Seorang belia Sarawak bernama Alfie

Al-Muhd-Alfie-Kqhyriel-malaysia-1Dua puluh tahun lalu, sarjana Mahayuddin Haji Yahaya dalam bukunya “Islam di Alam Melayu” menulis: “Sejak kedatangan Islam, masyarakat Melayu mempunyai bahasa dan kebudayaan yang lebih mantap dan agama Islam telah menjadi teras keperibadian bangsa Melayu. Dengan kata lain, Islam menjadikan bangsa Melayu sebagai satu bangsa yang beridentiti dan bermaruah dengan berpandukan falsafah al-Quran dan ajaran tauhid.”

Mahayuddin sebagai seorang sejarawan tentu berperanan besar dalam disiplin sejarah beliau itu dalam mengunggulkan Islam yang dianutinya.

Akan tetapi, membaca sejarah dengan penuh romantis tidak dapat menjelaskan mengapa Al-Muhd Alfie Kqhyriel yang berusia 20 tahun boleh ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah di Karachi, Pakistan ketika hendak menaiki pesawat Thai Airways menuju ke Kuala Lumpur melalui Bangkok.

Menurut laporan, anggota keselamatan Pakistan menemui 4 pucuk pistol dan lebih kurang 70 butir peluru, tersorok dalam bagasi dan tapak kasutnya.
Seperti yang tersebar dalam laporan sedia ada, Alfie didakwa anggota kumpulan militan Islamic State (IS) dan cuba menyeludup senjata dan peluru itu ke Malaysia.

Pihak berkuasa akan menahan Alfie pastinya di saat beliau menjejakkan di sini, dan beliau akan disoal siasat dan kiranya seorang lagi prospek pengganas dan keganasan telah berhasil kita tangani dengan segera, syabas ucapannya.

Masalah akar fikiran pengganas

Akan tetapi adakah itu menyelesaikan masalah akar? Tidak, malah kita masih terbatas menyembuhkan gejala, tanpa memahami sebab musabab seorang remaja dari Sarawak boleh berfikir Islam itu ganas dan halal untuk mengganas.

Kekayaan budaya Islam dalam peradaban Melayu yang dipuja-puji Mahayuddin dalam bukunya mulai terhakis dan diancam kerana 3 faktor.

Pertama, suka atau tidak suka kita semua, seluruh dunia, telah melalui satu proses kebangkitan Islam dalam tahun 1980an, dan 1990an yang mana kita biarkan mendarah daging secara perlahan dalam tubuh badan masyarakat kita.
Kita menamakannya penerapan nilai Islam. Tanpa ditentukan jenis Islam apa yang kita biarkan berleluasa itu.

Kebangkitan Islam yang dibiarkan, malah dipupuk dibaja itu bukanlah Islam jenis berfikir, atau Islam jenis progresif yang mendokong nilai-nilai liberal.

Pada 2003, sosiologis terkenal, Abdul Rahman Embong berpandangan dalam satu pembentangan akademik berjudul “Faktor Ideologi Politik Dan Budaya Dalam Penutupan Minda Melayu-Islam”, kebangkitan Islam kita dibiarkan dikuasai oleh mereka “yang perasan benar”.

Baik dari kem apa pun, masing-masing yakin dan percaya merekalah pemegang kebenaran, dan orang lain yang tidak bersama adalah cuai dan salah.

Kata Abdul Rahman: “…yang menjadi masalah besar dalam masyarakat kita ialah pihak yang dikatakan mendominasi kebangkitan agama setakat ini didakwa reaktif, keras dan konservatif, yang menganggap dirinya benar dan tidak menerima pandangan pihak lain dan kurang toleran terhadap pihak lain.”

Abdul Rahman seterusnya berpendapat “sikap dan tindakan tidak toleran” ini berlaku seawal abad ke-20, di mana terdapat perselisihan antara umat Islam yang berpegang dengan ajaran ortodoks dan moderat.

Perselisihan dan perkelahian ini melebar dan tidak dapat dikawal. Ia diterjemahkan menjadi Amanat Haji Hadi, menjadi pertumpahan darah di Memali, insiden Al-Maunah, dan kemudian hari ini membawa kepada penyusupan kaum ekstremis seperti Alfie.

Kita tidak dapat mengubat kuman awal ini supaya kebah dan apabila ia sudah melarat, kita hanya cuba membuang kudis-kudis sedia ada lantas berpuas hati.

Islam dan birokrasi hukum

Akar kedua masalah ini ialah kita telah, masih dan akan membesar-besarkan, atau mengagung-agungkan Islam fikah dan ia diburukkan oleh “birokrasi hukum”.

