‘Ustazah feminis’ pejuang kemerdekaan, nenek calon DAP

Pengumuman Jamaliah Jamaludin, ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya sejak 2016, sebagai calon Pakatan Harapan bagi kerusi negeri Bandar Utama di Selangor sangat menarik.

Bukan sahaja Jamaliah berumur 29 tahun, tetapi beliau juga adalah cucu kepada seroang tokoh kemerdekaan negara, arwah Shamsiah Fakeh.

Nama Jamaliah saya sedari dalam arena politik tanah air apabila membaca tulisan beliau sempena Hari Wanita sedunia pada 2017.

Jamaliah menulis: “Sempena Hari Wanita Sedunia, saya ingin mengucapkan terima kasih pada srikandi kemerdekaan yang menyalakan api juang dalam diri dan memberanikan diri untuk bangkit melawan. Saya ingin mengimbas kembali salah satu perjuangan awal wanita Tanah Melayu menentang penjajah, iaitu Angkat Wanita Sedar (AWAS). Tidak kira mereka ini dari sayap kanan atau kiri, jangan kita menidakkan fakta yang mereka memperjuangkan kemerdekaan untuk kita semua. Pada saya, pengiktirafan sejarah ini sangat penting, kerana ianya satu sejarah yang mendidik kita, walaupun sebelum kemerdekaan, wanita-wanita kita sudah berani bangkit dan bergerak aktif dalam politik.”

Shamsiah, nenek Jamaliah, seperti yang kita semua tahu, adalah seorang ustazah yang pernah memondok pada tahun 1938, di sebuah sekolah agama di Madrasah Tuddimiah, Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia iaitu Sekolah Agama Rahmah al-Yunusiah.

Apabila Jamaliah menjelaskan neneknya, Shamsiah sebagai wirawati dan idolanya, kita dengan segera memahami apa yang beliau maksudkan.

Jamaliah Jamaludin (paling depan), ketika masih kecil.

Pertamanya, Shamsiah adalah seorang feminis beraksi (feminist in action). Ia bukan feminis semberono yang memperjuangkan hal remeh; tetapi mendahului zamannya dengan aktiviti pembebasan dan perjuangan agar nasib dan hidup wanita diberi kesetaraan.

Dalam tahun 1940an, Shamsiah sudah berjiwa dan berfikiran merdeka melawan penjajah dan kuasa-kuasa lain yang mengekang wanita. Apatah lagi Shamsiah menjadi mangsa perceraian dan sikap sambil lewa lelaki dalam perkahwinan-perkahwinan awalnya:

“Kesedaran Shamsiah tentang perjuangan nasionalisme adalah demi memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Selain itu, penindasan terhadap kaum wanita juga telah menyedarkan dan mendorong Shamsiah untuk bangun berjuang bagi membebaskan kaum wanita daripada ditindas. Sebenarnya kaum wanita menderita daripada penindasan yang pelbagai iaitu penindasan dari sistem feudalisme, kapitalisme dan imperialisme. Kaum wanita juga menderita dan ditindas oleh kaum lelaki, adat resam kuno, terikat dengan peraturan agama yang disalahmanipulasikan dan sebagainya. Shamsiah sendiri menderita dan menjadi mangsa kekuasaan lelaki, yang mana beliau diceraikan tanpa sebab dan kesalahan yang munasabah. Suami beliau yang pertama telah menceraikan beliau ketika sedang sarat mengandung lapan bulan.”

Perenggan di atas merupakan petikan tesis sarjana Aisyah Ab Rahim pada 2012, “Shamsiah Fakeh (1924-2008): Kajian Terhadap Perjuangan Wanita Islam di Tanah Melayu”.

Tesis dari Jabatan Sejarah Dan Tamadun Islam di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya itu menelusuri perjuangan dan hakikat sebenar di sebalik nama Shamsiah Fakeh.

Feminis turun padang

Shamsiah bukan sahaja menyimpan gagasan feminisme dalam benaknya, tetapi turun padang melakukannya, dan Shamsiah tahu benar bahawa pendidikan sangat mustahak untuk membangunkan kaum perempuan.

Di bawah pimpinan Shamsiah Fakeh, AWAS mengatur program kesedaran untuk wanita-wanita kampung agar maju dari segi ilmu dan pemikiran agar mengenal dunia luar dan tidak terbatas pada aktiviti dapur sahaja.

Shamsiah mengatur kelas-kelas belajar menulis dan membaca untuk wanita yang buta huruf, kelas-kelas memasak dan menjahit serta kelas menghias diri agar wanita-wanita kampung boleh membawa diri dalam apa jua majlis.

Setiap orang juga disuruh membeli dan membaca surat khabar supaya peka dengan persoalan dunia sebagai satu usaha untuk mendekatkan wanita dalam bidang ilmu dan maklumat.

