‘One Two Jaga’: Filem nikmat, seni tiada tara

“One Two Jaga” menurut saya, adalah mimpi basah untuk setiap pengkritik filem. “One Two Jaga” menurut saya, adalah menghampiri kesempurnaan sebagai sebuah filem. “One Two Jaga” menurut saya adalah satu tiket untuk Malaysia memenangi Oscar.

Betul, tidak silap baca: Oscar. Laluan Malaysia menakluk Hollywood bukan terletak di atas burit kapal Jho Low, apatah lagi di tangan licin Riza Aziz (menerusi Leonardo Dicaprio tentunya).

Fatwa filem saya ini mengalami proses ijtihad seni yang benar. Saya akan menjelaskan bagaimana saya memilih untuk memberikan hukum sedemikian polos.

Ada yang memilih untuk melihatnya sebagai filem mengenai gejala rasuah. Saya tidak akan menulis mengenai rasuah. Menurut saya, rasuah dalam “One Two Jaga” hanya umpanan.

“One Two Jaga” adalah sebuah filem mengenai nasib pekerja asing di Malaysia. Semuanya berlaku dalam satu hari. Bagaimana nasib manusia berubah dan takdir kita berseliratan bertembung dan menjadi kusut tidak terlerai.

Pekerja migran di negara kita mewakili kira-kira 15% daripada tenaga buruh. Di rantau Asia Pasifik Timur, Malaysia adalah negara ke-4 menampung buruh asing.

Mereka ialah dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar, Vietnam, China dan India. Saya adalah cucu dan cicit kepada pekerja asing sebelum kemerdekaan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia.

Saya berpendapat, ramai lagi yang sedang membaca ulasan filem ini dapat menghubungkan diri mereka dengan nasib buruh asing ini, sedikit sebanyak; cair atau pekat kita merupakan orang yang pernah menjadi luaran di negara ini.

Saya tidak ingat bila kali akhir saya berasa tidak puas dengan sebuah karya seni untuk sekali tonton. Mungkin, kali akhir itu menerusi Babel (2007) arahan Alejandro González Iñárritu tulisan Guillermo Arriaga.
Filem lakonan Brad Pitt dan Cate Blanchett tersebut memanfaatkan multi naratif yang mengeksploitasi “babel”, atau suasana kacau dan mengelirukan sebagai sebab akibat.

Bukan mudah untuk menggarap sebuah karya seni dengan tema hak asasi manusia. James Dawes, seorang sarjana sastera bandingan graduan Universiti Harvard menulis di dalam “That the World May Know: Bearing Witness to Atrocity” menegaskan, sebuah karya seni (dalam hal ini filem) dengan subjek hak asasi manusia tidak harus memilih plot linear “sentimental-conventional”. “One Two Jaga” nyaris jatuh ke dalam stereotaip begini.

Ini kerana kita tidak mahu khalayak yang membaca karya hak asasi atau menontonnya berasa telah mencapai katarsis dan sudah melakukan bahagian mereka (iaitu membaca atau menonton) serta berkongsi kepedihan watak. Padahal, kepedihan sebenar jauh dari apa yang disuguhkan.

Kita juga tidak mahu pembaca atau penonton menyangka pertempuran atau konflik hak asasi itu berpenghujung kerana hukum karma dijatuhkan.

Dalam “One Two Jaga”, mereka yang melakukan jenayah dan kesalahan sedikit sebanyak sudah ditahan dan sedang menunggu tarikh perbicaraan. Padahal isu atau masalah sebenar hak asasi tersebut jauh dari berakhir. Bahkan masih tepu dan merebak di luar sana.

Terakhir, seorang karyawan seni seperti Nam Ron sudah tentu tidak mahu menenggek penderitaan insan lainnya demi untuk menjual tiket tayangan atau meraih anugerah.

Tetapi, seperti mana saya tuliskan novel Bagaimana Anyss Naik Ke langit, dan Profesor; topik hak asasi manusia di dalam karya yang memiliki naratif mempunyai pendekatan tersendiri. Ia tidak meraikan hubungan emosi atau empati.

Dalam hal ini, “One Two Jaga” dipersembahkan dengan bersahaja dan tanpa perlu melayan kesengsaraan Sumiati lakonan cemerlang Asmara Abigail. Kita juga tidak perlu bertanya, siapakah ibunya Joko iaitu anak Sugiman lakonan kelas dunia Ario Bayu.

