Isu UEC, sekolah agama pahit tapi benar

Oleh Moaz Nair

Isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) merupakan isu pendidikan. Ia bukan isu politik, ia bukan isu kaum.

Semoga kita dapat menerima realiti bahawa kepelbagaian dan perbezaan budaya, bahasa dan agama tidak harus menjadi masalah, sebaliknya dapat kita raikan bersama dalam semangat muhibah. Lagipun, Islam tidak menolak kepelbagaian kaum dan bahasa di bumi ini.

Firman Allah dalam surat al-Hujurat ayat 13 yang berbunyi (dipetik sebahagian): “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenali…”

Persoalan kepelbagaian dalam sistem pendidikan negara kita adalah pahit ditelan oleh mereka yang bersemangat nasionalisme, tetapi dipandang berlainan pula oleh ibu bapa.

Sejak merdeka lagi, sistem di negara ini ada pelbagai corak pendidikan. Inilah warisan kita, walaupun yang idealnya negara harus mengadakan hanya satu corak pendidikan.

Di negara kita ada sekolah aliran kebangsaan, agama, Cina dan Tamil, ditambah pula sekolah swasta dan antarabangsa bagi golongan elit.

Kaum Melayu ada yang mahu anak mereka ke sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat, sekolah pondok dan seterusnya ke pusat pengajian di negara Arab.

Orang bukan Melayu (Cina khasnya) tidak bantah pun cita rasa dan hasrat kaum Melayu.

Orang Cina ada yang mahukan anak mereka berpendidikan Cina dan berbahasa Mandarin. Mereka mahu anak mereka berdikari dan tidak mengharapkan sangat bekerja dengan kerajaan. Mereka lebih berhasrat menyediakan anak mereka menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

Jika kaum bukan Melayu (Cina khasnya) tidak membantah hasrat orang Melayu mendapat pendidikan beraliran agama, kenapa perlu orang Melayu membantah hasrat kaum Cina mendapat pendidikan beraliran Cina? Bukankah ini prejudis dalam konteks sistem pendidikan yang diterima pakai di negara kita?

Hari ini, ramai ibu bapa dalam kalangan Melayu yang menghantar anak mereka ke sekolah Cina. Menurut statistik Kementerian Pendidikan pada 2016, terdapat 67,128 atau 12.6% pelajar Melayu yang didaftarkan di sekolah jenis kebangsaan Cina. Angka bagi orang Melayu dijangka mencecah hampir 80,000 pada 2018.

Ada orang membantah usaha kerajaan mengiktiraf UEC, walaupun tidak tahu apa-apa tentang UEC. Ada antara mereka yang tidak tahu pun nama penuh bagi singkatan UEC, malah ada yang menyangka huruf C dalam UEC adalah untuk bahasa Cina atau orang Cina.

UEC adalah singkatan nama kepada “Unified Examination Certificate”. Pelajar cemerlang yang memiliki UEC peringkat tinggi diterima masuk ke program ijazah sarjana muda di beratus universiti terkemuka antarabangsa.

Antara universiti yang menerima UEC sebagai kelayakan asas adalah Universiti Oxford, Universiti Cambridge, Universiti Harvard, Universiti Princeton, Universiti Stamford, Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Universiti California di Los Angeles (UCLA), Universiti Kebangsaan Australia, Universiti Kyoto, Institut Teknologi California dan Universiti Peking.

Adalah diharapkan juga suatu masa nanti, kelulusan agama rakyat kita turut diterima masuk ke universiti terkemuka di dunia dalam bidang keagamaan dan disiplin lain. Insya Allah.

Berbalik kepada UEC, walaupun tidak diiktiraf kerajaan, UEC diterima untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia, sejak 2004.

Mulai 2010, UEC juga diterima untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Cina) di Institut Pendidikan Guru Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan. Jika mahu dipolitikkan, tidak timbul pula bantahan daripada Umno dan PAS ketika itu.

UEC di Malaysia menitikberatkan penguasaan bahasa Melayu dan menerima syarat wajib memiliki kepujian dalam mata pelajaran bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Maka, tidak perlu timbul lagi polemik politik dan kekeliruan dalam isu UEC, mahupun sekolah aliran lain di negara ini. Mahu tak mahu, inilah warisan kita sejak merdeka.

Moaz Nair ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.