada yang sanggup membelanjakan beratus ribu ringgit untuk menunaikan fardu haji berkali-kali (kadang-kadang setiap tahun!).

Tetapi apabila diminta duit untuk diberi kepada golongan asnaf, dia kurang pula memberi sumbangan.

Apakah daya tarikan yang membuat orang pergi berkali-kali?

Bagi golongan Sunnah Wal Jamaah, haji itu adalah sebahagian daripada Rukun Islam. Bagi golongan yang berada, mereka tidaklah mempunyai masalah untuk menunaikan ibadat ini tetapi bagi golongan yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, mereka terpaksa menyimpan wang sedikit demi sedikit untuk menunaikan ibadat ini, kadang-kadang sampai bertahun-tahun!

Ia bukanlah perkara mudah dan ulama fekah sendiri mengatakan ibadat ini hanyalah wajib bagi orang berkemampuan sahaja. Namun begitu, mereka ada mengatakan yang haji mempunyai prioriti lebih tinggi daripada aktiviti keduniaan.

Jika kita sanggup berbelanja berpuluh ribu ringgit untuk acara perkahwinan, membeli rumah yang serba mewah dan sebagainya, kenapa tidak untuk ibadat haji? Sepatutnya, haji mempunyai prioriti yang lebih tinggi!

Mentaliti orang Islam secara amnya adalah sama. Mereka melihat ibadat haji sebagai permulaan baru dalam hidup. Setelah hidup berfoya-foya pada zaman muda, setelah mencapai umur 40an atau 50an, mereka mula memikirkan tentang persediaan untuk kehidupan di alam baqa.

Mereka diberitahu yang ibadat haji akan menyucikan mereka dari segala dosa yang pernah mereka lakukan. Di sinilah timbul konsep “haji mabrur” iaitu haji yang diterima Allah dan menyucikan segalanya.

Untuk mencapai ibadat haji pada tahap ini, bakal haji diberitahu dan diajar segala langkah yang mereka perlu ambil. Mereka diajar pergi ke tempat tertentu dan membaca doa-doa tertentu. Semuanya diaturkan dalam jadual yang dinyatakan.

Bagaimana bakal haji dapat mengetahui langkah ini? Bukannya mudah, ada berpuluh langkah, sebenarnya, dan semuanya dijawab dalam kursus yang disediakan.

Kadang-kadang kursus ini berbentuk kelas mingguan. Saya sendiri pernah menghadiri kursus sebegini pada 1989 dulu. Ia memang mewah, dalam kelas berhawa dingin dan diberi makanan yang amat mewah. Di sinilah saya belajar tentang “Haji Mabrur”.

Inilah industri haji, sebenarnya. Ibadat yang mudah sahaja diberi syarat-syarat yang banyak dan pendekatan yang kompleks dan ini mencipta keperluan untuk mengadakan kursus.

Di sini juga kita akan diberitahu tentang agamawan terkenal yang dapat menjamin pencapaian “Haji Mabrur”. Bagaimana mereka mendapat jaminan? Itu tidak diberitahu pula!

Kota suci Makkah yang menjadi tumpuan haji pun telah diberi transformasi sehingga tampak sebagai kota kapitalis yang moden. Sanak-saudara saya yang menunaikan ibadat haji dan umrah semuanya banyak membeli-belah cenderahati agama! Mereka tinggal di hotel mewah. Lagi mahal harganya, lagi mewah dan lagi dekat dengan Masjidul Haram.

Tetapi apa yang boleh membuat kita tawar hati ialah melihat di tempat yang sama, bakal haji dari negara miskin terpaksa menghadapi kesusahan yang teruk untuk proses yang sama. Mereka terpaksa tinggal jauh di tempat penginapan yang serba kekurangan. Makanan mereka pun ala kadar sahaja.

Bagaimanakah umat Islam boleh mengakui yang ini ibadat haji yang dituntut Allah jika jurang perbezaan antara saudara seagama begitu luas?

Sebenarnya, ibadat haji dari Al-Quran adalah satu proses yang amat praktikal. Manusia sejagat dipanggil untuk melihat sistem Islam yang memberi manfaat kepada mereka (Surah Al-Hajj, 25-27). Mereka diberi layanan yang baik supaya dapat mengingati Allah.

Ini amatlah jauh daripada eksploitasi agama yang ada sekarang iaitu industri haji.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.