PH perompak undi anak muda yang berhutang dengan PTPTN

Berikut adalah janji Pakatan Harapan (PH) mengenai pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN):

i. PTPTN hanya dibayar apabila pendapatan kasar bulanan mencapai RM4,000

ii.Pinjaman dilupuskan atau diberi diskaun kepada pelajar cemerlang/miskin

iii.Insentif cukai bagi majikan membayar PTPTN pekerja tanpa potongan gaji

Bagi mereka yang mempercayai janji manifesto PH di atas, di bawah ini pula adalah reaksi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan Maszlee Malik:

“RM36 bilion hutang tidak dibayar kepada PTPTN, saya rasa malu tetapi mereka (peminjam) tidak. Gaji kalau RM2,000 bayar RM100 pun sudah mencukupi, mereka tidak bayar sebab tidak amanah,” Dr Mahathir dipetik sebagai berkata.

Kata-kata ini melanggar janji manifesto PTPTN yang pertama iaitu PTPTN hanya perlu dibayar apabila pendapatan kasar bulan mencapai RM4,000.

Maksud kata-kata di atas secara tidak langsung ialah jika anda seorang penghutang PTPTN yang sudah bergaji kasar RM2,000, anda perlu membayar sekiranya anda faham erti perkataan malu.

Malah ada pendidikan moral yang baru di sini – iaitu tindakan tidak mengotakan janji disifatkan sebagai satu perbuatan beramanah, manakala anda yang tidak membayar hutang PTPTN dan mempercayai janji PH ialah seorang yang kurang beramanah.

Mungkin usia Dr Mahathir menyebabkan beliau terlupa wujudnya janji sedemikian dan ini boleh dimaafkan.

Bagaimana pula dengan Menteri Pendidikan yang melantik rakan karibnya Wan Saiful Wan Jan selaku Pengerusi PTPTN?

“Apa pun manifesto kata tetapi kalau sudah pinjam kenalah bayar hutang itu. Kalau sudah pinjam kenalah berusaha untuk membayar pinjaman itu. Pembangkang semua nak politikkan isu, tetapi ini soal akhlak dan moral apabila pinjam duit kenalah bayar. Bayarlah walau dengan hanya RM10 sebulan,” Maszlee dipetik sebagai berkata yang agak menyinggung perasaan pelbagai pihak.

Untuk makluman Maszlee, sebenarnya pihak yang mempolitikkan bayaran hutang PTPTN ialah PH.

Pembangkang hari ini iaitu BN, yang juga kerajaan terdahulu sudah sedia membakar undi penghutang PTPTN yang ingkar dengan tindakan seperti menahan mereka di lapangan terbang, memaksa mereka membayar sebelum boleh keluar negara, termasuk menunaikan haji dan juga menyenaraihitamkan mereka di Imigresen dan sistem maklumat rujukan kredit pusat (CCRIS).

Oleh sebab tindakan BN, anak-anak muda berpaling kepada PH kerana janji PTPTN yang dibuat dalam manifesto jauh lebih menarik. Tangguh bayar hutang, siapa yang tidak suka?

Malah sejurus PH menjadi kerajaan, PH memanjakan penghutang PTPTN dengan membersihkan nama mereka daripada senarai hitam Imigresen.

Bukankah pada sesi Parlimen lalu, Maszlee baru sahaja berkata kajian berterusan akan dijalankan untuk membolehkan PH menunaikan janji ini? Mengapa tetiba PH bertukar nada?

Sebelum bertukar nada, sepatutnya PH tunjukkan sedikit usaha untuk menunaikan janjinya.

Contohnya, ia boleh melancarkan satu lagi Tabung Harapan yang digunakan untuk membayar hutang PTPTN atau memberikan pelepasan cukai lumayan kepada majikan yang sanggup membayar hutang PTPTN untuk pekerjannya.

Bagi mereka yang berkhidmat dengan kerajaan dan masih berhutang dengan PTPTN, kerajaan sebagai majikan boleh membayarnya selepas pembatalan pelbagai jenis kontrak mega.

Sekiranya semua masih gagal, masa itu barulah dari sudut moralnya, kerajaan boleh tuntut penghutang PTPTN untuk bayar hutang secara bermaruah.

Ini tidak. Bukan sahaja PH bertukar nada, malah penghinaan dan sindiran terus diberikan terhadap anak-anak muda yang tidak membayar PTPTN kerana mempercayai janji PH.

Bayangkan kalau Dr Mahathir dan Maszlee bercakap seperti yang dipetik di atas sebelum PRU14, mungkinkah anak-anak muda ini yang mengundi PH berdasarkan janji itu masih mengundi PH?

Berapa ramai anak muda yang telah mengundi PH berdasarkan janji PTPTN ini?

Dengan sikap sedemikian, bukankah PH ini layak digelar perompak undi anak-anak muda yang berhutang dengan PTPTN?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.