3 PM pernah jadi pembangkang tetapi…

Sistem dan budaya politik negara ini terlalu kuat memasakkan struktur BN khususnya Umno untuk ia berkuasa lama.

Sebaik saja penamaan calon selesai, ternyata persaingan pilihan raya umum kali ini adalah antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) walaupun kebanyakan kawasan menyaksikan pertandingan lebih daripada 2 penjuru.

Tidak ada pertembungan antara parti-parti PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM. Sementara PAS selaku parti pembangkang dilihat sebagai pemecah undi PH. Gagasan Sejahtera diketuai PAS kelihatan tidak berfungsi apabila berlaku juga pertandingan antara parti itu dengan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Begitu juga, Parti Warisan Sabah dilihat sebagai sekutu PH, tetapi ada juga pertembungan antara Warisan dan Amanah di Sabah.

Parti pembangkang kecil lain seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang pernah mempunyai hubungan dengan PKR dianggap “pengacau” kepada persaingan utama antara BN dan PH. Walaupun tinggal beberapa hari saja untuk pengundian, umumnya banyak pemerhati tidak dapat memastikan pihak mana yang akan menang.

Banyak rakyat Malaysia yang mengikut perkembangan politik sejak pilihan raya lalu telah membuat keputusan pihak mana yang akan diberikan undi. Atau mengambil keputusan untuk merosakkan undi, atau memboikot pengundian.

Sementara penyokong tegar akan tetap bersama parti politik mereka atau tokoh-tokoh tertentu.

Umpamanya, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai penyokong tegar yang tidak mengira parti politik. Namun parti-parti baharu utama selepas pilihan raya ke-13 iaitu Amanah dan PPBM sudah mula memiliki penyokong tegar.

Tetapi ada sebilangan pengundi yang tidak tegar. Mereka boleh mengubah pendirian. Begitu juga mereka yang tiada pendirian. Dua golongan inilah yang menjadi sasaran pihak-pihak bertanding bagi tempoh beberapa hari kempen ini.

Berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk pengiklanan, bendera dan majlis-majlis kempen. Ada yang menyebut kali ini adalah “ibu segala pilihan raya” bagi Malaysia kerana sengitnya persaingan antara BN dan PH.

Ia dianggap sengit walaupun jentera BN kelihatan bukan saja kemas tetapi mempunyai dana besar untuk melakukan asakan minda terhadap rakyat melalui pelbagai kaedah dan daya usaha.

Di Kuala Lumpur dan Putrajaya umpamanya, dapat dilihat bukan saja banyak bendera dan kain rentang BN tetapi juga papan iklan elektronik dan konvensional memaparkan secara canggih mesej-mesej mengajak rakyat mengundi gabungan parti itu. Malah barang-barang keperluan diagih-agihkan oleh BN kepada orang ramai dengan harapan ia akan mempengaruhi pengundi yang belum membuat keputusan.

Kekal menang?

Jika dilihat kempen agresif BN, ia seharusnya memberi keyakinan kepada para pemerhati untuk mengandaikan bahawa gabungan parti yang memerintah negara sejak pilihan raya tahun 1974 itu akan terus meraih kemenangan.

Lebih-lebih lagi pada hari penamaan calon itu, PH telah kehilangan beberapa kerusi Parlimen dan negeri kerana calon mereka ditolak atas pelbagai sebab. Tidak ada pencalonan BN yang ditolak.

Ditambah pula kali ini, PAS sebagai sebuah parti penting bertanding sendirian. Ia akan jelas memecahkan undi pembangkang dan memberi kelebihan kepada BN. Tidak seperti pilihan raya terdahulu, PAS kelihatan mepunyai dana yang besar dengan mampu memacak bendera dan kain rentang yang hanya kedua hebat berbanding BN. Dari segi bendera itu, bukan saja BN tetapi PAS sudah kalahkan PH.

Dalam senario ini, pemerhati umumnya bersetuju, walaupun PAS tidak dapat meraih banyak kerusi tetapi kehadirannya pasti memberi keuntungan pada BN. Sungguhpun begitu, banyak pemerhati masih tidak mahu menyatakan bahawa BN akan menang dalam pilihan raya ini, apa yang mereka boleh sebut hanyalah, peluang kedua-dua pihak adalah tetap 50-50.

Petanda yang menunjukkan PH mempunyai peluang hanyalah pada jumlah kehadiran perhimpunan yang dianjurkan mereka terutama apabila adanya kehadiran Dr Mahathir, calon perdana menteri pihak pembangkang.

Tetapi daripada pilihan raya lalu, bilangan kehadiran perhimpunan tidak boleh dijadikan ukuran. Secara tradisi, PAS, walaupun bukan kali ini mampu menarik kehadiran orang ramai ke perhimpunan mereka tetapi gagal menterjemahkannya kepada kemenangan kerusi.

Sementara dalam perarakan penamaan calon Sabtu lalu, PAS umumnya lebih mampu menarik ramai penyokong untuk turut serta berbanding PH.

Tarikan yang lebih mengkagumkan ditunjukkan oleh Warisan yang dianggap sebagai sekutu PH walaupun ia tidak menganggotainya. Tetapi Warisan tidak terikat pada perjanjian dengan PH..

