Bukan pelacur saja masuk neraka, tuan guru juga

Baru-baru ini Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 6 bulan dan 6 sebatan terhadap seorang ibu tunggal selepas dia mengaku bersalah di atas pertuduhan cuba melacurkan diri. Wanita yang bekerja sebagai pencanting batik sambilan tersebut adalah ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun.

Dakwaan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 tersebut adalah kerana perbuatannya yang bersiap atau cuba melacurkan diri. Wanita yang terdesak terbabit ditahan bersama seorang pelanggan antara 11.20 dan 11.45 malam.

Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Syarie, Khazmizan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Dalam satu prosiding, wanita malang ini mengaku terjebak dalam kancah pelacuran kerana kehidupan yang miskin dan memerlukan wang untuk menyara kehidupan. Ia juga untuk menyarai anak perempuannya yang dijaga oleh kakaknya di Klang.

Membaca berita di atas saya teringat sebuah novelet karangan Sasterawan Negara A. Samad Said yang langka, dan kurang diketahui orang, “Ka-Mana Terbang-Nya?”, diterbitkan dalam tahun 1966. Novelet ini dibukukan sekali dengan sebuah cereka tivi dengan judul “Burong Senja”.

“Salina” sebuah lagi karya Pak Samad yang lebih dikenali diterbitkan pada 1961. Jadi dapat dikatakan, setelah 6 tahun, Pak Samad yang sedang mengecap gelar pengarang muda pada ketika itu sedang berada di puncaknya dan keberanian beliau mencerap situasi masyarakat bawah sambil mengkritik “raja” dan “menteri” dalam “Ka-Mana Terbang-Nya?” dapat dipandang tinggi.

Novelet “Ka-Mana Terbang-Nya?” yang dilabel “cherpan” (cerpen panjang) oleh penerbit menyorot kehidupan sekumpulan pelacur di sebuah kampung bernama “Kampong Alang Sunti”. Latar kampung yang kumuh, kotor, terdesak dan terperuk digunakan sebagai simbol oleh pengarang untuk menggambarkan nestapa hayat dan hidup seharian masyarakat yang tinggal di situ.

Meskipun hanya sebuah novelet, Pak Samad mengangkat dengan sungguh terperinci kehidupan masyarakat pekerja seks yang buntu, bingung, sesak dan tertekan untuk meneruskan nasib mereka.

Permulaan karya tersebut menampilkan watak utamanya Tengku Shaion yang merenung penderitaan dan nestapa sebagai pekerja seks, bergilir dengan sudut pandang Anidah, seorang ibu tunggal dan anaknya Fidah, yang kelihatannya tinggal bersama-sama Tengku Shaion tersebut.

Novelet ini bermula dengan gambaran jelas, keinsafan, kepedihan dan keazaman para pelacur untuk keluar dari lingkaran setan yang menggari dan mencekam mereka. Namun demikian, tanpa pendidikan dan keadilan untuk wanita, pekerja-pekerja seks ini kelihatan hanya mengimpikan nasib yang baik-baik; agar dikahwini dan dapat meninggalkan dunia yang lara itu. Para lelaki yang berada di sekitar mereka malangnya adalah lelaki yang mengambil kesempatan, atau lelaki samseng kaki gaduh yang hanya berpusat hawa nafsu.

Seawal halaman 11, Pak Samad menunjukkan tiadanya usaha dari kelas penguasa untuk menangani akar isu sebenar. Yang ada dalam agenda penguasa ialah pembanterasan moral jahat dan buruk, tanpa menimbangkan keadaan di lapangan, dipetik dari novelet tersebut:

“Beberapa waktu ini akhbar heboh benar mengabarkan tentang gerakan menangkap wanita2 saperti Tengku Shaion. Pelachor mesti di-singkirkan, mesti ditangkap, di-masokkan ka-dalam rumah pemulehan akhlak. Bagitu-lah selalunya berita yang berlanjut2 itu berulang. Dua tiga tahun dahulu besar benar berita tentang ura2 hendak mendirikan rumah pemulehan akhlak itu, dan sekarang khabar itu bergema lagi.”

Novelet “Ka-Mana Terbang-Nya?” menjelaskan kepada kita mengapa seseorang pekerja seks terpaksa melacur dan kehendak ikhlas mereka untuk keluar dari kancah yang hanyir tetapi sering kali ia digagalkan oleh keadaan. Tanpa pemberdayaan dari atas adalah mustahil sama sekali untuk mereka kuat memanjat jurang yang dalam.”

