Agenda ekonomi Bumiputera masih lagi agenda nasional

Gambar Bernama

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atas jaminannya yang mengatakan kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf kedudukan serta hak keistimewaan orang Melayu dan akan terus mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ini sejajar seperti mana yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan dalam Fasal (1) Perkara 153 yang mengatakan Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa melindungi 3 bidang yang menjadi keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak iaitu perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan serta Perkara 152 yang menegaskan bahasa kebangsaan bagi negara ini ialah bahasa Melayu.

MTEM melahirkan perasaan bimbang terdapat tuduhan yang tidak berasas dan berbau perkauman yang mengatakan penjawat awam adalah tidak efektif kerana ia tidak mencerminkan kompisisi kaum di Malaysia.

Perkhidmatan yang diberikan penjawat awam adalah satu tugas murni dalam mentadbir negara dan sama sekali tidak akan meminggirkan mana-mana etnik lain dalam memberikan perkhidmatan awam.

MTEM tidak melihat kaitannya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada mana-mana warganegara Malaysia dengan menetapkan kuota komposisi kaum di dalam penjawat awam selagi mana penjawat awam mematuhi kod etika perkhidmatan yang ditetapkan.

Namun begitu, MTEM juga mengakui terdapat pihak yang mengambil kesempatan terhadap agenda Bumiputera ini demi kepentingan peribadi.

Ini dapat dilihat di dalam sektor pendidikan terdapat Bumiputera yang keluarganya berpendapatan tinggi mendapat biasiswa yang sepatutnya di peruntukkan oleh Bumiputera yang ahli keluarganya berpendapatan rendah.

Tindakan tidak bertanggungjawab ini ternyata amat dikesali kerana ia melambatkan lagi pembangunan ekonomi Bumiputera untuk jangka masa panjang.

Malah, tindakan yang dilihat mementingkan diri sendiri ini juga akan merugikan pembangunan ekonomi dan sosial negara kerana Bumiputera yang berkelayakan tetapi menetap di luar bandar akan terus terpinggir dan tidak akan mampu untuk mendaki tangga sosial (social mobility) dalam mengubah kehidupan mereka.

Ada juga pihak di dalam sektor perniagaan menyalahgunakan keistimewaan yang diberikan dengan menjual permit yang diperuntukkan untuk Bumiputera kepada pihak ke-3 kerana ingin mendapatkan untung mudah.

Tindakan menyalahgunakan keistimewaan ini ternyata akan merugikan peniaga Bumiputera lain yang ingin berniaga secara jujur dan mahu membangunkan perniagaan mereka.

Perniagaan secara “Ali Baba” sebegini amat ditentang oleh MTEM dan selari dengan tuntutannya yang mahukan kegiatan perniagaan secara “Ali Baba” ini dibanteras seperti mana yang diutarakan MTEM semasa pelancaran buku “Barah Ali Baba di Bumi Merdeka” pada Oktober 2014.

Tindakan peniaga sebegini tidak akan menambah nilai (value added) perniagaan Bumiputera dan hasrat kerajaan untuk melahirkan usahawan Bumiputera yang kekal mampan.

MTEM berpendapat pelaksaan terhadap dasar Bumiputera harus dilihat semula dan dijadikan keutamaan. Agenda ekonomi Bumiputera masih lagi merupakan agenda nasional dan perlu dikekalkan demi kelangsungan ekonomi Bumiputera selagi mana ia masih dilihat jauh ketinggalan berbanding dengan etnik lain.

MTEM ingin mencadangkan suatu akta baru juga harus disusun serta di rangka untuk memastikan dasar utama negara tercapai terutamanya perkara yang berkait rapat dengan pembangunan ekonomi Bumiputera.

Mereka yang sengaja menggagalkan dasar utama negara patut dikenakan hukuman yang berat agar menjadi pengajaran kepada yang lain supaya tidak mengambil mudah objektif utama dasar-dasar negara.

Pembangunan ekonomi dan sosial negara akan lebih utuh dan seimbang sekiranya tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dan perpaduan kaum akan menjadi lebih harmoni demi semangat Malaysia Baharu.

Baru-baru ini, Tun Daim Zainuddin, pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) menyatakan dasar untuk membantu Bumiputera akan diperkasakan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih saksama.

Bagi MTEM, ini menunjukkan kerajaan baharu kekal komited kepada penambahbaikan agenda Bumiputera.

Ahmad Yazid Othman ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.