‘Rakyat’ semakin popular menjelang PRU

Kain-kain rentang yang kini dipasang oleh Barisan Nasional (BN) di merata tempat menjelang hari penamaan calon Sabtu ini membawa slogan “Hidup Rakyat”.

Pakatan Harapan (PH) pula bersetuju menggunakan satu lambang iaitu logo “mata” milik PKR, yang namanya mempunyai perkataan “rakyat”.

Di kalangan 13 parti BN, 4 daripadanya mempunyai perkataan “rakyat” pada nama parti mereka. Parti itu ialah Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

PKR (Parti Keadilan Rakyat) pula memperoleh nama “rakyat” itu apabila Parti Keadilan Nasional bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Kesemua mereka menyertai pilihan raya umum ini untuk bertanding supaya calon mereka dipilih untuk menjadi wakil rakyat dan menduduki kerusi dalam Dewan Rakyat. Sekali lagi perkataan “rakyat” ada pada institusi Parlimen negara ini.

Tetapi apakah yang dimaksudkan dengan “rakyat” ini?

Adakah parti politik itu memilih perkataan rakyat untuk menyedapkan nama mereka, tetapi tidak membawa sebarang makna istimewa? Begitu juga dengan slogan “rakyat” yang digunakan dalam pilihan raya. Malah nama pada salah satu dewan Parlimen itu.

Ada masa rakyat diberi erti sama dengan perkataan warganegara. Ini kerana hanya dengan taraf kerakyatan, baru seseorang itu menjadi seorang warga negara.

Perkataan warganegara pula menunjukkan seseorang itu warga kepada sesebuah negara, iaitu ahli berdaftar kepada sesebuah negara. Dengan menjadi warganegara, seseorang mempunyai hak antaranya untuk mengundi dan tanggungjawab seperti membayar cukai pada kerajaan yang memerintah negaranya.

Dalam bahasa Inggeris, rakyat diterjemahkan menjadi “people”, warganegara ialah “citizen” dan kerakyatan ialah “citizenship”. Parlimen Malaysia meniru sistem parlimen Britain yang mempunyai House of Commons iaitu Dewan Orang Ramai dan House of Lord atau Dewan Ketuanan. Tetapi Malaysia mengubah istilah untuk 2 dewannya dengan nama Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Tetapi perkataan “rakyat” dan “people” hanya boleh diterjemahkan pada satu sama lain menurut konteks ayat. Ini kerana ada masanya “people” hanya boleh diterjemahkan menjadi “orang,” “warga” atau “penduduk” dan bukannya “rakyat”. Maknanya dalam bahasa Melayu, perkataan “rakyat” mempunyai maksud yang lebih istimewa daripada “people”.

Istilah “citizenship” pula adalah lebih sesuai diterjemahkan kepada “kewarganegaraan” dan bukan “kerakyatan.” Maksud “kerakyatan” adalah sesuatu yang dikaitkan dengan “rakyat”.

Dalam bahasa Inggeris, “people” itu menjadi “popular”, dari segi ini, ia bukan bermaksud “terkenal,” tetapi ia memberi erti kerakyatan. Contohnya nama Popular Front of the Liberation of Palestine (PFLP). Di sini “popular” bukan bererti “terkenal” tetapi bermaksud “kerakyatan”.

Tetapi mengapa semasa menggubal perlembagaannya pada 1957, Malaya mengambil istilah Dewan Rakyat dan tidak Dewan Orang Ramai walaupun ia meniru House of Commons dalam sistem Parlimen Britain?

Sebenarnya House of Commons yang walaupun diterjemahkan sebagai Dewan Orang Ramai adalah lebih tepat dipanggil sebagai Dewan Orang Ramai sebagai Dewan Orang Biasa.

“Commons” merujuk pada “Orang Biasa.” Dalam sistem pemerintahan British, ada 3 jenis warga kepada negara itu: Raja yang menjadi ketua negara, bangsawan yang diwakili dalam House of Lords yang diterjemahkan sebagai Dewan Ketuanan (sedangkan adalah lebih tepat lagi ia disebut sebagai Dewan Bangsawan).

Maka akhirnya “Commons” atau “Orang Biasa” inilah yang sebenarnya “rakyat” dan dalam sistem demokrasi, rakyat mempunyai kuasa melalui wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya untuk membentuk kerajaan dan menggubal undang-undang. Ini kerana demokrasi dan dari perkataan “demos” dan “kratias” bermaksud “kuasa rakyat”.

Dalam sistem beraja, warga sesebuah negara terdiri daripada raja dan rakyat. Apabila mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, maka raja adalah ketua negara, iaitu baginda mengetuai atau memerintah negara menurut perlembagaan.