Dalam bahagian lain pada novelet tersebut, para pelacur yang jauh lebih melarat dan tidak laku jika dibanding Tengku Shaion, seperti Apon, Maisarah, Ramisah, Jalilah, Molly, Sui Koon, dan Jeya membincangkan apakah mereka akan masuk syurga kelak, atau dibakar di dalam neraka.

Saya memetik salah satu perenggan tersebut: “Kita semua satu neraka-lah. Dalam api, dalam ayer panas mendideh. Lu, gua Sui Koon, tau?” kata Apon. Itu Jeya, semua, plluss masok neraka, tau?” kata Apon. “itu Pa’ Nordin pun masok juga – dia sama becha2-nya sa-kali.”

Novelet “Ka-Mana Terbang-Nya?” karya Pak Samad ini sememangnya tidak membincangkan wahana pemberdayaan masyarakat agar pelacur-pelacur ini dapat keluar dari neraka dunia. Tentu tiada program yang disarankan oleh beliau. Hanya ada laporan penderitaan di sini.

Akan tetapi seperkara yang sangat penting ialah kebalikan dari itu, ia menunjukkan betapa masyarakat tidak peduli, sementara penguasa yang bertanggungjawab hanya menebas lalang di peringkat bawah.

Kesenyapan kumpulan yang ramai terhadap ketidakadilan meletakkan masyarakat secara umumnya di jalan menuju kebejatan. Masyarakat yang diam akan ketidakadilan dan kepincangan adalah umat yang binasa perlahan.

Sedang, satu suara yang disahut dalam melawan ketidakadilan akan mengeluarkan masyarakat seluruhnya dari jalan kemusnahan tersebut. Keadilan akan menerbitkan kebudimanan di tengah umat.

Di dalam karya ini, Pak Samad mempersoalkan kaum agamawan seperti Zabar yang bukan melakukan kebajikan, dan mencari jalan yang makruf untuk membantu pekerja seks ini keluar dari kesusahan; sebaliknya watak tipikal agamawan ini mengambil kesempatan dari kehinaan orang susah dengan mengetuk ongkos para pelacur ini.

Saya mengutip bahagian yang dimaksudkan dari novelet tersebut:

“Yang boleh masok shurga tu-hah sorang, tu-hah, tu,” kata Jalilah, sambil menunjokkan Zabar berambut puteh jarang-jarang berusia kira2 54 tahun yang sedang menggoreng pisang di-hadapan rumah papan dua tingkat-nya yang chondong ka kiri.

“Itu? Itu lagi masok neraka,” kata Sulimah mengetap2kan gigi. “Kau pikir dia sembahyang terhonggang hongget tu dia tentu2 masok shurga? Heh, belum tahu, belum tahu.”

Maisarah pula menambah: “Kata saja sembahyang, ingatkan Tuhan siang malam. Tapi, tapi lewat sewa rumah sikit saja, dia dulu menjerit “Hei mana sewa rumah? Lu orang mau tidor free-kah? Pandai chari jantan saja-kah?’ kata-nya. Huh, ta’ timbang-rasa. Ta’ ada isi perut sa-sama manusia. Orang gitu na’ masok shurga? Taik anjing! Sama kita juga-lah dia. Berebuuuuuusss masok neraka, kau chari-lah, ya? Berebuuuuuussssss, kata aku, berebussssssssss!”

Watak seperti Zabar ini tentu sahaja wujud di Terengganu. Berapa banyak pondok dan tuan guru di Terengganu? Mengapakah tiada pemberdayaan dilakukan untuk kelas bawah yang terperuk begini?

Apakah pegawai pejabat agama berasakan mereka akan terlepas dari pertanyaan di akhirat kelak, bahawa mengapakah kalian tidak menyediakan sarana dan jalan untuk pelacur ini keluar dari neraka dunia?

Ini kerana tiada siapa dilahirkan untuk sanggup melacur.

Apakah Tuhan akan hanya bertanya kepada para pelacur, mengapa kamu mengangkang? Lantas tidak menanyakan kepada ulama kenapa tiada kalian melakukan kerja makruf memberdayakan mereka agar terselamat dari kehanyiran? Tidakkah Tuhan akan bertanya kepada para penguasa, apakah agenda dan program yang telah kalian susun agar perempuan melarat seperti Anidah tidak perlu melacur di akhirnya dan lingkaran setan itu berterusan dengan anak-anaknya pula?

Dalam tahun 1966, Pak Samad bertanya. Dalam tahun 2018, watak agamawan dan para pekerja seks masih juga terhempuk oleh kenistaan yang tiada penghujung.

Kerana itu pertanyaan Pak Samad bersipongang dan menjadi talun dalam telinga melesat ke enjin benak; “Ke Mana Terbangnya?”