Dari Port Dickson ke Erdoganisme

Pada 2013, ketika Datuk Seri Najib Razak sedang berada di puncak kuasa, dan reformasi kelihatan seperti terlalu terlalu terlalu jauh, telah berlaku rusuhan besar di Taman Gezi, Medan Taksim, Istanbul.

Rusuhan berdarah itu cukup mengejutkan gerakan pelajar, puak kiri, kaum demokrat dan liberal di Turki. Ia permulaan Presiden Recep Tayyip Erdogan menunjukkan belangnya.

Rusuhan itu sebetulnya sangat membingungkan. Mereka yang turun berdemonstrasi aman dan kemudian diasak polis lalu menjadi sesuatu yang berdarah itu sebenarnya, kebanyakan mereka, adalah pengundi untuk menaikkan Erdogan.

Mereka juga mendapat kemakmuran ekonomi dari polisi beliau ketika memimpin Parti Keadilan (AKP). Malah kaum intelektual dan pengarang yang turun padang mengangkat tangan di Taksim itu bertanggungjawab meletakkan Erdogan lebih dari 3 siri pilihan raya yang demokratik.

Puak sekular yang mengundi Erdogan, dengan penuh sedar mengetahui bahawa warna Islamis dan kesendengan Erdogan kepada Islam itu adalah urusan peribadi beliau. Jarang hal seumpama itu berbangkit. Seperti mana mereka percaya, Islamis tidak seharusnya mencampuri urusan peribadi mereka juga.

Salah satu yang menjadikan kempen menaikkan Erdogan berjaya adalah kerana terdapat agenda untuk menganggotai Kesatuan Eropah, yang mana, menurut kaum sekular adalah tiket untuk menghindari penguasaan militari dan menyuburkan demokrasi Turki.

Di Malaysia, puak “Super Liberal” yang dianggap keparat ini mengundi Pakatan Harapan untuk menaikkan gabungan lemah parti-parti di dalam blok ini dengan beberapa tujuan.

Pertama, untuk membetulkan kepincangan negara ini yang menjadi sangat hodoh di bawah Najib.

Kedua, agenda reformasi mengatasi siapa pun individunya yang mana akan membolehkan negara ini berada di jalan yang lurus menurut Rukun Negara, dan Perlembagaan Malaysia.

Pada 1998, kaum super liberal berada di barisan hadapan untuk dibelasah cota dan disiram gas pemedih mata demi memperjuangkan keadilan sektor kehakiman, kebebasan bersuara, dan gaya hidup manusiawi.

Setelah itu, sehingga 2018, kaum super liberal menganjurkan pelbagai siri demo seperti BERSIH, melepaskan belon dengan cap Demokrasi di hadapan Najib, menganjurkan pelbagai forum, menulis sekian banyak kenyataan media dan rencana; demi mengangkat keadilan sosial dan mendambakan demokrasi. Pusat gerakan adalah reformasi.

Kaum super liberal malah membuka dakapan, khas buat puak Islamis yang bersarungkan semutar Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia), mahupun Ikram. Asalkan mereka menyokong reformasi moleklah, maka moh lah bekerjasama.

Soal kesendengan kepada agama itu dianggap oleh kaum super liberal sebagai sangat peribadi.

Siapakah yang punya reformasi?

Sudah tentu bukan punya kaum Islam tradisional seperti PAS. Ia adalah agenda super liberal. Ini kerana asas liberalisme itu sendiri adalah untuk menyuarakan kebebasan individu atau warganegara, kemurnian sistem demokrasi, perubahan tanpa keganasan, keadilan sosial, keluhuran undang-undang, penekanan kepada hak asasi manusia termasuk soal pengangguran, kesihatan, pendidikan dan hak-hak sivil.

Mereka yang super liberal adalah mereka yang mahu kembali kepada Perlembagaan dan Rukun Negara.

Seperti mana pada 2013, ketika Erdogan berkuasa, janji-janji demokratik itu meraih simpati dan perhatian super liberal.

Akan tetapi, hari ini, Erdogan bukan lagi Datuk Bandar Istanbul pada tahun 2002 yang mendapat perhatian besar golongan liberal. Erdogan adalah pemegang kuasa yang memenjarakan kaum intelektual, para akademik, masyarakat seniman dan budayawan serta melebarkan kuasanya sebagai presiden.

