Kisah Tuan Guru Balak

Awal cuti persekolahan lalu saya diundang ke sebuah negeri di Pantai Timur untuk sebuah majlis perkahwinan.

Di kampung kecil, di kawasan yang agak pedalaman, di tengah masyarakat serba-serbi diikat oleh budaya dan agama, telah tersebar sebuah cerita dalam kalangan mereka tentang almarhum Tuan Guru Balak. Beliau sudah lama arwah. Tetapi kisah kecil ini sudah kian tersebar.

Tuan Guru Balak adalah nama jolokan diberi ahli masyarakat, khusus Orang Asal, kepada seorang ulama yang disegani sehingga ke kota, rantau, dan seantero alam.

Memang Tuan Guru Balak bukan nama sebenar. Dia seorang ulama masyhur. Akan tetapi kata “balak” lekat pada namanya meskipun dia sudah meninggal dunia beberapa lama kerana beberapa pendapat, atau fatwanya, mengenai keharusan membalak; iaitu menggunakan balak, hadis-hadis perihal balak, halal menjual balak, kaedah fekah memanfaatkan balak, cara bermuamalah dengan pembalak, cara mencegah mereka yang anti pembalak justeru dalam masa sama bersikap anti agama, kemungkaran mereka yang menghalang pembalak, pembalakan sebagai satu amar makruf, kelompok Syiah dalam kalangan anti pembalakan, membangunkan Islam bersama pembalakan, dan kekhurafatan kaum pemuja hutan.

Dakwah beliau yang terakhir inilah yang menjadikan kata “balak” melekat pada namanya, iaitu kekhurafatan kaum pemuja hutan.

Menurut Tuan Guru Balak, mereka yang mempertahankan hutan dan gagasan memelihara alam sekitar ini sudah dirasuki idea atau gagasan panteisme tua.

Saya yang sedang menelan suapan nasi minyak bekwoh dan gulai kawah hampir tidak lalu menghabiskan makanan kenduri yang meskipun sedap itu serasa – potong – lantaran kisah-kisah aneh itu.

“Apa maksud Tuan Guru Balak bila dia mengatakan orang yang mempertahankan hutan, alam sekitar dan flora fauna sebagai kaum panteisme?” soal saya kepada pak cik, ayah kepada pengantin perempuan.

Saya tahu ini adalah idea-idea Arnold Toynbee yang menyatakan fahaman monoteismelah punca manusia tidak menghormati alam sekitar. Ini kerana fahaman menunggalkan dan mengimani Tuhan Yang Satu ini mengakibatkan manusia tidak lagi memuja, atau paling sedikit – bersikap – untuk melindungi hutan, iaitu pohon dan pokok, pendek kata, alam semulajadi.

Ini kerana fahaman monoteisme menolak syirik. Pada pokok, atau sikap mempertahankan pokok itu ada kesyirikan. Toynbee membuat kenyataan kontroversial itu dalam sebuah makalahnya yang terbit dalam International Journal of Environmental Studies pada tahun 1972.

Saya rasa tidak percaya mulanya. Jadi, apa yang Tuan Guru Balak lakukan ialah menyamakan environmentalis yang mempertahankan hutan dan menolak kegiatan pembalakan, dengan golongan berfahaman panteisme purba yang percaya penawar kerosakan dunia ini adalah dengan mengembalikan kekudusan bumi.

“Itulah sebabnya mereka yang menolak pembalakan disamakan dengan Orang Asal. Konon Orang Asal itu kan percayakan hutan itu sebagai sebahagian dari aspek Tuhan. Maka syirik, khurafat, dan itu dosa besar… masuk neraka abadi.” Sambung bapa pengantin.

Astaghfirullah, sambut saya dalam hati; bersipongang dalam kalbu. Astaghfirullah, serasa saya ingin bertempik dan menerbalikkan apa yang ada.

Namun bapa pengantin sedar saya sedang mendidih di dalam. Saya dihulur segelas air sirap. “Kalau tuan doktor mahu Singa Beng pun boleh, saya suruh orang buatkan…”

Saya memandang hos kenduri. “Apakah pakcik dan penentang pembalakan di sini penganut faham Wahdatul Wujud?”
Pakcik menggeleng.

Menurut pakcik itu, 40 hari setelah Tuan Guru Balak meninggal dunia dan dikebumikan di sebuah tanah perkuburan baru, yang asalnya hutan yang telah diterangkan ekoran kegiatan pembalakan, imam masjid di kampung tersebut bermimpi Tuan Guru Balak muncul dari alam sana dalam keadaan menyedihkan.

Tuan Guru Balak menangis kerana perjalanannya di sana tertahan ekoran fatwa pro pembalakannya. Dalam mimpi tersebut Tuan Guru Balak membaca sebuah hadis berbunyi, “Barangsiapa yang berbuat baik kepada makhluk Tuhan, ia berbuat baik kepada dirinya sendiri.”

