Kenapa khutbah Jumaat tak sebut akhlak buruk ustaz, pemimpin politik?

Pada Jumaat yang lepas, saya pergi sembahyang di sebuah masjid di Kajang dan disajikan dengan satu lagi khutbah tentang contoh-contoh akhlak buruk orang Islam zaman sekarang, terutamanya di Malaysia.

Akhlak buruk umat Islam yang selalu dimaksudkan adalah berzina, minum arak, budaya mat rempit dan bercampur gaul tanpa muhrim. Adapun perkara yang baru ditambah adalah tentang bahaya LGBT dan juga orang-orang yang cuba mempertahankan gaya hidup sedemikian sebagai hak asasi kerakyatan.

Khutbah sebegini saya sudah dengar berpuluh-puluh kali sebelum ini, sepanjang 40 tahun sembahyang Jumaat.

Dalam nukilan saya ini, saya ingin mengingatkan dan memberitahu penulis-penulis khutbah Jumaat terhadap akhlak-akhlak yang lebih buruk daripada apa yang selalu disajikan.

Akhlak-akhlak buruk yang akan saya bincangkan diterajui golongan agamawan atau “ustaz”, pemimpin politik Melayu-Islam dan ahli akademik dalam negara kita.

Pada pendapat saya, LGBT, minum arak, berzina dan budaya mat rempit walaupun ada dosanya, tetapi ia tidak akan dapat meruntuhkan konsep kenegaraan.

Tetapi, “dosa-dosa” para ustaz dan pemimpin politik Melayu serta ahli akademik yang tidak disebutkan dalam khutbah Jumaat berupaya meranapkan struktur masyarakat, ekonomi dan kelestarian negara kita ini.

Pertama, saya menamakan akhlak buruk kepimpinan ustaz yang membuka sekolah agama dan tahfiz yang tidak berdaftar.

Khutbah Jumaat perlu menyebut kepimpinan ustaz-ustaz ini yang tidak menyediakan alat keselamatan kebakaran asas sehingga menyebabkan kematian beratus-ratus anak Melayu Islam kita.

Andainya akhlak buruk ini disebarluaskan melalui khutbah, mungkin ramai ibu bapa akan mengugut menarik keluar anak-anak mereka dan ini akan memaksa kepimpinan sekolah agama dan tahfiz membuat persediaan keselamatan kebakaran yang baik.

Ada juga pucuk kepimpinan dan tenaga pengajar yang dilaporkan membuat hubungan seks dengan anak-anak kecil dan ada juga yang membiarkan anak kita sakit sehingga maut dalam asrama yang serba tak bersih dan penuh sesak.

Akhlak buruk yang tidak menghiraukan kebersihan serta kesihatan tidak disebutkan khutbah Jumaat.
Andainya ia disebut, mungkin pusat tahfiz dan sekolah agama kita menjadi pusat pengajian Islam yang terbersih, terselamat dan terbaik di nusantara. Akhlak buruk ini jika tidak disebutkan khutbah, boleh membawa maut kepada anak-anak kita.

Kedua, akhlak buruk ustaz, mufti dan pegawai agama yang menghina kaum serta agam lain perlu disebutkan. Ada yang mengeji kaum Cina dan menghina kaum India dengan memburukkan tatacara hidup serta agama yang dianuti mereka.

Bukankah kita semua kaum di Malaysia telah berikrar hidup aman dengan agama masing-masing? Kenapa terdapat golongan agamawan yang mengatakan rakyat Malaysia boleh dibunuh jika tidak bersetuju dengan cadangan sesuatu rang undang-undang?

Apakah mengugut rakyat bukan Islam di negara kita ini bukan sesuatu yang buruk akhlak? Kesan kepada perbuatan sebegini boleh meruntuhkan sama sekali persefahaman dan keamanan dalam negara.

Dosa LGBT dan mat rempit saya kira tidak sehebat dosa mereka golongan agamawan yang mengeji kaum serta agama lain.

Ketiga, saya menyifatkan golongan agamawan yang menjadi hakim Mahkamah Syariah mempunyai akhlak buruk, jika tidak menunjukkan belas kasihan kepada kesalahan pertama lesbian atau pelacuran, contohnya dengan memberi amaran dan nasihat sahaja dan bukan terus menyebat atau memenjarakan mereka.

Kalau saya seorang pemerintah, saya akan melantik hakim yang bukan sahaja terpelajar, tetapi mempunyai belas kasihan serta kebijaksanaan yang mempunyai pandangan luas.

Saya beranggapan orang Islam yang tidak mempunyai nilai keihsanan dalam menggembleng amanah perundangan sebagai orang yang mempunyai akhlak buruk juga.

Keempat, khutbah Jumaat perlu menegur dengan tegas mufti-mufti dan pegawai agama, kenapa mereka ini duduk diam apabila ugutan-ugutan bunuh dan rogol dikemukakan dalam Facebook atau media sosial lain terhadap sesiapa sahaja yang bercakap tentang Islam.

Apakah negara kita ini negara gengster atau samseng? Boleh mengugut bunuh anak atau bapa orang dan juga boleh mengugut nak rogol anak atau ibu seseorang? Tidakkah ini memalukan umat Islam yang dikatakan agama beradab?

