Pengangguran: Belia mesti berani kuasai kemahiran baru

Oleh Azeem Abu Bakar

Menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang, antara topik yang hangat diperkatakan adalah pengangguran dalam kalangan belia. Ramai yang menyalahkan kerajaan dalam isu ini. Ada yang mengatakan kelembapan ekonomi adalah salah satu faktor.

Tetapi, kesan kedua-dua faktor ini adalah jauh lebih kecil berbanding impak yang disebabkan oleh teknologi pengubah ke atas pekerjaan tradisional.

Pada zaman ini, ketika teknologi berkembang pesat, mengubah cara industri tradisional, kerajaan di seluruh dunia berdepan dengan cabaran pengangguran dalam kalangan belia di tahap sehingga 13.1% pada 2017, menurut statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di Malaysia, pengangguran belia berada pada kadar yang lebih rendah iaitu 10.7%, dan menurut Bank Negara, ini sebahagiannya disebabkan kekurangan graduan yang bersedia untuk industri.

Antara faktor utama adalah kemunculan teknologi baharu yang memerlukan kemahiran baharu. Ini bukanlah masalah yang hanya dihadapi Malaysia, tetapi seluruh dunia.

Tidak banyak yang boleh kerajaan di seluruh dunia lakukan bagi mengubah struktur pendidikan yang diamalkan sejak revolusi perindustrian pertama pada abad ke-18 dahulu.

Belia kini perlu bertanggungjawab ke atas masa depan mereka sendiri dan melangkah ke arah #ForwardTogether, sekiranya kita mahu terus maju pada hari ini, esok dan seterusnya.

Jika kita membiarkan masa depan kita ditentukan sepenuhnya oleh sistem, kita akan gagal dalam merealisasikan potensi kita dan ditinggalkan jauh di belakang.

Hari ini, kelayakan yang diperoleh daripada universiti sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kita terus maju kerana ia akan menjadi lapuk tidak lama lagi.

Laporan Forbes mengatakan Artificial Intelligence (AI) akan mengambil alih pekerjaan dalam bidang kewangan, penjagaan kesihatan, pengajaran, kewartawanan, undang-undang dan insurans dalam jangka masa 10 hingga 15 tahun akan datang.

Oleh itu, belia hari ini perlu memperbaharui diri mereka dengan kemahiran baharu sesuai dengan disrupsi teknologi yang pesat.

Bidang seperti Big Data, Internet of Things (IoT), nanoteknologi, percetakan 3D, kereta autonomi, pengkomputeran kuantum, robotik canggih, AI dan realiti maya sedang berkembang dengan pesat.

Bidang-bidang ini memacu produk ekonomi berasaskan perkongsian seperti Grab, AirBnB yang mengubah cara lama di sektor pengangkutan dan hartanah. Robotik canggih dan AI kini mengambil alih tenaga manusia dalam servis penghantaran dan gudang seperti Amazon.

Baru-baru ini, Media Prima mencatatkan kerugian mengejutkan sebanyak RM 669.66 juta pada 2017, apabila penggunaan media berubah kepada atas talian (online).
Ini menunjukkan bagaimana internet dan media sosial mengubah media tradisional secara besar-besaran. Jika trend ini berterusan, jumlah pekerjaan dalam media tradisional akan berkurangan.

Pusat membeli belah dan kedai-kedai akan menuju ke arah situasi penawaran berlebihan apabila lebih banyak perniagaan menggunakan platform e-dagang (e-commerce) bagi menjual produk mereka.

Apabila keperluan terhadap kedai fizikal berkurangan, peniaga akan mengurangkan pengambilan pekerja. Semua ini menujukkan tanda-tanda pekerjaan semakin hilang dalam perniagaan tradisional.

Berbalik kepada sektor media, walaupun berkurangnya peluang pekerjaan dalam media tradisional, lebih banyak pekerjaan kini ditawarkan di portal online.
Kemajuan pesat platform e-dagang pula, kini membolehkan lebih banyak syarikat mamasuki pasaran global. Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di arena antarabangsa ini, mereka membuka peluang pekerjaan bagi membina kapasiti.

Bahkan, industri runcit kini lebih senang diakses oleh usahawan muda apabila mereka tidak lagi perlu mengumpul dana yang besar untuk membuka kedai fizikal.

Belia perlu bergerak pantas dalam mengenal pasti peluang yang ada, mencipta semula kebolehan mereka dengan mempelajari kemahiran baharu dan terus mara ke depan.

Tiada gunanya kita menyalahkan orang lain, atau kerajaan. Sedarlah! Fenomena disrupsi kini berlaku secara global dan pekerjaan tradisional kini makin menghilang!

Industri baharu yang muncul hari ini akan menamatkan era pekerjaan lama, tetapi ia juga akan memulakan era pekerjaan baharu, yang lebih canggih dan rumit. Hanya mereka yang pantas melengkapkan diri dengan kemahiran baharu akan bergerak selaras dengan arus perkembangan teknologi dan menerima manfaat daripadanya. Mereka yang gagal berbuat demikian akan sukar untuk mencari pekerjaan.

Menjelang PRU nanti, calon dan parti politik akan berbicara mengenai isu pengangguran dan akan saling menuding jari.

Golongan belia harus percaya, bukan pada calon, ahli atau parti politik. Akan tetapi pada diri sendiri. Percaya kepada keupayaan mereka untuk menyahut cabaran dalam era disrupsi ini.

Organisation for National Empowerment (ONE) mengajak belia bersatu padu untuk bergerak #ForwardTogether dalam menghadapi era disrupsi, agar tiada seorang pun yang ketinggalan.

Di penghujung hari, masa depan kita bergantung kepada bagaimana kita bekerjasama untuk mencari penyelesaian baharu, mengambil risiko dalam meneroka bidang baharu dalam dunia yang sentiasa berubah ini.

Azeem Abu Bakar ialah setiausaha agung Organisation for National Empowerment (ONE).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.