Malaysia jadi sarang pembunuh upahan?

Oleh Muhammad Faiz Na’aman

Menjelang 2020, setelah hampir 15 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri ke-4, Malaysia makin dihantui kejadian jenayah kejam yang membabitkan pembunuh upahan.

Terkini, seorang imam warga Palestin yang bernama Fadi al-Batash ditembak mati awal pagi tadi. Kejadian tersebut berlaku di Setapak ketika mangsa sedang berjalan kaki untuk ke surau bagi menunaikan solat subuh.

Mangsa yang juga merupakan seorang pensyarah di sebuah universiti swasta meninggalkan seorang isteri dan 3 anak.

Kejadian pembunuhan warga asing di negara ini mengingatkan kita kepada kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemerintah Korea Utara sekarang, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 awal tahun lepas.

Wujud unsur pembunuhan bermotifkan politik kerana Fadi ialah adik kepada Taisir al-Batash, ketua polis Gaza yang terbunuh dalam satu insiden di Gaza pada 2014.

Demi solidariti warga Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin, tanpa mengira latar belakang agama atau parti politik, terutama warga Gaza yang ditindas kejam oleh rejim Zionis di Israel, saya mewakili PPBM dan rakan Pakatan Harapan (PH) dan warga Malaysia amnya, mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan Fadi.

Saya menggesa pihak berkuasa negara kita menyiasat kes ini secara tegas, telus dan berani tanpa tunduk kepada tekanan atau ugutan mana-mana pihak. Kedaulatan undang-undang negara ini perlu ditegakkan demi maruah negara dan keselamatan manusia sejagat.

Kegiatan pembunuh upahan di negara ini mempunyai kaitan dengan longgarnya kawalan keselamatan di sempadan negara hingga senjata api diseludup masuk secara haram.

Malah, kegiatan kongsi gelap dan pertubuhan yang berlindung di bawah nama “kebajikan” tertentu turut dikaitkan dengan fenomena mengancam kestabilan sosio politik negara ini yang boleh memberi kesan kepada kesihatan ekonomi negara.

Bukanlah sesuatu yang pelik apabila para pejuang Palestin diburu dan dibunuh di luar negara oleh pihak pro-Zionis, terutama oleh Mossad, agensi perisikan negara Yahudi itu yang terkenal.

Antara pembunuhan tersohor dilakukan ejen Mossad yang menyamar ialah pada 2010 di Dubai, apabila pengasas bersama Briged Izz ad-Din al-Qassam dari Hamas, as-syahid Mahmoud Al-Mabhouh dibunuh di sebuah hotel di bandar tersebut oleh sekumpulan 33 ejen Mossad menggunakan pasport negara lain.

Dalam tahun sama, Ketua Polis Dubai, Dahi Khalfan mendakwa beliau menerima ugutan bunuh dari Mossad kerana mendedahkan komplot pembunuhan pejuang Palestin itu.

Tidak seperti Korea Utara yang pernah mempunyai kedutaan di negara ini, tiada tindakan diplomatik yang boleh diambil ke atas Israel, jika terbukti pembunuhan Fadi dilakukan negara itu, kecuali mengadu kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Kes pembunuhan berprofil tinggi melibatkan pembunuh upahan juga tidak asing di kalangan rakyat Malaysia. Masih ada yang tidak lupa kes pembunuhan Timbalan Pengerusi MIC Johor, Datuk S Krishnasamy pada 2008 yang ditembak mati di dalam lif di Ibu Pejabat MIC Johor.

Negara kemudiannya digemparkan dengan kes tembakan di jalan raya pada pagi yang membunuh Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya menjelang pilihan raya umum ke-13.

Pada tahun sama, Pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysia (AmBank), Hussain Ahmad Najadi, ditembak dari jarak dekat selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Kuala Lumpur.

Bukan sahaja orang awam, malah penguatkuasa, termasuk polis turut menjadi mangsa pembunuh upahan ini seperti dalam insiden Sub Inspektor Abu Hashim Ismail yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, mati ditembak pada Ogos 2017.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia membuka mata, menggunakan kuasa mereka pada PRU14 untuk memilih kerajaan yang tegas menangani jenayah kejam ini, sebagaimana kejayaan pentadbiran Dr Mahathir suatu ketika dahulu yang menamatkan pembunuhan politik oleh Parti Komunis Malaya.

Dr Muhammad Faiz Na’aman ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.