Pemusatan kuasa Erdogan membimbangkan dan terdapat banyak kecaman-kecaman daripada badan hak asasi manusia antarabangsa kerana penghakisan hak asasi manusia yang dilakukan secara berleluasa.

Apakah seorang reformis boleh berubah menjadi sangat hodoh, menanggalkan janji demokrasi dan reformasi; lantas menjadi “the radical right”? Bolehkah itu berlaku?

Sudah tentu sahaja ia boleh berlaku, contoh terdekat kita adalah Aung San Suu Kyi. Bermula jaguh dan pengibar hak asasi manusia, beliau kini berak di atas bendera hak asasi manusia. Ia menjadi kecaman sekian pihak dan dianggap keparat.

Super liberal di sini mungkin dianggap keparat, tetapi ia hanya dapat terjadi dengan wujudnya kumpulan bangsat ala-ala “alt-right” yang tidak ada bezanya dengan gerakan jagoan kulit putih di Amerika Syarikat.

Adalah tidak sukar untuk mengesan tokoh seperti Erdogan atau Aung San Suu Kyi ini. Kita mempunyai contoh yang mencengangkan. Mana tidaknya, slogan “Anak Melayu anak kita, anak Cina anak kita, anak India anak kita, anak Iban anak kita, anak Kadazan anak kita, anak Dayak anak kita” boleh berubah menjadi momokan super liberal malah mengkeparatkan mereka yang menegur agar ‘tidak boleh terlalu “Melayu dan Islam”.

Seorang demokrat tulen tidak akan menjual stigmatisasi atau pemomokan. Mereka tidak mendagangkan bangsa dan agama.

Nelson Mandela, sebagai contoh, ketika terpilih menjadi presiden Afrika Selatan pada 9 Mei 1994 (ya, 9 Mei tarikh keramat yang serupa!) tidak pun menghina sesiapa dengan kata keparat, atau meremehkan pihak lain dengan pandangan relativisme budaya. Mandela hanya memberi satu ucapan mulus dengan kata-kata antara lain:

“In the political order we have established there will regular, open and free elections, at all levels of government – central, provincial and municipal. There shall also be a social order which respects completely the culture, language and religious rights of all sections of our society and the fundamental rights of the individual.”

Kenyataan di atas menjelaskan asas-asas super liberal iaitu tuntutan pilihan raya yang bersih di semua peringkat, termasuklah penghormatan kepada budaya, bahasa dan hak beragama dari semua kumpulan dalam masyarakat dengan menekankan kemerdekaan individu.
Menurut Mandela lagi, demokrasi berperanan untuk melindungi minoriti: “democracy also requires that the rights of political and other minorities be safeguarded.”

Jika dicari tidak akan ditemui daripada mulut Mandela sebarang kata-kata yang memainkan agama bangsa, atau apa sahaja identiti politik nasionalis kanan yang menjadi punca dia dipenjarakan.

Mandela bercakap bagi pihak semua. Mendiang kekal budiman ke akhirnya. Dia tidak gila melabel. Mandela di dalam penjara 27 tahun kerana melawan dasar apartheid. Dia dibebaskan F. W. de Klerk pada 1990.

Mandela bersabar empat tahun untuk menjadi pemimpin Afrika Selatan. Dia menempuh jalan reformasi dengan cara terhormat. Bukan jalan belakang. Bukan dengan keluhan bahawa dia sudah menunggu selama 27 tahun untuk dilantik sebagai pemimpin, ditokok bujukan “maka lekaslah jangan ditangguh-tangguh lagi”.

Ada sebuah puisi Pak A. Samad Said lama dahulu yang matannya lebih kurang begini:
siapa bermula kiri
akan berakhir kanan.

Ada orang mengakukan Nelson Mandela di sini. Beragaklah. Padanan itu jauh dari cocok dan serasi.

Seperti Suu Kyi, akan berak di atas demokrasi dan reformasi. Dan seperti Erdogan, di kota tepian laut itulah bakal bermula reformasi lantas berakhir autoritarian.

Hentikan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.