Kedua, kehebatan Shamsiah melampaui kerja-kerja emansipasi wanitanya. Shamsiah memilih jalan yang tidak lunak untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Terpinggir

Begini, apabila Undang-undang Darurat diisytiharkan pada 20 Jun 1948 di seluruh Malaya, ramai penggiat dari anggota parti haluan kiri ditangkap oleh pihak berkuasa penjajah British. Undang-undang tersebut telah menyebabkan parti dan pertubuhan yang tidak sebulu dengan British seperti PKM, PKMM, AWAS, PETA, Barisan Tani Malaya (BATAS), Hisbul Muslimin, Liga Pemuda Demokrasi (NDYL), Kesatuan Buruh dan lain-lain lagi diharamkan.

Ekoran dari itu juga, ramai pejuang kemerdekaan tidak kira lelaki dan wanita telah ditangkap, ditahan di seluruh Malaya, diseksa, dihukum gantung dan dibuang negeri.

Antara pejuang kemerdekaan yang terkenal yang ditahan adalah Ishak Muhammad (Pak Sako), dan Ahmad Boestamam. Ini termasuklah Abdullah C.D, Kamarulzaman Teh dan Rashid Mydin yang telah ditangkap oleh pihak berkuasa penjajah British di Pahang.

Setelah semua parti dan persatuan yang dianggap penentang British ini diharamkan, tinggallah Umno untuk ke hadapan mengambil ruang yang dikosongkan tersebut. Maka Umnolah yang tampil dengan slogan “Merdeka”.

Justeru tidaklah menghairankan nama Shamsiah terpinggir dari buku sejarah. Satu fakta yang dilupakan ialah Shamsiah terpaksa masuk dan berjuang di dalam hutan lantaran tiada pilihan lain lagi. Mereka tidak tega dan tergamak untuk melawan cara Umno.

Maka pilihan yang ada ialah berjuang mengangkat senjata untuk menggulingkan penjajah. Mereka yang terlibat dalam parti politik yang tidak mahu berkompromi dengan British terpaksa berjuang di dalam hutan bagi mengelakkan ditangkap oleh pihak British.

Pulang ke Malaysia

Di dalam memoir arwah Shamsiah, “The Memoirs of Shamsiah Fakeh: From AWAS to 10th Regiment”, Shamsiah menulis: “Sebagai perempuan Melayu yang diasuh untuk menjadi seorang gadis, hanya menerima pendidikan agama, dan ditanggap memadai untuk menjadi suri rumah, saya telah menyertai perlawanan ganas melawan imperalis British. Saya telah menunaikan apa yang saya percayai.”

Kepulangan Shamsiah tidak akan menjadi kenyataan tanpa jiwa besar perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apabila Shamsiah sekeluarga pulang ke Malaysia pada 12 Julai 1994, mereka tidak ditahan. Menurut Aisyah Ab Rahim dalam tesis sarjananya, “Mereka disambut oleh pegawai dan anggota Polis Cawangan Khas dan seterusnya mereka dibawa ke suatu tempat peranginan yang dirahsiakan. Di bawah kepimpinan Dr Mahathir, Kerajaan Malaysia mengambil dasar bertolak ansur dan memberi pengampunan tanpa syarat. Hak kewarganegaraan mereka juga dipulihkan dan diberi kad pengenalan warganegara Malaysia.

“Shamsiah Fakeh dan Ibrahim Mohamad tidak ditahan, tetapi hanya ditempatkan di tempat peranginan pegawai kerajaan selama 10 hari untuk membiasakan diri dengan iklim di Malaysia.”

Pada 22 Julai 1994, Shamsiah dan keluarganya disatukan semula dengan adiknya, dan di bawa ke Gombak setelah terpisah selama 46 tahun. Persatuan Bekas Polis dan Persatuan Bekas Tentera kemudiannya telah membuat kenyataan akhbar meminta agar ahli-ahlinya tidak memusuhi Shamsiah Fakeh.

Hari ini, Jamaliah menegaskan bagaimana sumbangan besar neneknya membantu dirinya membuat pilihan politik.

“Kalau bukan apa yang nenek sentiasa ajarkan kepada saya tentang perjuangan, tentang Malaysia ini tanah milik kita semua, tidak kira apa jua kaum, bangsa, jantina, tentang berani dan betul, saya tidak akan mempunyai satu impian pada suatu hari, kita akan mempunyai satu kita akan mempunyai satu negara yang berpaksikan rakyat dan bukan kroni.

“Pada masa penjajahan British, nenek saya tiada pilihan selain daripada menyertai dalam perjuangan dan peperangan. Hari ini, saya berjuang atas prinsip menegakkan keadilan, mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan menolak politik rasuah, perkauman dan ekstremisme.”

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.