Umno, PAS temui formula tawan semula Putrajaya

Sempena Awal Muharam, penulis diberitahu ada pihak Umno dan PAS di peringkat akar umbi, iaitu sama ada cawangan atau bahagian mengadakan majlis bersama, antaranya di Johor. Ia dikatakan sebagai aktiviti bagi mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua parti pembangkang Melayu itu.

Walaupun pembangkang gagal memenangi ketiga-tiga pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan selepas PRU14 tetapi mereka menemui formula politik yang berkesan untuk aktiviti mereka sepanjang 5 tahun akan datang.

Kekalahan Barisan Nasional (BN) dan PAS di Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia diduga kerana ketiga-tiga tempat itu dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 dengan majoriti besar yang baru saja beberapa bulan berlangsung.

Untuk menjangkakan PH kalah di situ adalah di luar andaian. Lebih-lebih lagi ketiga-tiga kawasan DUN itu terletak di Selangor, negeri yang sudah dianggap sebagai kubu PKR dan DAP.

Apa yang penting bagi pembangkang bukanlah kemenangan tetapi kejayaan dalam percubaan mereka bekerjasama antara BN dan PAS.

Apa yang dimaksudkan dengan kejayaan di sini bukanlah memenangi mana-mana PRK itu tetapi penerimaan penyokong mereka terhadap pakatan parti yang pada satu masa pernah bertelagah itu.

Dalam sejarah politik negara, PAS dan UMNO bermusuhan. Begitu juga dengan PAS dengan MCA. Sememangnya ada juga suara-suara dari penyokong BN dan PAS yang menolak kerjasama ini, tetapi secara umumnya kelihatan ia disambut baik oleh pendokong mereka.

Keberkesanan formula ini tidak jelas kelihatan. Bagaimanapun apabila mendapati ada 4 kawasan peti undi di Seri Setia yang dulunya memberi undi pada BN, iaitu Umno dikesan mengundi calon PAS menunjukkan formula ini sedang bergerak.

Bayangkan kalau PRU diadakan dengan pertembungan PH dengan BN-PAS secara 1 lawan 1, maka undi Umno dan PAS dapat digabung. Hasilnya BN-PAS bukan saja boleh mempertahankan Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang tetapi juga menawan Kedah, Perak dan Melaka dengan Negeri Sembilan 50-50.

Dengan sokongan kembali Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS) dan pembangkang Sabah, BN-PAS boleh memenangi PRU persekutuan.

Buat masa ini, pendokong PH mungkin memperkecilkan pendekatan BN-PAS itu. Lebih-lebih lagi pendekatan BN-PAS ini mengambil jalan yang lebih cenderong kepada soal perkauman dan keagamaan, iaitu suatu sikap yang dipandang sebagai politik langkah ke belakang bagi pendokong PH yang progresif.

Tetapi pendekatan BN-PAS ini merupakan penekanan terhadap aliran konservatif yang bersifat populis. Tentulah pergerakan kepada fahaman konservatif ini, dengan nada perkauman dan keagamaan dilihat bertentangan dengan PH yang progresif yang bernada kepelbagaian kaum beserta semangat Rahmatan Lil Alamin.

Namun di dunia hari ini, gelombang konservatif populis menang banyak pilihan raya, dari Donald Trump di Amerika Syarikat hingga ke Brexit di Eropah.

Untuk rakyat Malaysia, menjadi lebih konservatif hingga akhirnya mengubah kerajaan, ia adalah suatu yang tidak mustahil.

Kekuatan pengaruh konservatif, kekananan (rightisme), perkauman dan keagamaan boleh menenggelami isu mengenai penyelewengan, korupsi dan salah tadbir.

Ini kerana soal kaum dan agama berdiri di atas emosi asas orang kebanyakan. Antara isu yang sering digunakan golongan kanan di seluruh dunia adalah soal LGBT. Isu ini bukan saja digunakan oleh PAS di Malaysia tetapi di merata-rata tempat di seluruh dunia, bukan saja oleh kumpulan Islam tetapi juga golongan kanan Kristian dan Hindu.

Ada pemimpin Umno seperti Khairy Jamaluddin membantah pendekatan ini. Beliau boleh dianggap sebagai salah seorang daripada golongan progresif dalam parti itu. Tetapi beliau adalah minoriti dan kalah dalam pemilihan pucuk pimpinan parti.

Umno pimpinan Datuk Seri Zahid Hamidi ini melanjutkan pendekatan yang dibawa oleh presiden terdahulu, Datuk Seri Najib Razak yang percaya Umno boleh berjaya melalui jalan arah ke kanan.