Pandangan pemerhati berubah-ubah

Ada pihak menyebut bahawa Warisan mungkin menjadi penentu atau kingmaker jika berlaku Parlimen tergantung antara BN dan PH. Sememangnya PAS juga mendakwa dirinya bakal menjadi kingmaker tetapi umum melihat peranan parti itu sebenarnya adalah sekutu BN. Ia hanya menjadi kingmaker untuk BN dan bukannya PH.

Ada penganalisis yang menyokong BN menyatakan gabungan parti itu akan menang mudah. Sementara para penganalisis yang menyokong PH pula meramalkan kemenangan pihaknya.

Pihak-pihak yang bertaruh mempunyai kecenderongan masing-masing, tetapi terdapat banyak kalangan dari kedua-dua pihak meletakkan keadaan yang tidak menentu.

Sejak dari tahun lalu, pandangan para pemerhati ini berubah menurut perkembangan politik semasa. Begitu juga gelagat orang ramai pada hari penamaan calon ini juga mengubah pandangan sesetengah pemerhati.

Namun banyak pemerhati termasuk saya sendiri kekal berpendapat bahawa BN akan menang, walaupun tipis. Malah BN tidak memerlukan kingmaker sama ada PAS atau Warisan. PAS tidak diharapkan menjadi kingmaker, ia hanya alat untuk mengurangkan undi PH.

BN masih sukar untuk ditumbangkan walaupun gelombang rakyat yang mahukan perubahan kerajaan adalah paling besar dalam sejarah pilihan raya negara.

Suasana pada masa ini adalah lebih kritikal bagi BN berbanding ketika menjelang pilihan raya umum tahun 1990 dan 1999. Tetapi bagi mereka yang terlibat dengan pihak pembangkang pada 2 pilihan raya umum itu akan dapat ingat bahawa pada masa itu dirasakan BN boleh ditumbangkan, tetapi ia tidak berlaku juga.

Pasak BN tak goyah

Ini kerana sistem dan budaya politik negara ini terlalu kuat memasakkan struktur BN khususnya Umno untuk ia berkuasa lama. Walaupun dalam sejarah negara, 3 bekas perdana menteri, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn pada 1990 dan Tun Dr Mahathir Mohamad menyertai pihak pembangkang, begitu juga dengan 2 bekas timbalan perdana menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi ia tidak menggoyahkan pasak BN.

Dari segi gerakan pembangkang, pilihan raya umum ke-14 ini adalah terbaik baginya. Pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an, BN amat kuat hinggakan ketika penamaan calon, banyak pemimpin mereka menang tanpa bertanding, malah mampu menubuhkan kerajaan.

Sejak zaman British lagi, bermula daripada pilihan raya umum 1955, parti yang tidak disukai oleh pihak penjajah, dan kemudiannya menjadi pembangkang negara merdeka, sentiasa menerima tekanan baik oleh jentera kerajaan mahupun dari segi saluran maklumat.

Parti pembangkang sentiasa dinafikan hak demokratik untuk menyalurkan maklumat melalui media massa yang dikawal secara pentadbiran, perniagaan mahupun politik. Sudah tentu parti kerajaan dapat mengalahkan pembangkang dengan cara kawalan maklumat ini.

Hanya sejak ada Internet dan kemudiannya media sosial, kawalan ini dapat dipecahkan. Itu pun kerajaan menggunakan pelbagai cara untuk mengawal maklumat di Internet.

Walaupun masyarakat banyak berubah kerana generasi muda mempunyai fikiran yang berbeza tetapi sentimen perkauman, keagamaan dan kepentingan kewangan akan menyekat mereka daripada menyokong pembaharuan demokratik dan progresif.

Rekod Najib

Di samping itu, rekod Datuk Seri Najib Razak menunjukkan beliau juga mempunyai keupayaan untuk mengalahkan pembangkang. Perlu diingat bahawa selepas beliau menjadi perdana menteri, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak dapat ditumbangkan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan ke dalam penjara semula.

Begitu juga dalam pilihan raya ke-13, beliau bukan saja mampu memenangi Perak tetapi juga Kedah. Selepas pilihan raya itu pula, BN berjaya menarik PAS untuk berbaik dengannya hinggakan Pakatan Rakyat terbubar.
Dalam mempertahankan kedudukannya, beliau tidak teragak-agak untuk mengetepikan Dr Mahathir dan menggugurkan timbalannya, Muhyiddin dan naibnya, Datuk Seri Shafie Apdal.

Maka untuk mempertahankan kedudukan BN sebagai kerajaan persekutuan, mungkin terdapat kejutan yang boleh dilakukan dalam masa beberapa hari lagi sebelum pengundian. Namun begitu, walaupun selepas pengundian, ada saja cara kreatif bagi mempertahankan kedudukan BN.

Seperti kata Prof Jomo Kwame Sundram, ketika membicarakan sejarah perjuangan buruh di negara ini beberapa minggu lalu, “power is cruel” (kuasa adalah kejam).

Kemudian ada konsep “deep state” atau negara terpendan, dan “embedded state” atau negara terpasak yang mampu mengekalkan hegemoni Umno-BN.

Namun, siapa sangka dalam pilihan raya umum 2008, BN kehilangan 5 negeri. Begitu juga Soviet Union yang kejam boleh tumbang dengan begitu saja. Perjalanan sejarah tidak boleh dihalang manusia.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.