Merdeka dengan Pak Sako dan Budak Beca

Salah seorang pejuang kemerdekaan yang banyak jasa dan sumbangannya dalam politik tanahair adalah seorang wartawan dan pengarang yang kita kenal sebagai Pak Sako.

Pak Sako banyak mengkritik amalam politik tanpa etika. Beliau pernah bertanding di kerusi Parlimen Temerloh mewakili Barisan Sosialis pada 1959. Namun beliau tewas kerana terdapatnya propaganda jahat kononnya Pak Sako bertanggungjawab membawa masuk Jepun ke Tanah Melayu.
Propaganda atau fitnah Pak Sako selaku ejen asing ini disebarkan oleh “pendatang-pendatang daripada Sumatra (Kampar)” yang berfahaman “mahu kaya dan senang”.

Pak Sako, atau Ishak Haji Muhammad, dilahirkan pada 24 September 1909 di Temerloh, Pahang. Nama asal beliau adalah Awang Ahmad Haji Muhammad.

Pak Sako mulai terlibat dalam politik dalam tahun 1959. Ketika itu beliau terlibat dalam Parti Buruh Malaya dan pernah ditahan kerajaan kerana kegiatan politiknya yang dianggap kiri antara tahun 1965-1966.

Salah sebuah novel beliau yang sangat penting adalah Budak Beca yang dikarang pada 1956 dan diterbitkan pada 1957, tahun Malaya menerima kemerdekaan. Novel “Budak Beca” pertama kali diterbitkan pada 1957 dan dicetak kembali pada 1992.

Budak Beca berlatar belakang Terengganu dan Kelantan ketika Malaya di ambang kemerdekaan. Budak Beca tidak mempunyai satu cerita yang utuh. Ini adalah kerana Pak Sako mengabaikan prinsip sebab dan akibat atau plot, sebaliknya memberi keutamaan kepada pemikiran, idea-idea beliau sekitar nasib kaum Melayu di pedalaman.

Budak Beca mengisahkan pengalaman Mamat, seorang bekas mata-mata khas (Special Branch) yang baru sahaja bersara dari tugasnya dan diberikan imbuhan besar dalam bentuk wang.

Dalam keadaan mewah, Mamat terleka dan menghabiskan wang yang ada dengan berpoya-poya dan sentiasa berjoli. Ketika Mamat dalam keadaan lupa tersebut, Pak Sako sengaja menampilkan watak seperti Embong, seorang pengayuh beca yang sering memberikan nasihat-nasihat keagamaan dan sedikit sebanyak kritikal terhadap golongan politikus. Mamat dinyatakan menghidap penyakit kelamin ekoran kegemarannya melanggani pelacur.

Tanpa memanjangkan nasib Embong, Pak Sako membuka sub-plot baharu dengan memperkenalkan watak Mustapha, seorang petugas masyarakat sivil (anggota badan bukan kerajaan) dari Persatuan Pengisi Kemerdekaan atau PPK.

Mustapha hadir di Trengganu untuk menyiasat keadaan golongan miskin dan pedalaman bagi membolehkan kerja-kerja pengupayaan (empowerment) dijalankan kelak. Mamat yang kehabisan wang dan dalam keadaan sakit kini terdesak melakukan kerja seperti Embong iaitu menjadi pengayuh beca.

Mustapha berkenalan dengan Mamat dan sering meminta bantuan becanya sebagai pengangkutan utama untuk ke mana-mana. Perkenalan itu menjadi lebih kukuh sehingga mereka duduk serumah.
Mustapha sering memberi pandangan politik dan kritis dengan isu semasa. Beliau mendorong Mamat untuk berubat, menyambung pelajaran dan membaiki taraf kehidupan.

Menerusi watak Mustapha ini idea, wacana dan juga kritikan terhadap masyarakat diketengahkan. Mustapha juga sering mengutus laporan kepada setiausaha agung persatuannya mengenai sosio-politik orang Melayu di Pantai Timur.

Watak Mamat berusaha keras untuk belajar dengan bantuan Mustapha kemudiannya telah boleh menulis dan membaca buku-buku falsafah.

Di akhir novel Budak Beca, Mustapha dan Mamat memutuskan untuk membeli traktor, meneroka tanah baharu dan berhasrat untuk menjadi “kaum tani yang berjaya dan berjasa”.

Apa yang melongokan mengenai novel ini adalah saranan Pak Sako agar rakyat Malaya ketika itu menggerakkan kumpulan sivil.

Sejak “The Universal Declaration of Human Rights” diperkenalkan pada 10 Disember 1948, kewujudan dan pemerkasaan masyarakat sivil telah diberi perhatian yang besar.

Malah deklarasi hak asasi manusia di peringkat global tersebut menegaskan hak asasi manusia sesebuah negara hanya dapat diukur sakit sihatnya menerusi dialog hak asasi manusia yang bertunjangkan keberadaan dan keberkesanan masyarakat sivil.