Saya dapati pegawai agama tidak bersuara apabila isu-isu berkait agama diberi reaksi sedemikian.

Bagi saya, ini adalah akhlak paling buruk sekali kerana ia adalah sifat “tak kisah” atau “diam bersetuju”. Termasuk juga akhlak buruk golongan agamawan yang tidak mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan oleh IS yang berjumlah beratus-ratus orang di luar negara.

Saya tidak dengar pun dalam ceramah agama kerana mungkin yang mati semuanya orang bukan Islam. Tetapi, saya pernah mendengar khutbah apabila umat Islam Rohingnya dibunuh.

Adakah umat Islam, terutamanya golongan agama menilai nyawa bukan Islam lebih murah atau tidak berharga langsung? Akhlak sedemikian akan merosakkan teras agama Islam, iaitu nilai keihsanan.

Kelima, khutbah Jumaat perlu menegur kepimpinan politik negara, terutama yang menerajui parti-parti 100% Melayu untuk menjaga mulut mereka daripada mengugut dan menghina kaum-kaum bukan Melayu.

Akhlak buruk wakil rakyat yang mencarut dalam Parlimen perlu dikutuk habis-habisan sebagai memperlihatkan budaya curang.

Ahli Parlimen dan pucuk pimpinan yang berkata “Cina babi” dan mengugut membakar dewan-dewan perhimpunan Cina juga perlu ditegur sekeras-kerasnya dalam khutbah.

Ada juga pucuk pimpinan parti politik yang dikatakan Islam mengecam tokoh Islam yang melawat kuil atau gereja sebagai perbuatan luaran Islam. Akhlak buruk kepimpinan sedemikian perlu diperkatakan. Langsung, saya tidak pernah dengar pun khutbah sedemikian.

Keenam, khutbah Jumaat perlu mengecam sekeras-kerasnya akhlak buruk rasuah kepimpinan Melayu Islam. Ada juga khutbah yang menyentuh topik ini, tetapi ia hanya kepada golongan bawahan.

Pemimpin Melayu yang menyimpan wang beratus-ratus juta ringgit serta membiarkan isteri membeli beratus-ratus beg mewah bernilai berjuta-juta ringgit tidak ditegur sama sekali oleh khutbah Jumaat.

Sebab itu agaknya, ramai orang Melayu masih menyokong pemimpin-pemimpin sejijik ini kerana mereka berpangkat Datuk Seri atau Tun dan mempunyai kereta-kereta besar.

Orang Melayu memang suka pandang gaya dan bukannya isi. Perbuatan menyokong pemimpin yang hampir membankrapkan negara juga adalah akhlak buruk.

Dalam negara kita, ada juga orang Melayu yang nak beli setin susu anak pun susah, tetapi orang Melayu masih buta, memandang pemimpin rasuah sebagai ketua yang dihormati.

Terdapat pemimpin Melayu yang memfitnah, mencaci dan mencerca ahli politik lawan, tetapi mereka masih disokong. Kenapa? Sebab khutbah Jumaat tak sebut yang ianya akhlak buruk dipandang Islam dan lagipun mereka ini adalah pemimpin parti berteraskan Melayu atau Islam.

Akhir sekali, akhlak buruk yang perlu dimasukkkan khutbah termasuk juga golongan cerdik pandai Islam di universiti-universiti tempatan yang senyap tidak menegur akhlak buruk kepimpinan dan golongan agamawan.

Golongan profesor yang suka membodek pemerintah dengan “kajian-kajian” lemah serta mereka yang tidak ingin langsung berkongsi ilmu dengan rakyat patut ditegur sebagai akhlak buruk berkepentingan peribadi.

Golongan ahli akademik hanya memikirkan periuk nasi masing-masing mengharapkan wang, pangkat dan kehormatan pemerintah, maka mereka lupakan amanah ilmu yang dikurniakan Allah untuk dikongsi bagi kebaikan alam semesta.

Sebagai penutup, saya menggesa pucuk kepimpinan negara dan raja-raja Melayu menitikberatkan akhlak buruk moden dan bukan akhlak buruk tradisional semata-mata.

Malaysia kini berada di kurun ke-21 dan bukan kurun ke-8 atau ke-10 Masehi. Umat Islam di Malaysia adalah sebahagian keluarga rakyat daripada agama dan kepercayaan lain dalam negara ini.

Umat Islam juga adalah sebahagian rakyat dunia yang boleh menyumbang kepada keharmonian dan kelestarian hidup bersama.

Model politik dan persefahaman antara kaum serta kepercayaan telah berubah dek kajian ilmiah sains sosial yang berlangsung lebih seabad.

Penulis-penulis khutbah perlu mendonggak kepala mereka daripada hanya berkiblatkan kitab-kitab lama, tetapi menyorot kefahaman sosio-politik dan sosio-budaya semasa.

Jika tidak, penulis-penulis khutbah Jumaat ini bakal menjadi perosak konsep negara bangsa dan pemusnah ketamadunan manusia dengan pemikiran cetek dan ketinggalan zaman.