Najib merintis usaha kerjasama Umno dengan PAS sejak beliau mula menjadi presiden parti selepas PRU 2008, apabila buat pertama kalinya BN kehilangan majoriti 2/3 dalam Dewan Rakyat.

Strategi untuk melawan Pakatan Rakyat (PR) pada masa itu adalah untuk memecahkan gabungan pembangkang itu, iaitu dengan menarik keluar PAS daripadanya. Caranya ialah merenggangkan hubungan PAS dengan DAP melalui isu perkauamn dan keagamaan.

Untuk matlamat itu, PAS perlu dipecahkan supaya golongan yang menentang kerjasama dengan Umno dikeluarkan. Golongan itu dilabel sebagai profesional, Anwaristas dan Erdogan yang dibezakan dengan pihak ulama.

Usaha ini dapat dilihat melalui media milik Umno yang memburukkan golongan profesional ini, tetapi pada masa sama mempertahankan pihak ulama dalam PAS.

Tetapi kerjasama PAS dan UMNO hanya terserlah selepas PRU 2013. Ketiadaan mursyidul amnya ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memulakan proses hubungan baik kedua parti itu.

Melalui muktamar tahunannya, PAS menyingkirkan golongan yang dipanggil profesionalnya itu. Ia bertelagah dengan DAP yang membawa kepada pembubaran PR.

PAS dan Umno bekerjasama dalam Rang Undang-undang (RUU) 355. Golongan profesional PAS keluar parti apabila mereka menubuhkan Amanah dan PH.

Kerjasama Umno dan PAS membawa kedua-dua parti itu kepada kedudukan fahaman politik yang lebih kanan. Banyak pemerhati politik melihat pertandingan 3 penjuru yang disertai PAS dalam persaingan antara BN dan PH merupakan usaha memecahkan undi pembangkang ketika itu dalam PRU14.

Namun kerjasama ini gagal mempertahankan kedudukan BN, walaupun ia memberikan kemenangan besar kepada PAS di Kelantan dan Terengganu.

Pendekatan untuk lebih ke kanan dibincangkan semula dalam Umno dan diputuskan sebagai “post mortem” PRU14.
Kemenangan Zahid mengalahkan Khairy dalam pemilihan Umno menunjukkan sokongan ahli-ahli parti itu terhadap hala tuju parti mereka.

Ia terserlah dengan kenyataan Datuk Lokman Noor Adam yang dilihat sebagai penggerak kepada pendekatan ini. Beliau bertanding di Sungai Kandis dan selanjutnya kelihatan menjadi penggerak kepada latihan demonstrasi Umno di pusat latihan mereka di Janda Baik.

Walaupun aktiviti Umno ini bukan saja diperkecilkan oleh pendokong PH dalam media sosial, malah mereka ditertawakan, tetapi keberkesanannya tidak boleh dipandang sepi. Ketika mana kerajaan PH sibuk hendak membina negara Malaysia Baharu, BN dan PAS mempunyai banyak masa untuk mengembalikan Malaysia Lama.

Ketiga-tiga PRK yang lalu adalah bersejarah. Ia adalah pertama kalinya, lambang PH digunakan. Ia juga adalah pertama kali MCA menggunakan lambang sendiri. Tetapi apa yang lebih bersejarah adalah kerjasama BN dan PAS, baik dari sudut PAS dengan Umno, tetapi lebih penting ialah antara PAS dengan MCA.

Adalah mudah bagi orang Umno untuk bekerjasama dengan PAS berbanding orang PAS menyokong Umno. Ini kerana fahaman politik PAS itu sendiri beserta sejarah panjang permusuhannya terhadap Umno.

Tetapi 3 PRK yang lalu adalah proses supaya orang PAS dapat menerima pendirian pemimpin mereka untuk bekerjasama dengan Umno.

BN akan kekal dengan 3 parti iaitu Umno, MCA dan MIC. PAS pula akan berpakat dengan Umno dan memberi sokongan kepada MCA dan MIC tanpa menyertai BN.

MCA dan MIC akan bertanding dengan menggunakan lambang sendiri seperti mana DAP melakukannya sebelum tahun 2008.

Kalau DAP boleh meraih undi Cina dengan lambang sendiri, maka begitu juga dengan MCA, yang menekankan aliran ke kanannya. Dengan sokongan orang Umno dan PAS terhadap MCA dan MIC, mereka juga satu hari boleh menang seperti DAP sebelum ini.

Akhirnya persaingan politik di Malaysia adalah bersifat kealiranan, iaitu konservatif lawan progresif.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.