‘Islam Malaysia’ dan kegilaan agamawan tanpa panduan sufi

muslim-islam-malaysia-rakyat

Orientasi agama secara legalistik yang diamalkan di Malaysia, dan dikukuhkan oleh agamawan rasmi dan tidak rasmi, telah membentuk “Islam Malaysia” selaku agama yang non-Wasatiyyah, sebaliknya keras, menghukum, dan penuh pengharaman berbanding keharusan; di samping gambaran kenerakaan.

Akibatnya, tanpa kita sedari, agamawan menjadi pendorong kepada pengikutnya agar menghunjam orang, memusuhi, membenci dan mengerasi mereka.

Kumpulan yang sering menjadi sasaran ialah golongan pengikut Syiah, dan golongan yang didakwa liberal (termasuk ateis) dan LGBT.

Tidak mustahil dengan kadar kegilaan yang ada dalam kalangan sebahagian ulama kita di Malaysia ini, akan ada “orang gila” yang terpengaruh dengan propaganda atas nama dakwah atau nahi mungkar ini (lihat artikel minggu lalu) yang akan bertindak sendiri melakukan jenayah terhadap sasaran kebencian mereka itu, semuanya kerana merasakan agama memberi lesen untuk mereka melakukan demikian.

Khutbah Jumaat pada 29 November 2013 yang dibacakan di mimbar-mimbar masjid terpilih sebagai contoh pernah menyarankan agar penganut Syiah dibanteras sebagai “jihad”.

Retorik yang sama digunakan oleh pengganas IS di Syria, Iraq dan merata pelusuk dunia. Salah satu perenggan khutbah tersebut berbunyi begini:

“Ingatlah bahawa sebarang usaha ke arah membendung ajaran sebegini adalah termasuk dalam ertikata jihad kerana mempertahankan kesucian ajaran agama yang diwarisi dari junjungan Nabi kita Muhammad SAW manakala sebarang usaha yang cuba menghidupkan fitnah dengan menyebarkan ajaran Syiah adalah termasuk di dalam perbuatan sesat lagi menyesatkan.

“Inilah masanya kita mesti bangun dengan penuh keberanian dan bersatu dalam satu saf, satu barisan, satu akidah, satu niat serta tekad untuk memelihara kesucian akidah.”

Kandungan khutbah disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bertajuk “Virus Syiah” itu kelihatan “tidak bersalah” di peringkat ini tetapi boleh menjadi punca kepada keganasan.

Galakan agar “mesti bangun” untuk jihad ini harus diingatkan, dilakukan dan bermula dari masjid.

Sering kali yang kita dengar, mangsa atau sasaran yang dianggap mencabar; oleh kerana itu agamawan merasakan ancaman ini absah untuk dibalas dengan seruan kebencian seperti di atas.

Sudah tiba masanya sentuhan sufisme yang lebih bererti ditawarkan agar semua kegilaan yang sedang kita lihat hari ini dapat disantuni dalam tempoh masa 20 tahun lagi.

Sheikh Yusuf al-Makasari

Untuk menjadikan ini satu realisasi, saya mencadangkan Raja-Raja Melayu selaku penjaga dan pelindung agama Islam menekuni dan menerapkan kandungan ajaran Sheikh Yusuf Makasari (1626-1699) sebagai satu percubaan yang disebut di atas. Meskipun beliau ulama dari Makasar, tetapi al-Marhum adakah ulama terbilang Nusantara dan terkenal sehingga ke Sri Lanka dan Afrika Selatan.

Salah satu kitab beliau adalah Zubdat al Asrar fi Tahqiq Ba’d Masyarib al-Akhyar, di mana Sheikh Yusuf menetapkan satu pendekatan bersumber ajaran tasawuf yang tidak bersalahan, malah sejajar dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Satu formulasi yang terpancar ialah pertama beliau menekankan kesantunan sesama manusia: “Ahli-ahli ilmu dan hikmah berkata, ‘Yang dimaksud dengan akhlak mulia terhadap sesama makhluk ialah menyenangkan mereka, intim dengan mereka, dan tidak menjauhkan diri dari mereka.’ Dalam hal ini sayyidna Ali Ibn Abi Talib karrama Allah wajhah berkata: ‘Sebaik-baiknya perbuatan adalah menggembirakan hati teman-teman’.”

