Kleptokrasi dan agama

Sosiologis Dr Syed Farid Alatas pernah memberi huraian mengenai kata kleptokrasi. Menurutnya, negara kleptokratis adalah “negara yang dikuasai rasuah”.

Istilah kleptokrasi berasal daripada 2 perkataan, iaitu, klepto (mencuri) dan krasi (pemerintahan).

Alatas kemudian menghubungkan “para kleptokrat yang melibatkan diri dalam amalan rasuah” dengan kegiatan “mengumpulkan modal yang utama”.

Kleptokrat ini bukanlah daripada “pekerja perkhidmatan awam yang memeras atau menerima suapan untuk membiayai hidup mereka”, sebaliknya daripada “elit-elit politik dan birokrasi yang menggunakan rasuah sebagai cara mengumpulkan modal”.

Dalam erti kata lain rasuah sudah naik setingkat lagi iaitu “melalui pemerasan perbendaharaan negara”.
Syed Farid seterusnya menjelaskan, dalam negara kleptokratis, “elit-elit dan pegawai-pegawai negara mempergunakan jawatan awam untuk memajukan kepentingan ekonomi peribadi dan memperkayakan diri sendiri’.

Tidak syak lagi, kleptokrasi adalah “sejenis jenayah negara”.

Oleh sebab itu, tidak ada alasan dan hujah untuk mengaitkan kleptokrasi dengan Islam. Sebuah agama yang menjadi panduan dalam menguruskan perbendaharaan negara, khususnya, seperti yang terlihat ketika pemerintahan Khulafa Rasyidin melibatkan Abu Bakar, Umar dan Ali.

Pemerintah terawal dalam sejarah Islam ini mendapat asuhan dan didikan Nabi Muhammad saw. Mereka tidak sewenang-wenangnya menggunakan aset negara untuk kepentingan peribadi, apatah lagi dalam bermewah-mewah dan menimbunkan harta kekayaan. Terlalu banyak cerita dan naratif yang boleh disuguhkan untuk menyokong dakwaan ini.

Pesan di dalam Al-Quran juga menegaskan kedudukan seorang pemimpin memegang amanah negara dan bukan berada di posisi kuasa untuk mengangkat kemewahan sendiri. Bahkan, Islam memesan agar kebendaan atau materi itu adalah dugaan dan ujian yang boleh menghumbankan kita manusia ke dalam gaung kemungkaran dan kejahatan.

Dalam ayat 42 Surah al-Maidah, Allah berfirman, “Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram.”

“Memakan yang haram” dalam ayat di atas disebut oleh Allah sebagai “al-Soht” yang merupakan pendapatan terlarang, dan pemerasan secara maksimum keuntungan menerusi kaedah yang salah dan menyeleweng (Al-Haram Al-zy La Yahal Kesbhe wa Akleh).

Berasaskan konsep ini, mazhab Maliki menghuraikan al-Soht sebagai “pemberian yang diberikan kepada saksi untuk memberi keterangan, atau kepada hakim agar membuat keputusan memihak, dan merupakan harga suatu kekuasaan” yang tidak lain tidak bukan adalah sesuatu yang haram”.

Allah menerangkan kepada kita mengenai dosa amalan memakan harta orang lain secara batil (salah) menerusi firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 188 yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian dari kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak (mengambil) sebahagian dari harta orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Penyelewengan dan rasuah menjadi mudah berlaku khususnya apabila pemimpin politik yang berada di tampuk kekuasaan itu dalam masa yang sama juga merupakan seorang peniaga, saudagar atau pedagang; atau bahasa hari ini, “businessman”.

Oleh sebab pemimpin yang beragama Islam di Malaysia ini menganut fahaman Ahlus Sunnah wal Jemaah, molek kiranya mereka menjadikan fatwa atau pandangan Sayidina Umar, selaku khalifah kedua di dalam Islam, mengenai kedudukan pemimpin dan niaga.

Beliau menyatakan seseorang pemimpin yang memegang kuasa sebaiknya tidaklah terlibat dalam perniagaan kerana ia mendorong kepada korupsi, dan dalam hal ini kleptokrasi: “Saya berpendapat seseorang pemerintah itu tidak patut berdagang. Ia juga menyalahi undang-undang apabila penguasa itu berdagang dalam kawasan pejabatnya kerana apabila ia melibatkan diri dalam perniagaan, tanpa sedar ia akan menggunakan pejabatnya untuk kepentingan diri dan mengganggu pihak lain, meskipun ia sebenarnya tidak berhasrat melakukan sedemikian.”

Pun demikian, meski agama melarang dengan tegas sebarang penyelewengan dan korupsi, kawalan dan saran agama masih gagal memeriksa dan menyekat merebaknya rasuah, korupsi dan akhirnya fenomena kleptokrasi.

Kajian Leila Shadabi pada 2013 yang diterbitkan The Journal of Business Inquiry menunjukkan satu rumusan yang mengecewakan, daripada 174 negara yang masyarakatnya tepu dengan pengamalan agama Islam dan Kristian, agama gagal menjadi faktor untuk meluruskan warga dan mencegah mereka dari melakukan rasuah atau korupsi.

Sebaliknya kajian dilakukan pada 2010 itu menyatakan faktor lain seperti pemupukan budayalah yang lebih berjaya dalam mengehadkan kemelaratan korupsi.

Hal ini menjelaskan mengapa di sebalik “Islam Hadhari” di Malaysia, atau di sebalik wasatiyyahnya Islam di Malaysia, dan di sebalik eratnya hubungan Malaysia dengan Arab Saudi yang mana kiblat umat Islam terletak di situ, jati diri Islam atau katakanlah Arabisasi gagal mematangkan umat Islam di Malaysia dengan isu ini – kleptokrasi. Penerapan nilai-nilai Islam ketika Mahathir 1.0 malah menggandakan korupsi dan kleptokrasi.

Faktor pembudayaan yang dinyatakan di atas merangkumi 4 ruang yang mesti disebar luaskan agar menjadi satu pendidikan dalam masyarakat, tidak kira yang beragama Islam atau bukan.

Pertama, pemupukan akauntabiliti; kedua, membaiki ketelusan, keberkesanan dan tadbir urus secara demokratik dan seterusnya; meneguhkan norma dan pemakaian standar internasional dalam menguruskan korupsi dan keempat atau terakhir; usaha yang lebih bersepadu dari semua pihak dalam menangani korupsi.

Salah satu cara paling bermakna dalam budaya, yakni agar rasuah dan kleptokrasi tidak mencengkam, ialah menjadikan amalan rasuah sebagai satu pencabulan hak asasi manusia.

Dalam tahun 2016, Bank Dunia percaya sekitar AS$1 trilion dibayar oleh sektor swasta kepada kaum elitis politik yang mengakibatkan berlakunya ketidaksetaraan dalam penerimaan pelaburan awam, pendidikan, kesihatan, dan juga makanan.

Melawan kleptokrasi adalah jelasnya bahagian dari hak asasi manusia dan demokrasi. Korupsi adalah prinsip utama untuk negara dan rejim autoritarian terus berkuasa yang mana mereka bertanggungjawab terhadap pelbagai pencabulan hak asasi manusia.

Juga, kesempatan untuk bergantung pada sumber kewangan merupakan salah satu sebab utama mengapa pemerintah diktator enggan melepaskan kuasa.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.