Kasut hitam bikin riuh satu Malaysia

Kisah lebih 20 tahun yang lalu, di satu pagi Ahad, ibu saya menjerit, “Heng, kasut kamu masih tak basuh. Macam mana nak kering? Esok kamu pakai kasut basah sahaja!”

Setiap Sabtu menjadi tugas saya untuk membasuh kasut sekolah warna putih sendiri. Tujuannya agar kasut diberikan masa cukup untuk kering sebelum Isnin. Sebagai budak sekolah menengah ketika itu, tugas membasuh kasut dilihat tugas yang amat berat.

Sebelum boleh dicuci, seeloknya kasut direndam sejam dalam air sabun supaya kotoran mudah dihilangkan dengan gosokan.

Kasut keperangan itu kemudian perlu digosok kuat agar keputihan dapat dikembalikan ke tahap yang boleh diterima. Tapak kasut yang kehitaman perlu digosok setiap penjuru agar bersih dan tidak cepat menghitamkan stokin putih. Yang paling “frust” ialah saiz kepala berus yang diberikan ibu tidak sepadan dengan kasut.

Kebiasaannya, saya terpaksa menghabiskan masa lebih sejam untuk membersihkan kasut (termasuk masa merendam) kerana takut dimarahi ibu jika beliau melihat kasut saya sekadar “mandi kerbau”. Mata ibu juga amat tajam untuk mengetahui apakah kasut itu dicuci selepas direndam ataupun tidak.

Jikalau ibu tidak puas hati dengan keputihan kasut, saya terpaksa mengulangi proses dan ini sebabnya saya benci kerja mencuci kasut.

Setelah dicuci, kasut perlu disapu kapur putih agar keputihan dapat dikembalikan. Lalu kasut disidai di kawasan berangin dan di bawah matahari terik.

Kerja mencuci kasut bukan habis setakat sidai. Saya perlu peka dengan cuaca. Sekiranya langit menjadi mendung, kasut perlu disimpan cepat sebelum hujan. Jika terkena hujan, bau busuk kasut akan kembali menyengat sekiranya tidak dikeringkan dengan betul.

Sekiranya kasut tidak sempat dikeringkan pada malam Ahad kerana hujan (jarang berlaku jika dicuci pada Sabtu) atau kerana saya malas atau terlupa mencucinya lebih awal, ibu akan menyediakan api kecil di atas arang lalu menyusun kasut saya di tepi agar dapat dikeringkan menggunakan haba sebelum pagi Isnin.

Begitulah nostalgia saya terhadap kasut sekolah warna putih. Bagi saya, kasut warna putih tidak praktikal tapi nilai disiplin dalam menjaganya sangat besar di zaman itu kerana kebanyakan kita mencuci kasut sendiri.

Tapi di zaman ini, saya tidak tahu apakah perkara itu masih benar. Mungkin hari ini kebanyakan ibu bapa yang mencuci kasut untuk anak-anak. Golongan ini sudah tentunya menyokong cadangan menggantikan kasut warna putih dengan kasut warna hitam. Jika dibandingkan dengan kasut warna putih, secara praktikalnya kasut hitam memang lebih mudah dijaga.

Meskipun kotor, anak-anak sendiri pun tidak sedar setahap mana kotornya kasut mereka. Kalau kasut warna putih, terkena lumpur sikit atau sos tomato terjatuh atas kasut, boleh nampak jelas kekotorannya.

Tiada apa yang salah dengan cadangan tukar warna kasut dari putih ke hitam, ada pro dan kontranya kepada semua.

Cuma saya berharap kerajaan dapat memberikan BR1M lebih kepada golongan yang memerlukan untuk menukar kasut anak-anak. Ini bebanan baru kepada mereka untuk tahun depan.

Ini hanya isu kecil. Saya bersetuju dengan Tan Sri Rais Yatim, ada banyak lagi isu besar yang perlu ditumpukan dalam sistem pendidikan negara daripada soal kasut warna hitam. Isu ini tak sepatutnya riuh satu negara.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.