Shirin Ebadi di Masjid Negara

Salah seorang tokoh sezaman yang ingin saya temui dan duduk berbual, bersembang, dan mengobrol soal hak asasi manusia, Islam dan nasib perempuan tentulah Shirin Ebadi, penerima Hadiah Nobel Keamanan 2003.

Saya masih ingat pada waktu dia dianugerahi pengiktirafan besar itu, tidak ramai yang mengenal beliau. Dia malah tidak boleh berbahasa Inggeris, dan dalam satu wawancara dengan Jonathan Mann dari saluran televisyen CNN, dia memerlukan penterjemah.

Hari ini, saya menanti Shirin di lapangan terbang antarabangsa KLIA, dan kami akan menuju ke Pulau Pinang untuk satu acara.

Saat Puan Shirin keluar dari bahagian ketibaan, saya menyambutnya dengan jambangan bunga. Kami berjabat tangan, bertukar khabar dan memesrai satu sama lain. Dia asyik bertanyakan keadaan anak-anak saya. Kemudian saya mengajak Puan Shirin makan terlebih dahulu – nasi lemak rendang tidak rangup – dan setelah beliau selesa, kami memulai perjalanan ke utara.

Shirin adalah bekas hakim wanita yang pertama sebelum Revolusi Islam Iran di usia 23 tahun, dan seorang peguam hak asasi manusia setelah Revolusi tersebut. Beliau menerima Hadiah Nobel kerana usahanya, “memperjuangkan keutuhan dan kesusilaan undang-undang, dan apabila ada keperluan; menentangnya”.

Ketika itu, pada 2003, Mann dari CNN dengan jelas dan terang menyatakan, “Dia tidak melawan Revolusi Islam, atau Islam sebagai satu kenderaan perubahan.”

Shirin seorang Muslim yang baik. Masyarakat mengetahui beliau bersembahyang, berpuasa, akan tetapi, beliau adalah anggota sebuah mazhab yang mempercayai tafsiran Islam dan hak asasi manusia sama sekali – tidak bertentangan.

Oleh kerana itu beliau berjuang untuk membantu wanita dalam kes perceraian yang tidak adil, kumpulan intelektual yang diserang samseng golongan kanan, dan pernah ke penjara pada tahun 2000 kerana itu.

“Cantik Malaysia,” kata Shirin. Saya gugup, dan tidak tahu bagaimana untuk menjawab satu kenyataan yang begitu umum.

“Seperti Iran juga,” balas saya, bukan acuh tidak acuh tetapi lebih untuk memulangkan kenyataan balas.

Shirin hanya tersenyum. “Apa buku barumu?”

“Profesor, mengenai pensyarah perempuan dan lelaki; yang memperjuangkan hak asasi manusia.” Saya menjawab.

Shirin memulakan perbualan setelah lebih diam sejak tadi. “Buku pertamaku tentang hak kanak-kanak.”

Saya angguk. Fikiran saya melayang kepada wajah Leila Fathi, mangsa pembunuhan dan perkosa berusia 11 tahun yang keluarganya menjadi bangsat lantaran perlawanan di mahkamah yang panjang. Shirin adalah peguam keluarga Leila.

Shirin bersuara, “Saya percaya Islam dan demokrasi tidak bertentangan. Saya percaya Islam tidak bertentangan dengan hak asasi manusia. Dan bahawa di beberapa tempat di dunia, atas nama Islam, dan demokrasi; hak asasi manusia diterbalikkan, bukanlah satu hujah bahawa inilah Islam. Islam sama sekali tidak berkonflik dengan hak asasi manusia dan demokrasi. Ada yang menolak apa yang saya faham ini. Mereka ada cara berfikir tersendiri. Itu tidaklah penting. Saya menghormati lawan saya, tetapi saya merayu kepada mereka agar berdebat dengan aman, bukan dengan keganasan. Apabila warna disatukan di dunia, ia akan membentuk pelangi yang cantik. Dunia ini bukan hanya satu warna, bukan semua orang harus punya pendapat sendiri.”

‘Makan babi, makan kuda’

Kata-kata Shirin itu membawaku kepada ucapan Profesor Syed Hussein Alatas dalam tahun 2005 dan kemudian tulisannya dalam tahun 2007, “Perceptions of Muslim Revival”.

Dalam artikel itu Syed Hussein menceritakan pengalamannya belajar di Universiti Amsterdam. Menurut beliau, ketika menetap di Haarlem, berdekatan Amsterdam – dia sering makan malam dengan pelajar-pelajar dari Institut Pengajian Sosial di The Hague.

Salah satu perbualan yang paling sengit dan selalu bangkit ketika makan malam bersama-sama itu ialah “makan babi”.

Syed Hussein memberitahu kerumunan, “Saya tidak makan babi.”

Seorang pelajar Belanda mencabarnya, “Mengapa tidak?”

