‘Bayangan Allah di bumi’ yang menelan korupsi

Pada 2015, The Wall Street Journal melaporkan hampir AS$700 juta wang dari 1MDB dipindah masuk ke akaun peribadi perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Bulan berikutnya, pihak berkuasa Switzerland melihat kemungkinan terdapatnya kes korupsi dan pecah amanah melibatkan dana awam, dan penggubahan wang haram. Ia merupakan pendedahan yang menggempakan seisi dunia.

Enam bulan kemudian, segelintir agamawan bersama-sama dengan Najib hadir memenuhi Dataran Merdeka sempena “Malam Cinta Rasul” anjuran Yayasan Pendidikan Cheras. Program “Kuala Lumpur Berselawat, Wilayahku Ceria” itu bermula dengan solat Maghrib berjemaah dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan, Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Ia kemudian menampilkan tokoh qasidah terkenal Indonesia, Habib Syech Abdul Qadir as-Seggaf.

Kira-kira setahun kemudian, beberapa kerat ulama menyeru agar Majlis Fatwa Kebangsaan membuat pendirian tentang isu 1MDB dan DoJ. Antara lain, ialah Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang.

Bukan sahaja seruan tersebut dipandang sepi, dalam satu laporan media, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria malahan meminta supaya mereka berhenti mendesak golongan agamawan, ulama dan mufti di negara ini untuk menyuarakan pandangan terhadap isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagaimana didedahkan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat. Ini kerana hal tersebut dianggap masih tidak jelas.

Dua tahun kemudian, mufti Pahang, Melaka, Wilayah Persekutuan dan Perak bersama-sama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru rakyat menolak campur tangan asing dalam urusan negara termasuklah yang melibatkan skandal 1MDB.

Terdapat dalam kalangan mereka yang ikut menyeru agar rakyat bersatu mempertahankan negara kerana ia mencerminkan keimanan.

Tindak-tanduk segelintir kaum agamawan ini menimbulkan tanda tanya kepada sebahagian rakyat yang menegaskan ajaran Islam hadir di tengah masyarakat untuk membawa keadilan sosial dan membanteras korupsi.

Contoh paling besar ialah pada tubuh badan Nabi Muhammad saw, sahabat baginda yang terpilih dan cucunda Rasulullah iaitu Sayidina Husin. Mereka bergalang nyawa berkorban memperjuangkan kebajikan dan keadilan untuk ummah.

Jika model Nabi Muhammad, para sahabatnya dan cucunya itu tidak digunakan oleh sesetengah agamawan untuk berani bersuara dalam isu-isu melibatkan negara ini, model atau kerangka mana yang mereka gunakan selama ini?

Ulama silam pertahan kezaliman

Mungkin kerangka atau model yang mereka pertahankan itu terdapat dalam kitab-kitab klasik Melayu berbumbukan Islam. Terdapat ulama yang menolak pelucutan seorang raja walaupun baginda gagal berlaku adil.

Raja Ali Haji sebagai contoh dalam kitab karangannya Thamaratu’l- Muhimmah Diyafah li’l-Umara’ I wa’l- Kubara’i Li-Ahli al-Mahkamah yang berpengaruh di Riau dan seluruh alam Melayu, menekankan, ketidakadilan bukanlah faktor yang membolehkan seorang pemerintah diketepikan.

Menurutnya, satu-satu alasan sah untuk menanggalkan kekuasaan daripada seorang pemerintah hanyalah apabila raja atau penguasa tersebut meninggalkan agama Islam: “ya’ni tiada boleh diturunkan Raja itu sekalipun daripada kerajaannya jika hilang sifat ‘adalat-nya sekalipun”.

Ini bermakna, jika keadaan terus mendesak, raja tersebut boleh diturunkan tetapi kuasa politik harus dikekalkan di tangan raja, dan bukannya rakyat.

Raja Ali menegaskan, “Sekira-kira mengata mereka itu tiada boleh diturunkan Raja itu daripada kerajaan dengan sebab jahat dan fasiq, akan tetapi harus diganti dengan yang lainnya.”

Perenggan di atas membawa maksud besar, bahawa keadilan adalah terpilih, kerana raja atau penguasa terkecuali. Sukar dibantah, sesetengah para ulama tidak menjadi pelaksana kepada keadilan sosial dan hak asasi manusia yang ditekankan Islam.

Dalam sebuah program akademik, “Seminar Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu: Sumbangan dan Peranan Mufti Dalam Kegemilangan Tamadun Alam Melayu” pada 2015, mufti WP Zulkifli menulis bersama-sama Mohd Syukri Yeoh Abdullah dan Muaamar Ghaddafi Hanafiah dalam makalah berjudul “Peranan dan Sumbangan Syakh Al-Islam / Qadi Al-Malik Al-Adil / Mufti Dalam Pembinaan Kegembilangan Tamadun Kesultanan Di Alam Melayu”.

Mereka memperihalkan kedudukan mufti di alam Melayu, memetik kata-kata al-Suyuti sebagai hujah penguat bahawa ulama harus bersama penguasa tidak kira apa pun yang berlaku.

Tulis mereka: “Pengalaman sejarah Alam Melayu turut mencatatkan para Syaikh al-Islam/Qadi al-Malik al-Adil/mufti bertugas melakukan penasihatan terhadap Sultan dan para pembesar dalam pemerintahan sesebuah kerajaan Melayu. Ini bersesuaian dengan pesan Rasullulah: Sultan (penguasa) adalah bayangan Allah di atas permukaan muka bumi, berlindung kepadanya semua hamba-Nya yang dizalimi. Jika dia berbuat adil akan mendapat pahala dan wajib ke atas rakyat bersyukur. Jika dia jahat dan zalim akan mendapat dosa dan wajib ke atas rakyat bersabar.”

Perhatikan penegasan bahawa pemerintah adalah wakil Allah di muka bumi, malah bukan setakat wakil, mereka adalah bayangan Allah.

Justeru jika mereka adil mereka wajib disyukuri, dan jika mereka jahat, anjurannya adalah rakyat wajib bersabar.

Namun tidaklah semua agamawan sedemikian. Seperti yang saya sebutkan di awal, masih ada kaum ulama yang boleh dipuji dalam menyuarakan keresahan skandal 1MDB.

Antara lain adalah Ahmad Awang. Dalam memberi reaksi kepada kaum agamawan yang menyelar campur tangan asing dalam kes 1MDB pada tahun 2016 itu, beliau mengatakan; “Hari ini kita berasa dukacita apabila orang dah mula kaitkan ulama-ulama khususnya yang terlibat dalam parti Islam sebagai ‘memakan dedak’. Ada ulama-ulama yang berjuang dengan nama Islam mereka inilah yang diharapkan untuk menentang kezaliman dan penindasan yang dirasai rakyat.

“Inilah yang Rasulullah saw paling takut. Baginda menyebut tentang ulama yang merosakkan umat. Apabila ulama rosak maka rosaklah kerajaan.”

Yang saya tidak tahu, dan tidak faham ialah jika model dan kerangka Raja Ali Haji diambil oleh sesetengah agamawan rasmi, apakah pula kerangka dan model yang digunapakai oleh Ahmad Awang, bekas presiden Persatuan Ulama Malaysia ini?

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.