Apabila wujud birokrasi hukum, wujudlah penentuan apa yang betul dan salah, dan aspek atau faktor pertama yang disentuh Abdul Rahman tadi tambah diperkasakan.

Menurut sarjana pengajian Islam yang terkenal, Mahmood Zuhdi, peranan kerajaan dalam menentukan hukum agama untuk masyarakat menjadikan pengamalan dan penghayatan Islam di Malaysia lebih memberi perhatian kepada fikah sebagai aspek legal ajaran Islam.

Katanya, di Malaysia, birokrasi hukum mempunyai “kedudukan penting dalam menentukan hukum dan memutuskan sama ada sesuatu hukum itu boleh dilaksanakan atau sebaliknya”.

Kewujudan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan sekian macam “Ja” di Malaysia yang diberi lesen menentukan kebenaran telah membantut perkembangan umat Islam.

Kata Mahmood, “Keadaan ini menyebabkan pengajian hukum Islam yang harus merangkumi aspek realiti semasa termasuk budaya, seni, sastera, politik, undang-undang dan ekonomi yang berorientasikan tempatan, tidak bergerak.
“Sejajar dengan perkembangan tersebut, persoalan halal-haram menjadi dikotomi sehingga muncul tanggapan tertentu sama ada ia ’Islam atau jahiliah, tauhid atau syirik, sunnah atau bid’ah”.

Poin yang disentuh oleh Mahmood dalam syarahan profesornya berjudul “Hukum Islam Semasa Di Malaysia: Prospek Dan Cabaran” pada 2006 itu tentu sekali terabai. Tiada usaha untuk membubarkan sekian macam “Ja” agar masyarakat atau umat Islam diberi kemerdekaan menumbuhkan Islam.

Usaha mentempatankan pengalaman keagamaan seperti dituntut Mahmood juga dinafikan. Sebaliknya, tahun demi tahun, umat Islam tambah dikotak dibonsai dan dipetak untuk satu cara fikir. Ia menghasilkan benih anak-anak Islam yang percaya kebenaran adalah milik mereka dan satu Islam sahaja yang dibenarkan. Benih ini tumbuh dalam diri seorang Alfie.

Tentu kekayaan budaya Melayu dan Islam yang didamba dan diangan-angankan Mahayuddin Haji Yahaya dalam buku ‘Islam di Alam Melayu’ itu semakin mencair.

Satu jenis Islam

Faktor ketiga ialah rentetan dari 2 akar sebab pertama dan kedua iaitu menjuruskan satu jenis Islam yang dipromosikan dan dikawal selia, dan dalam masa yang sama menafikan diversiti yang wujud dalam Islam.

Hal ini berlaku dan bermula di zaman Dr Mahathir. Meskipun sehari dua ini beliau meminta maaf, dan berharap membetulkan keadaan pada 2018, kecuaian ini telah pun menjadi satu yang tertanam dalam.

Ahli sains politik, Judith Nagata dalam makalah “Boundaries of Malayness: We Have Made Malaysia: Now It Is Time to Re-Make the Malays But Who Interprets the History?”, sebagai misalan, menyalahkan kerajaan akan sebab musabab ini.

“It is noteworthy how expressions of Sufism, once the most widespread form of Islam and Southeast Asia, and active in the Malay states until the Pacific War, have been repressed under the narrow, Sunni Shariah style of Islam promoted as orthodox by the Umno state. Likewise, any hint of Shi’ism, once again more evident in local history, has been shunned as heretical by the government.”

Judith secara terang menyatakan pemomokan terhadap Islam sufi yang lebih tempatan dan Islam syiah yang pernah kaya dan menghuni rantau ini menjadikan keadaan umat Islam terkepung dan terbentur yang akhirnya membuatkan ada anggota umat Islam yang percaya, ada penganut Islam yang sesat dan kerana kebenaran adalah miliknya maka tidak salah untuk menghapuskan mereka, ataupun mengganasi mereka.

Inilah yang ada dalam kepala Alfie.

Inilah yang ada dalam kepala ekstremis yang berpotensi menggerakkan keganasan dan kejahatan dalam masyarakat.

Kita boleh menangkap dan menahan seratus, seribu, sejuta mereka kerana kecekapan perisikan kita. Tetapi tanpa meluruskan akar masalah semula, kita berada dalam lingkungan setan.

Keadaan di mana jika kita tergelincir dan terjerumus menemukan kehancuran. Sementara meniti berhati-hati di atas garis pula mendatangkan letih dan kesasaran.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.