Syed Hussein menjawab, “Saya tidak makan babi kerana saya tidak mahu makan babi. Bagaimana dengan kamu, adakah kamu kuda? Adalah dibenarkan untuk makan kuda, ada stik kuda.

“Adakah kamu makan anjing? Atau kucing? Tikus? Ada banyak tempat di dunia yang manusianya makan binatang-binatang ini. Tetapi kamu menghindari makanan tertentu. Dan adakah jika saya menghindari makanan tertentu saya dianggap tidak rasional?

“Kamu sendiri ada banyak makanan yang kamu boleh makan tetapi kamu tidak mahu makan. Kamu ada pilihan.”

Syed Hussein memberitahu pelajar itu lagi, “Begini, satu-satunya beza kamu dengan saya adalah pilihan kamu tertakluk kepada khayalan kamu. Kamu berpandukan khayalan apa yang kamu mahu makan, dan apa yang kamu tidak mahu makan. Ia bergantung kepada diri kamu sendiri. Pilihan saya adalah berpandukan kepada agama saya, dan ramai manusia dipandukan oleh agama mereka dan ramai yang berkelakuan yang sama. Saya dan lain-lain berpandukan agama, kamu tidak. Ia bukan persoalan lojik atau tidak. Ia hanya mengenai pilihan.”

Apakah pilihan Shirin? Dia di sisi saya, tanpa hijab, apatah lagi cador.

Tudung di tempatnya

Saya masih ingat jawapan Shirin kepada Jonathan Mann dalam wawancara CNN di Oslo, Norway itu: “Jadinya undang-undang Norwegian adalah undang-undang untuk dilaksanakan di Norway. Begitulah Iran. Berpandukan undang-undang Iran, semua perempuan Iran dimestikan mengenakan tudung kepala, baik dia dari Iran, atau orang luar Iran, Muslim dan bukan Muslim. Ia kemestian. Apabila saya di Iran, saya menghormati undang-undang. Saya mengenakan tudung kepala.”

Belum pun sempat saya ingin bertanya lanjut, Shirin menjelaskan lagi.

“Lihat, menghormati undang-undang, dan keupayaan mengendalikan negara adalah satu hal lain, tetapi mengkritik, melawan undang-undang yang sama; itu satu hal lain. Sebagai peguam saya sering mengkritik undang-undang yang tidak benar. Saya menulis 11 buku untuk melawan (ketika tahun 2003 itu) Buku-buku ini adalah kritikan terhadap undang-undang yang ada. Saya beri seminar, dan ucapan untuk menolak undang-undang itu.

“Saya mengkritik undang-undang. Tetapi, kita mesti ingat, jika kita ingin tinggal di negara yang ada undang-undang sedemikian, kita mestilah mematuhinya sehingga undang-undang itu berubah. Sebagai contoh, jika saya ingin menerbitkan buku saya mesti membawanya ke Lembaga Sensor. Yakni untuk mendapatkan permit.

“Saya tidak bersetuju dengan undang-undang ini, saya memang menolak sensor, tetapi saya tidak akan dapat melawan undang-undang ini tanpa menerbitkan buku mengenai itu, dan untuk menerbitkan buku saya harus ke Lembaga Sensor. Dalam masa yang sama saya masih mengkriik undang-undang itu dan meminta ia dimansuhkan.”

Saya menghela nafas, inilah yang dilakukan oleh Nasrin Sotoudeh dalam membela Narges Hosseini yang dijatuhkan hukuman penjara 24 bulan kerana menanggalkan hijab di tempat awam, dan melakukan sesuatu yang salah di khalayak awam.

Narges membuka hijab di tempatnya, pada masanya, dan melakukan itu dengan akar wacana di sebalik.

Nasrin, sang peguam, untuk membela Narges, menggunakan hukum untuk melawan sebuah hukum yang lain.

Artikel 638 dalam perlembagaan Iran menyatakan hak mengenakan apa jua pakaian adalah satu kebebasan asas, dan perlembagaan mengiktiraf kesetaraan lelaki dan wanita. Jadi, Nasrin adalah seorang peguam yang menggunakan pilihan undang-undang untuk membantu pelanggannya.

Dalam banyak hal kita memilih sesuatu kerana rasional diri, atau agama. Seperti yang disebutkan Syed Hussein Alatas.

“Kita sudah tiba di Masjid Negara. Puan Shirin memberitahu tadi mahu bersembahyang dulu sebelum bergerak ke utara bukan?”

Shrin mengeluarkan tudung kepala dari beg tangan dan membetulkan hujung lengan bajunya.

Saya terkesima, “Puan mengenakan tudung?”

“Ini masjid bukan?”

Artikel ini ditulis berdasarkan wawancara Shirin Ebadi dengan Jonathan Mann dari CNN dengan judul “Prize for Peace” pada 12 Disember 2003. Juga artikel tulisan Syed Hussein Alatas, “Perceptions of Muslim Revival”.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.