Dalam hal ini aktor atau watak masyarakat sivil adalah aktivis hak asasi manusia, badan-badan bukan kerajaan yang berperanan untuk mengupayakan kumpulan tertindas, organisasi yang memperjuangkan isu-isu kebajikan masyarakat lokal, gerakan sosial, institusi awam seperti universiti dan golongan profesional yang terlibat dengan hak asasi manusia seperti peguam, doktor perubatan, sarjana dan petugas kemanusiaan.

Keberadaan watak Mustapha di dalam novel Budak Beca selaku seorang penyelidik dan petugas dari sebuah badan bukan kerajaan menjelaskan pandangan Pak Sako mengenai masyarakat sivil. Pengarang memberikan isyarat jelas bahawa parti-parti politik belum tentu dapat dipercayai berbanding masyarakat sivil yang berperanan untuk mengupayakan masyarakat dari pelbagai aspek:

“Pernah Mamat bertanya dari mana Mustapha dapat wang.

‘Dari persatuan saya,’ jawab Mustapha.

‘Umno atau negara?’ Mamat bertanya. Nama parti-parti politik yang sentiasa bergaduh itu memang Mamat tahu, tetapi dia tidak masuk salah satu dari dua parti itu.

‘Bukan. Persatuan yang menghantar saya ke mari tidak bertujuan politik, tetapi sebuah persatuan kebajikan yang bertujuan memberikan jasanya kepada orang ramai, kepada masyarakat, yang bertujuan membimbing rakyat jelata kehidupan yang lebih baik, yang bersih dan jujur, berbudi kepada orang ramai.’

Selain itu Pak Sako juga memberi peringatan kepada masyarakat atau pembacanya perihal tipu muslihat ahli politik. Ini berbeza dengan peranan masyarakat sivil yang bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam akan hak-hak sebenar yang dimiliki oleh mereka. Dialog dalam petikan di bawah ditutur oleh Mamat kepada watak Embung:

“Mereka jadi Yang Berhormat ialah kerana kita, sebab kita yang memilih mereka itu dan yang memakmurkan negara kita ini kita juga. Kita yang menanam padi, kita yang mencangkul jalan, kita yang menggali tali air dan saya umpamanya. Sudah tujuh tahun berjuang untuk kepentingan tanahair.

“Negeri ini boleh jadi merdeka ialah sebab kita semua. Orang-orang yang jadi Berhormat itu ialah kerana tipu muslihatnya, kerana pujuk rayu dan kecek temberangnya. Hidup mereka itu yang sebenarnya tidaklah ada bezanya dengan kita semua.”

Budak Beca turut membenihkan saranan supaya masyarakat sivil menjana laba menerusi perniagaan dan penerokaan tanah untuk mengupayakan golongan tertindas.

Antara lain, bentuk pengupayaan yang difikirkan oleh watak Mustapha sebagai berkesan adalah dengan menanggung pendidikan kaum miskin ini, atau dalam erti kata lain memberikan pendidikan percuma:

“Jikalau belanja mendidik seorang pemuda di sebuah universiti berjumlah tiga ribu ringgit setahun, dan belanja mendidik ahli-ahli kita hanya seribu ringgit sahaja setahun dalam satu rancangan seperti yang saya syorkan itu maka faedahnya kepada masyarakat boleh dikatakan serupa sahaja sebab nilai tujuannya serupa iaitu menjadikan pemuda-pemuda itu rakyat yang baik, berguna sepenuh hidupnya kepada tanah air dan bangsa.”

Surat-surat atau laporan rasmi Mustapha hasil penyelidikannya mengenai mentaliti orang kampung dan miskin di Pantai Timur seperti yang diajukan kepada setiausaha agung persatuannya di Kuala Lumpur berfungsi untuk menjelaskan idea-idea Pak Sako.

Idea-idea tersebut adalah untuk memperkasakan masyarakat sivil demi kesejahteraan orang awam atau rakyat.

Ini dilakukan, memandangkan parti politik penuh dengan tipu muslihat dan gagal melihat keutamaan atau kepentingan kaum tertindas. Ini dapat dikesani dalam bab yang diberi judul “Laporan” dan bab “Mamat Mengarang”.

Hari ini, di ambang kemerdekaan negara kita; rakyat lebih mengharapkan bantuan dan pejuang masyarakat sivil. Lihat sahaja bagaimana Orang Asal melawan kerajaan sedaya upaya mereka dengan bantuan kumpulan badan bukan kerajaan.

Lihat juga nasib aktivis kerja kebajikan dalam kalangan beragama Kristian dan didakwa Syiah, yang diculik oleh pihak tertentu. Tiada kesah daripada kerajaan terhadap misteri kehilangan aktivis ini melainkan kumpulan sivil yang berusaha merakam kepedulian.

Malah banyak lagi naik turun perjuangan rakyat yang dibela oleh badan bukan kerajaan, dan bukannya pemerintah atau parti politik.

Wacana yang dikemukakan Pak Sako dalam Budak Beca sungguh segar dan kekal relevan merdeka ini.

Wajarlah novel ini dibaca semula, diberi tafsir baharu dan dijadikan panduan. Pak Sako selaku pejuang kemerdekaan telah dengan payah jerihnya mengkehadapankan aneka gagasan untuk kemajuan dan keharmonian negara ini.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.