Beranikah ahli Umno?

Oleh Hakka Yusuf

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang.

“Orang” dalam coretan ini bukan bermakna bangsa lain. Setiap kali lagu ini dimainkan di Perhimpunan Agung Umno, kita menangis kerana sebak bercampur ketakutan. Menangis membayangkan jika Umno tidak lagi berkuasa di bumi Malaysia ini.

Bayangan itu kini sebuah realiti – pada tanggal 9 Mei, Umno tewas di medan perang, tiada lagi di tampuk kuasa. Sejurus kalah, pemimpin di atas masih sibuk dengan permainan politiknya. Yang menangis hanyalah ahlinya – kami pakcik dan makcik di cawangan yang tidak boleh membayangkan Umno ditolak rakyat seteruk itu.

Ketika kita masih mengubat duka dan lara, pemilihan muncul tiba. Ada yang berkempen seperti kita masih berkuasa, ada yang berkempen lebih bersih, dan ada juga yang terus tidak bertanding. Sambil hari silih berganti, ahli Umno dan rakyat melihat dan menilai sama ada Umno berani untuk berubah.

Berubah untuk apa? Di minda ahli Umno, pastinya berubah untuk menang kembali kepercayaan rakyat. Lima tahun itu bukannya panjang, pejam celik pejam celik kita kembali ke medan perang. Walaupun ada pemilihan lagi pada tahun 2021, ia terlalu dekat dengan pilihan raya umum ke-15. Pemilihan ini yang akan menentukan Umno bangkit semula atau terus hilang ditelan zaman.

Jawatan penting bagi perubahan berani ini sudah tentu jawatan presiden. Umno masih feudal – pengaruh presiden jauh lebih besar jika dibandingkan dengan pengaruh kolektif timbalan, naib, ketua-ketua sayap mahupun ketua bahagian sekalipun. Jika Umno ingin berubah dan ada cita-cita untuk kembali berkuasa seawal PRU15, pilihan di antara Tengku Razaleigh, Khairy Jamaluddin atau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pilihan yang cukup penting.

Calon 01 Ku Li, calon alternatif. Seorang bangsawan veteran yang pernah melawan namun tewas kepada Tun Dr Mahathir Mohamad. Kurang terlibat dalam pentadbiran lepas tetapi sudah berdekad hanya di Gua Musang. Seorang yang sentiasa tersenyum tetapi mungkin terlalu berlemah-lembut untuk zaman kekalahan. Banyak jasanya tetapi mungkin terpisah dari generasi sekarang. Amat dihormati atas pencapaian lampau berdekad-dekad dahulu.

Calon 02 Khairy, calon kejutan. Pilihan rakyat umum tetapi bukan norma dalam Umno. Kepetahan berucap dan pengunaan media sosial menjadi aset untuk zaman perang tetapi dianggap terlalu muda oleh cara Umno sedia ada. Satu-satunya pemimpin Umno yang popular dalam kalangan pengundi muda tetapi dipersalahkan bila anak muda tolak kepimpinan Umno. Melawan Anwar nanti, Khairy mewakili anjakan paradigma seperti Emmanuel Macron di Perancis dan Justin Trudeau di Kanada namun sayang, bertanding dalam parti yang mungkin belum biasa dengan anjakan paradigma sebegini.

Calon 03 Zahid Hamidi, calon penyambung legasi. Kesetiaannya kepada bekas presiden tidak boleh diragui tetapi mungkin penyebab kekalahan PRU lepas. Cukup popular dengan Ketua bahagian dan “warlord” tetapi ditolak pengundi luar parti. Tegas dan berani namun agak sukar dibayangkan sebagai pejuang di Dewan Rakyat. Dekat di hati “kingmaker” parti di peringkat bahagian tetapi jauh dari hati “kingmaker” PRU iaitu pengundi muda. Kini Zahid di depan, atas tiket penyambung legasi.

Ketiga-tiga calon utama jawatan presiden Umno mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri. Akhirnya, siapa yang menjawat jawatan Presiden UMNO bergantung kepada keberanian ahli Umno.

Keberanian apa? Keberanian mengakui pemilihan ini jauh berbeza dengan pemilihan sebelum-sebelum ini. Keberanian mengakui Umno akan menuju ke PRU15 tanpa jentera kerajaan dan kuasa pusat, cuma pentas di Parlimen dan kejituan perjuangan. Keberanian mengakui cara lama kita mungkin sudah terpisah dengan cara rakyat umum mengundi kelak. Keberanian mengakui ini bukan zaman biasa-biasa yang memerlukan penyelesaian biasa-biasa.

Sebelum mengundi nanti, ahli Umno mempunyai beberapa pilihan. Pilihan untuk mengikut arahan dan cara lama atau pilihan untuk keluar dari kesedihan PRU14. Bumi dipijak milik orang atau bumi dipijak milik kita? Jika ingin kembali berkuasa, perwakilan perlu berani mengatakan tidak kepada norma dan cara lama kita memilih.

Pilihan ini pilihan ahli Umno. Pilihan ini memerlukan keberanian.

Hakka Yusof adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.