Pejuang bahasa Melayu di ‘pusat karaoke’

Oleh Rahman Imuda

“Apa kamu fikir ini pusat karaoke?” Demikianlah amaran anggota polis ketika cuba menenangkan kekecohan yang dicetuskan pejuang bahasa Melayu di lobi mahkamah ketika Datuk Seri Najib Razak mencatat sejarah sebagai perdana menteri pertama yang dihadapkan di mahkamah atas tuduhan jenayah.

Kumpulan ini begitu buas dengan jeritan “hidup Melayu” dan “Aallahuakbar” – 2 kalimah suci umat Melayu moden.

Kekecohan didasari kemarahan mereka terhadap Peguam Negara Tommy Thomas kerana meminta perbicaraan Najib dijalankan dalam bahasa “elit” di Malaysia, bahasa Inggeris. Sorak gempita bermula ketika sidang media dilakukan dalam bahasa Inggeris oleh peguam negara.

Perjuangan bermotif politik semata-mata

Kita tidak boleh menafikan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu termasuk dalam perjuangan politik. Perjuangan untuk memberi kesedaran kepada pemerintah semasa tentang pentingnya berbangga dan memaksimakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan penting negara.

Perjuangan ini panjang dan semakin sukar apabila generasi muda lebih berbangga dan suka menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan. Melalui sosial media dapat kita perhatikan kebanyakan rakyat kita tidak gemar menulis dengan ejaan penuh dan memelihara tatabahasa dalam tulisan mereka.

Apa yang lebih teruk, masih ada orang yang berpangkat menteri enggan menulis bahasa Melayu dengan ejaan penuh di sosial media mereka!

Sebelum isu bahasa Melayu muncul semasa perbicaraan Najib, isu Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan Kementerian Kewangan dalam bahasa Mandarin menjuarai isu di media sosial. Saya tidak bersetuju dia melakukan tindakan tersebut – tapi untuk berlaku adil kepadanya, dia ada memaklumkan mengeluarkan kenyataan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa “elit”.

Jika saya di tempatnya, selaku orang yang berpendirian bahasa kebangsaan perlu dimartabatkan, maka saya fikir kenyataan dalam bahasa kebangsaan sudah memadai. Media asing mampu mengupah penterjemah atau menggunakan teknologi untuk memahami apa-apa kenyataan dalam bahasa kebangsaan.

Saya berpandangan kedua-dua isu bahasa kebangsaan yang tiba-tiba muncul ini bukanlah timbul kerana kecintaan “pejuang-pejuang” ini terhadap bahasa kebangsaan, tetapi semata-mata bermotifkan politik.

Kebanyakan “pejuang bahasa” mengkritik Lim kerana sifat anti-DAP/Cina, peguam negara pula dikecam kerana ingin menjejaskan kredibiliti peguam negara – akan memperlihatkan pendakwaan ini cacat.

Sudah tentu saya mahu memiliki peguam negara yang fasih dalam bahasa kebangsaan, dan saya ada membaca kenyataannya – dia telah lama mengabaikan bahasa kebangsaan dan akan cuba memperbaiki penguasaan bahasa kebangsaannya.

Melalui kenyataan ini jelaslah memperlihatkan betapa tidak pentingnya bahasa kebangsaan dalam kelompok tertentu masyarakat. Sebab itu saya gemar menggelar bahasa Inggeris sebagai bahasa “elit”, anda mampu “survive” dan dipandang tinggi apabila menguasainya walaupun tidak fasih berbahasa kebangsaan.

Manifesto PH tentang bahasa kebangsaan

Secara jujur, saya berpandangan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah individu yang lebih gemar memperkasakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Itu tidak salah, kita tidak boleh menafikan bahasa Inggeris merupakan bahasa penting untuk memudahkan komunikasi dan pembacaan di peringkat global. Malangnya, ketika ramai orang mahu berlidah mat saleh, bahasa kebangsaan kerap dipinggirkan dan diberi imej “second class”.

Saya berharap Pakatan Harapan (PH) segera memulakan usaha memartabatkan bahasa Melayu kerana saya percaya proses memartabatkan bahasa Melayu tidak perlu menunggu hutang negara dilangsaikan untuk dimulakan.

Suntik kecintaan menggunakan bahasa kebangsaan bermula dari pendidikan awal, tanamkan rasa bangga di hati anak-anak bangsa ketika bertutur dan berbahasa kebangsaan.

Subjek bahasa Melayu boleh diperbaiki – bukan setakat membuat karangan dan membulatkan perkataan/ayat yang betul. Walaupun bahagian oral sudah dimasukkan dalam subjek tersebut, tapi pemberat markah dan pelaksanaannya terlalu sedikit.

Kalau semua ini terlalu sukar kerana keadaan ekonomi kita masih tidak stabil, maka ia boleh bermula dengan memastikan sidang media kerajaan dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan.

Kejadian yang berlaku di lobi mahkamah sepatutnya memberi pengajaran kepada banyak pihak. Pertama sekali, soal “pejuang” bahasa ini yang menunggang bahasa kebangsaan untuk memperlihatkan mereka berada di pihak yang benar.

Kemudian wajar juga pihak keselamatan mahkamah memastikan kawasan sidang media tidak dihadiri orang awam yang berpotensi menimbulkan keributan.

Saya bersimpati dengan petugas media yang menunggu berjam-jam di lobi mahkamah, akibat kekecohan “pejuang bahasa”, sidang media terpaksa dibatalkan. Bahasa kebangsaan dalam sesebuah negara merupakan bahasa kebanggaan, ia seharusnya diperkasakan dan tidak diludah.

Rahman Imuda ialah aktivis mahasiswa.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.