Dalam sistem demokrasi, perlembagaan pula memberi kuasa pada rakyat untuk memilih wakil yang melantik kerajaan untuk mentadbir.

Di Malaysia, wakil rakyat berada di Dewan Rakyat. Tetapi tidak seperti House of Lords di Britain, Dewan Negara bukanlah institusi bangsawan. Ia juga dianggotai oleh wakil rakyat yang dipilih osecara tertentu seperti mewakuli negeri-negeri atau kumpulan-kumpulan masyarakat.

Selain itu Malaysia adalah sebuah persekutuan yang mana negeri-negeri mempunyai kuasa-kuasa tertentu. Majlis Raja-raja pula mempunyai kuasa dan tanggungjawab tertentu seperti mana yang ditetapkan oleh perlembagaan.

Perlembagaan Persekutuan ini mempunyai ciri-ciri daripada amalan kerajaan Melayu zaman silam yang mempunyai konsep raja dan rakyatnya tersendiri. Ia digabungkan dengan sistem demokrasi Britain yang pada penggubalan awal adalah dalam bentuk Perlembagaan India untuk akhirnya menjadi Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Parlimen British disebut sebagai Mother of Parliaments atau ibu kepada parlimen-parlimen. Daripada amalan demokrasi asal di Athens, Greece purba, konsep memberikan kuasa kepada rakyat melalui perjalanan sejarah dunia yang panjang.

Di Britain, ia bermula dengan piagam Magna Carta pada 1215 yang memulakan konsep raja berperlembagaan. Revolusi Amerika 1776 memperkenalkan sistem demokrasi tanpa raja.

Revolusi Perancis 1789 mempertegaskan konsep kewarganegaraan yang mana rakyat adalah pemilik negara. Gerakan kiri pula meletakkan perjuangan mereka atas nama rakyat.

Tetapi bagi mereka, rakyat adalah kelas pekerja yang memberontak melawan kelas bangsawan dan borjuis. Revolusi Rusia pada tahun 1917 menetapkan bahawa negara adalah milik para pekerja.

Sementara Revolusi China pada 1949 menamakan negara mereka sebagai Republik Rakyat China. Ia memperjelaskan bahawa negara China adalah sebuah republik rakyat.

Pihak komunis mentakrifkan demokrasi dan rakyat secara berbeza. Akibatnya pemerintahan mereka adalah bersifat totalitarian, autokratik dan menekan rakyat.

Sebagai contoh, Korea Utara yang nama rasminya ialah Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) adalah negara yang tidak ada demokrasi dan rakyatnya tidak mempunyai kuasa.

Justeru, perkataan demokrasi dan rakyat boleh saja hilang makna tetapi juga membawa maksud yang bertentangan dengan semangat asal.

Suatu sistem itu boleh saja menggunakan perkataan demokrasi dan rakyat tetapi pada hakikatnya, semangat asalnya sudah luntur dan akhirnya hilang makna.

Oleh itu dari masa ke masa, rakyat perlu diingat tentang apa erti dan semangat asal perkataan rakyat. Begitu juga dengan demokrasi yang bermaksud “kuasa rakyat”.

Pada asasnya rakyat terdiri daripada individu bebas yang kesemuanya mempunyai taraf, hak dan tanggungjawab serupa terhadap negara. Kebebasan individu adalah ciri penting dalam konsep rakyat. Sebab itu setiap seorang memiliki satu undi untuk mereka bebas menentukan wakil mereka melalui pilihan raya.

Proses ini tentunya memerlukan peraturan untuknya dilaksanakan dengan lancar. Tetapi dalam melaksanakan proses ini, semua pihak terlibat termasuk pengundi sendiri mesti menghormati konsep rakyat ini.

Pertama, rakyat mesti bebas bersuara, berhimpun dan bergiat dalam politik. Itulah semangat kuasa rakyat dalam demokrasi. Birokrasi tidak wajar melunturkan semangat asal demokrasi.

Dalam pada itu, walaupun majoriti rakyat akan menentukan kerajaan negara tetapi mereka memerintah bagi pihak semua rakyat, bukan saja yang majoriti tetapi juga minoriti. Juga tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik dan kedudukan kewangan mmereka.

Semangat konsep rakyat wajar dipegang supaya keadilan dapat dilaksanakan dalam negara. Perkataan rakyat bukan saja retorik atau klise, tetapi ia mempunyai suatu semangat yang perlu dipelihara, dipertahankan dan sentiasa diperbaharui. Rakyatlah yang membentuk negara, dan bukan sebaliknya.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.