Tuan Guru Balak memberitahu dengan duka cita setiap malam dia diganggu oleh kayu-kayu balak yang besar dan agam.

Apabila imam itu terjaga dari tidur, dia menganggap itu mainan syaitan. Takkanlah Tuan Guru Balak diseksa kayu balak. Lucu sungguh bunyinya. Seakan dongengan.

Jadi imam bergegas ke masjid mengimamkan sembahyang subuh. Dia terbaca, dalam solat, secara tidak sengaja ayat 10, Surah Ha Mim: “Dan Dia menciptakan di bumi itu gunung-gunung yang kukuh di atasnya. Dia memberkahinya dan Dia menentukan padanya kadar makanan-makanan (penghuni-Nya) dalam empat masa yang sesuai bagi segala yang memerlukannya.”

Ayat itu membuatkan imam menangis teresak-esak dan terjelepok. Gemparlah jemaah sembahyang. Pada mulanya jemaah menyangka lebai kampung itu sudah mencapai taraf “feeling” Imam Masjidil Haram yang suka menangis. Imam pun terpaksa menceritakan apa yang dimimpikan.

Kecohlah cerita itu. Adapun kemudian, yang menjadi lebih geger ialah seorang demi seorang penduduk kampung di pinggir hutan yang sudah diceroboh oleh pembalakan itu bermimpikan Tuan Guru Balak.

Pada igau penghulu kampung misalnya, Tuan Guru Balak muncul membacakan ayat 41 dari Surah al-Nur: “Tidakkah kamu tahu bahawasanya kepada Allah bertasbih apa yang ada di langit dan di bumi dan burung-burung yang mengembangkan sayapnya. Masing-masing mengetahui (cara) berdoa dan bertasbih. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Apabila ramai yang diganggu, penduduk kampung akhirnya bersepakat membuat tahlil kenduri arwah untuk Tuan Guru Balak. Cerita pakcik, Tuan Guru Balak ketika hidupnya anti kenduri tahlil kerana berfahaman Salafi.

Tujuan tawhid

Saya pulang ke Kuala Lumpur. Dalam perjalanan saya menyanggah sendiri pandangan Arnold Toynbee yang menyatakan fahaman monoteismelah punca manusia tidak menghormati alam sekitar. Itu sama sekali tidak benar.

Tujuan monoteisme adalah untuk menyediakan manusia menjadi “makhluk akhlak”.

Seperti yang disebutkan S. Parvez Manzoor dalam artikelnya “Persekitaran dan Nilai: Perspektif Islam”, apabila manusia diprogramkan menjadi makhluk akhlak, “dia umpama jambatan kosmik yang melaluinya keseluruhan iradah Ilahi, terutamanya berhubung bahagian kesusilaan yang lebih tinggi, dapat memasuki ruang masa dan menjadi kenyataan”.

Yakni, tawhid memprogramkan manusia menjadi manusia penuh susila. Bukan manusia penuh serakah. Manusia, khusus agamawan, harus bersiap dengan environmentalis jika begitu, bukan melindungi kaum kapitalis dengan fatwa.

Agamawan patut di barisan hadapan bloked melawan pembalak. Itulah tugas “makhluk akhlak”. Tugas khalifah Allah.

Alam semulajadi adalah ujian dan amanah untuk manusia. Ia adalah “tanda-tanda Tuhan”, maka manusia sebagai makhluk akhlak tidak boleh melawan alam yang sudah tersusun.

Sewaktu manusia dijadikan di alam roh, tanggungjawab di dunia ini tidak sanggup dipikul oleh bumi, gunung-ganang dan apa yang ada padanya. Tetapi manusia menyanggup. Sanggupan dan ikrar itu juga bermakna, manusia rela dan sanggup mempertahankan alam ini. Ia adalah ikrar untuk menjadi paksi, di tengah-tengah milieu kosmik, selaku tuan dan penjaga alam semula jadi, bukan perosaknya.

Kereta bertunda-tunda di hadapan. Akhirnya kereta berhenti pegun kerana macet di jalan persekutuan yang sesak menuju Kuala Lumpur. Saya menurunkan jendela motokar.

Ada seorang pemandu yang berjalan dari arah bertentangan melewati. Dia ternyata tahu apa yang berlaku.

“Ada apa?”
“Ngeri bang. Sekeluarga 8 orang pulang dari kenduri kahwin.”
“Kemalangan?”

Lelaki itu angguk, “Mereka dilanggar lori balak. Sial pembalakan bang. Sial. Laknat.”

Saya menelan liur.

“Semua kita, semua makhluk Tuhan, termasuk hutan. Daripada Allah kita datang. Kepada Allah kita kembali.”

(Karangan ini diadaptasi secara longgar dari artikel S. Parvez Manzoor, “Persekitaran dan Nilai: Perspektif Islam” dalam Sentuhan Midas: Sains, Nilai dan Persekitaran Menurut Islam dan Barat oleh Ziauddin Sardar)

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.