Perihal menyantuni dan melayani semua manusia secara setara ini termasuklah untuk orang “kafir”. Beliau malah menyatakan, setiap manusia, samada beriman dengan ajaran Islam atau tidak hendaklah diraikan dengan akhlak yang baik:

“Barangsiapa yang ingin beriman hendaklah ia beriman, dan barang siapa yang ingin kafir biarlah ia kafir, wassalam. Karena Rasulullah saw pernah ditanya, ‘Siapakah orang yang paling dekat denganmu pada hari kiamat hai Rasulullah?’ Maka dijawab oleh Rasulullah saw: ‘Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.’ Oleh sebab itu berkata sebagian ahli tasawuf ra: ‘Tasawuf itu adalah akhlak yang baik (mulia), barang siapa tidak berakhlak mulia artinya ia tidak bertasawuf. Fahamilah itu. Akhlak yang mulia itu tercakup juga dalam sabda Rasulullah sebagai berikut: Tempatkan manusia sesuai dengan derajat mereka masing-masing, dan sabdanya: Barangsiapa telah beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka ia harus menolak orang meminta-minta karena ia adalah hadiah dari Tuhan kepada makhluk-Nya. Sabda Rasulullah: Semua makhluk adalah ibarat keluarga, dan yang paling dekat pada Allah adalah orang yang paling bermanfaat untuk keluarganya.”

Anjuran beliau tersebut turut merangkumi kumpulan manusia yang dianggap berdosa, pembuat maksiat dengan penekanan “semua orang”:

“Diwajibkan pula atas hamba agar selalu berbaik sangka terhadap semua orang walaupun mereka selalu jatuh berbuat maksiat, apalagi orang lain yang tidak bersalah; sesungguhnya rahmat Allah lebih luas daripada kemaksiatan tersebut.
“Firman Allah dalam hadis qudsi: Sesungguhnya kasih sayang-Ku mendahului kemarahan-Ku. Tidak diragukan lagi bahwa semua dosa itu termasuk di antara sesuatu, dan segala sesuatu itu dapat diampuni oleh kasih sayang Allah, sesuai dengan firman illahi-Nya, ketahuilah itu.

“Kemudian sesuai pula dengan firman-Nya ta’ala: Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang selain dari syirik itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan ayat-ayat suci yang lain. Orang-orang tidak menyadari bahwa hamba yang berdosa ini, yang menyimpang dari segala aturan Allah, dapat saja bertaubat dan kembali kepada Tuhannya setelah ia berbuat dosanya bagaikan orang yang tidak mempunyai dosa).

“Dan Allah Yang Maha Pemberi, Maha Mulia, Maha Pengampun serta Maha Pengasih dan Penyayang telah berfirman dalam kitab suci-Nya yang agung: (Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri).”

Sheikh Yusuf menegaskan pendosa masih berpeluang untuk beroleh keampunan di akhirat, dan harus dilayani dengan baik. Bukan sebaliknya.

Kemudian Rasulullah sendiri tidak dapat dikatakan sebagai pemberi syafa’at bagi orang-orang yang berdosa. Dan syafa’at Nabi Muhammad itu, sebagaimana yang telah diketahui sebelumnya, adalah disimpan untuk umatnya pada hari kiamat.

Intipati karya Sheikh Yusuf menekankan anjuran agama adalah kasih sayang. Ajarannya yang memukau ramai di Sri Lanka dan Cape Town apabila beliau dibuang negara ke sana adalah berakhlak dengan akhlak Allah, supaya manusia mencontohi akhlak Allah dan menerapkan semua sifat Tuhan kecuali kesombongan yang menjadi milik mutlakNya.
Akhlak luhur yang didorong beliau terjelma bukan setakat kerana kemanusiaan dan rasa perkongsian makhluk yang munasabah, tetapi ia tercurah dari kesedaran yang lebih besar dan hebat iaitu rasa kongsi kemakhlukan itu kerana kita sedar apa saja di semesta ini adalah makhluk Allah.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.