Untuk membolehkan naratif menjauhi identifikasi kenestapaan tanpa perlu berlebihan (tidak banyak adegan tangis melalak yang penuh ratapan) atau menjolok kesukaran dan trauma mangsa (juga adegan yang menonjolkan kesakitan Timothy Castillo sebagai Rico diberikan sekadarnya), “One Two Jaga” berjalan di atas landasan multi naratif yang membolehkan dua isu berjalan serentak: penderitaan masyarakat migran di Malaysia, bersekali dengan mereka yang mengambil kesempatan di atas kesusahan mereka.

Di situ takdir bertembungan dan memberikan kejutan yang menghiris.

Filem ini malah mendedahkan kegagalan protagonis Sugiman, anaknya Joko terkorban syahid oleh sistem yang berlapisan korupsi, dan filem tidak perlu merintihi pengorbanan pekerja-pekerja asing itu.

Dalam satu adegan membakar mayat pekerja dari Myanmar yang terbunuh di tempat kerja, Amerul Affendi sebagai Adi sangat selamba memberitahu Joko lakonan Izuan Fitri; “Jarakkan kayu-kayan itu agar mayatnya senang terbakar, lagipun kita nak hantar pulang ke siapa kalau dihantar ke Myanmar”.

“One Two Jaga” tidak menyediakan solusi kepada masalah migran dan rasuah, itu harus dilakukan oleh medium sastera. Tetapi, sebagai filem ia sudah memberikan satu mesej pasti kepada penonton, kumpulan yang akan membuat penentuan (people “who decided to do something”) agar melihat pekerja asing selaku mangsa.

Sementara kaum penguasa dan penindas adalah anjing; selamanya anjing yang jangan dikhuatiri, bahkan ditenung, dan paling-paling pun dilempari batu.

Asmara Abigail sebagai Sumiati memberikan persembahan yang mantap. Sementara Ario Bayu sebagai abangnya, Sugiman membuatkan kita tertanya-tanya; mengapakah kita sukar mendapatkan pelakon bertaraf dunia seperti ini di sini.

Saya ingin memuji Izuan Fitri selaku Joko. Anak ini, bernama Joko adalah pusat naratif. Ia adalah mangsa yang terkorban, tidak bersalah, sarat harapan dalam hidup dan penuh keberanian untuk mencuba.

Dia adalah pusat “One Two Jaga” yang memberikan kita rumus “polis mati pencuri jaga”. Lakonan Izuan yang masih muda mengumpul seluruh itu dan mustahil terjadi tanpa bimbingan Nam Ron.

Sinematografi oleh Mohd Helmi Yusof sangat berjaya menonjolkan sisi muram Kuala Lumpur, dengan kawasan Pudu dan lengkok Bangkok Bank yang sesak dek warga asing. Penjuru kusam dan kelam kota Kuala Lumpur tidak hanya menjadi poskad tetapi diberi makna-makna yang mengesankan.

Sebuah filem yang baik tidak akan menjadi baik tanpa suntingan yang kemas. Di tangan Razaisyam Rashid, “One Two Jaga” tidak hanya menjadi cantuman gambar tetapi visual yang sakit dan perit.

Nam Ron dan Bront Palarae, serta pasukan kreatifnya melakukan kerja seni yang cemerlang. “One Two Jaga” adalah karya yang tidak indah, tetapi penting. Sangat penting.

Anda membaca pertama kali di sini: fatwa saya sebagai mufti filem, Malaysia harus mencalonkan “One Two Jaga” sebagai entri Academy Award dari Malaysia (sebetulnya dari Asia Tenggara).

Ia ada resipi filem kecil yang pernah meraih Oscar untuk kategori Best Foreign Language Film. Ia punya kesempurnaan lakonan yang mengesankan. Ia punya kejujuran dan kepolosan yang diperlukan.

Untuk pencalonan Oscar “One Two Jaga” memerlukan dana agar ia dapat ditayangkan selama paling kurang 7 hari di panggung komersial di Amerika Syarikat dalam waktu terdekat. FINAS di bawah kerajaan Pakatan Harapan harus memikirkan dengan serius saranan ini.

Tontonlah “One Two Jaga”, ia kebalikan dari “Crazy Rich Asians”, ini filem tentang “Downtrodden Oppressed Asians” dan lanskap kita tidak dipinjam semata-mata untuk menggambarkan hal yang muluk-muluk sahaja.

“One Two Jaga” adalah kenikmatan dan kesenian yang tiada tara.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.