PM jangan banding ekonomi Arab Saudi, Malaysia

najib_arab_malaysia_600

Oleh Dr Shawal Shaari

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada perhimpunan bersama pesara polis di PWTC hari ini menyatakan Arab Saudi meniru model ekonomi dari Malaysia.

Beliau menyifatkan tindakan Arab Saudi memperkenalkan cukai tambahan nilai (VAT), “Citizens Account” dan menaikkan harga minyak sebagai mengikut jejak langkah Malaysia.

Ini kerana Malaysia terlebih dahulu melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan BR1M selain turut mengapungkan harga minyak mengikut harga pasaran dunia.

Bagaimanapun, perbandingan yang dibuat Najib tidak wajar kerana beliau tidak memberikan gambaran penuh kerangka ekonomi Arab Saudi untuk dibandingkan dengan Malaysia.

Pertama sekali, kadar VAT yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi tidaklah setinggi GST di Malaysia. Kadar yang dikenakan Arab Saudi hanya 5% manakala di Malaysia 6%, meskipun rakyat di negara ini membayar pelbagai jenis cukai lain terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Sebagai contoh, cukai pendapatan dikenakan terhadap rakyat Malaysia yang makan gaji sedangkan di Arab Saudi, tiada cukai pendapatan dikenakan.

Keduanya, berkaitan dengan “Citizens Account” yang disamakan dengan inisiatif BR1M.

Kadar bantuan BR1M maksimum di Malaysia hanyalah bersamaan dengan RM100 sebulan. Manakala purata bantuan “Citizens Account” yang diberikan Saudi kepada rakyatnya adalah lebih kurang RM900 sebulan. Satu hakikat yang tidak dinyatakan perdana menteri ketika ucapannya bersama pesara polis sebentar tadi.

Bukan sahaja “Citizens Account”, penggangur di Arab Saudi juga menerima “unemployment benefit” sebagai bantuan.

Bantuan yang diterima penganggur di Arab Saudi adalah sekitar RM2,000 sebulan selama setahun sedangkan Skim Insurans Pekerjaan yang baru dilaksanakan di Malaysia hanyalah melindungi penganggur untuk tempoh 3 bulan sahaja.

Oleh itu, tidak hairanlah mengapa rakyat mereka tidak mengeluh dengan kenaikkan harga minyak sehingga 126% dan VAT sebanyak 5% kerana kerajaan mereka memberikan pulangan yang sepadan kepada rakyatnya.

Sebaliknya di Malaysia, kadar GST 6% dikenakan terhadap rakyat manakala harga minyak meningkat sehingga 25%, tambang LRT pula meningkat sebanyak 102% dan kadar tol meningkat sehingga 140% tetapi bantuan yang diberikan kerajaan hanyalah bersamaan dengan RM100 sebulan.

Justeru itu, saya menasihatkan Najib lebih berhati-hati dalam membuat perbandingan ekonomi antara Arab Saudi dan Malaysia.

Beliau sebagai seorang pemimpin yang disegani, juga harus jujur dalam berbicara mengenai ekonomi dan tidak memberikan kenyataan berat sebelah kepada orang ramai.

Dr Shawal Shaari ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.