Arus deras yang tidak terhidu pada PRU14

Isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST), 1MDB, kos sara hidup dan penyelewengan serta manifesto merupakan isu-isu yang sedang panas dicanangkan di musim kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14). Isu-isu ini boleh diibaratkan isu di atas permukaan air yang mudah dibaca.

Pada PRU14, ada beberapa arus yang sedang mengalir dengan derasnya tanpa disedari parti-parti politik yang sibuk bermain isu di atas permukaan air.

Tsunami Melayu

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghuraikan prestasi lemah Barisan Nasional (BN) pada PRU13 akibat tsunami Cina, beliau terus dituduh rasis oleh musuhnya, terutamanya DAP.

Kini, DAP pula mencanangkan terma “tsunami Melayu” untuk menumbangkan BN pada PRU14 tanpa merasa betapa rasisnya terma ini.

Sekiranya pembangkang betul-betul yakin tsunami Melayu akan berlaku, maka tiada keperluan untuk para pembesar mereka tercari-cari mana kerusi selamat.

Masalahnya ialah tiada siapa yang tahu apakah tsunami Melayu akan berlaku. Mereka hanya mengharapkan dengan strategi mengulangi terma itu, maka rakyat akan mempercayai tsunami Melayu akan berlaku dan ia menjadi realiti.

Persoalannya, apakah BN takut dengan terma tsunami Melayu? Sekiranya BN takut, sudah pasti BN akan mengelak menggunakan terma ini.

Akan tetapi, BN tidak. BN menyedari terma tsunami Melayu ini menguntungkannya kerana ia menimbulkan kegelisahan orang Melayu, lebih-lebih lagi apabila terma itu dicanangkan DAP.

Lihat sahaja bagaimana Najib dan menterinya tidak segan silu menggunakan terma tsunami Melayu di depan pengundi Melayu dan memberikan jaminan beliau tidak akan membiarkan tsunami Melayu berlaku.

Jika kita berlaku adil di dalam pandangan kita seperti Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, terma tsunami Melayu ini sama rasisnya dengan tsunami Cina.

Jika tsunami Cina menyebabkan kemarahan orang Cina terhadap pencanangnya, apakah orang yang mencanangkan terma tsunami Melayu terlupa terma itu juga akan menyinggung perasaan orang Melayu terhadap pencanangnya?

Jangan pandang rendah kepada arus kemarahan yang tidak dapat dikesan ini.

Pelaburan China

Pakatan Harapan (PH) terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamad telah menjadikan pelaburan China yang datang bertimbun-timbun di bawah pemerintahan Najib sebagai satu serangan untuk menawan undi orang Melayu.

Serangan Dr Mahathir ini menimbulkan duri di dalam hati orang Cina yang bertepuk tangan ketika beliau menghentam Najib dan kerajaan BN.

Tidak dinafikan ramai orang Cina marah apabila terbaca kenyataan-kenyataan seperti “Balik Tong Shan (China)”, “Apa lagi Cina mahu?” dan sebagainya yang pernah keluar daripada mulut pimpinan Umno.

Oleh itu, pada 2 PRU lepas, orang Cina memberikan sokongan penuh kepada pembangkang sehingga menyebabkan MCA dan Gerakan bernyawa ikan.

Namun, apabila kerajaan BN mendekati China demi pelaburannya, orang Cina puas hati kerana tindakan itu seolah-olah menampar muka Umno sendiri.

Sebahagian orang Cina yang masih kuat sentimennya terhadap China bangga apabila Najib dapat menarik Jack Ma melabur di Malaysia dan diberi penghormatan bertemu Presiden China, Xi Jinping ketika melawat China.

Apabila Dr Mahathir mengumumkan PH akan mengkaji semula pelaburan China, ini menimbulkan dilema di kalangan pengundi Cina.

Bukan itu sahaja, strategi DAP yang cuba membunuh kerjaya para pembesar Gerakan dan MCA juga menimbulkan kebuntuan. Sekiranya PH gagal ke Putrajaya dan semua pembesar Gerakan dan MCA tewas, siapakah yang akan menjaga kepentingan orang Cina di dalam kerajaan nanti?

Yakni, sentimen terhadap China dan dilema yang diwujudkan Dr Mahathir dan strategi DAP ini akan mengubah pola sokongan orang Cina.

Yakni, ini arus ke-2 yang harus diberi perhatian. Apakah PH dalam kegilaan mengejar undi Melayu akan tercicir undi Cina yang dirasakan sudah ada dalam tangan?

Peningkatan kesedaran terhadap tuntutan Islam

Reaksi-reaksi terhadap kes M Indira Gandhi, Rang Undang-undang Membaharui (Perkahwinan Dan Perceraian)(Pindaan) 2017 yang juga dikenali sebagai Akta 164, kelantangan peguam Siti Kasim, RUU355 dan penghakiman kes murtad di Sarawak, isu pelancaran tudung di kelab malam dan kes-kes yang melibatkan sensitif Islam menimbulkan 2 pandangan amat berbeza.

Bagi orang bukan Islam dan berfikiran liberal, mereka merasakan orang Islam ke arah menjadi lebih konservatif dan kuno. Bagi umat Islam pula, mereka merasakan suatu kebangkitan kesedaran terhadap Islam sedang berlaku dengan rancaknya, di mana orang Islam semakin menyedari tuntutan agamanya.

Arus kesedaran ini hanya akan bertambah kuat, terutamanya di zaman fitnah ini. Media-media yang lebih gemar mempopularkan pandangan liberal yang memperlekehkan pandangan dan perasaan umum terhadap satu-satu amalan Islam juga membantu dalam memangkin kebangkitan kesedaran ini.

Jangan pandang rendah terhadap arus ini kerana berbanding 2 arus lain, arus ini boleh menjana tsunami dari bawah yang boleh mengejutkan semua pihak pada PRU14.

Ketiga-tiga arus ini akan menyebabkan keputusan PRU14 sukar dijangka.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.