Selain bantu Anwar, Dr M ke Port Dickson buktikan PH bersatu

Dalam sejarah kebiasaan politik negara ini, perdana menteri tidak turun berkempen di pilihan raya kecil (PRK), tetapi Tun Dr Mahathir Mohamad sudah turun ke Port Dickson untuk berkempen membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengapakah perkara ini berlaku? Sebabnya waktu ini, negara berada dalam zaman Malaysia Baharu, berbeza dengan keadaan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu. Malaysia Baharu menuntut perilaku politik berbeza.

Walaupun hanya PRK, tetapi ia bukanlah pilihan raya biasa yang disebabkan kematian. Ia merupakan langkah besar yang membuatkan pengundi Port Dickson dapat menentukan siapakah bakal pengganti Dr Mahathir.

Turunnya Dr Mahathir berkempen bertujuan menghapuskan dakwaan beliau tidak menyokong Anwar menjadi perdana menteri. Walaupun berulang kali Dr Mahathir menyatakan beliau akan menepati perjanjian Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk Anwar menggantikannya, tetapi cakap-cakap itu terus dipanjangkan.

Satu perhimpunan awam PH yang menempatkan semua pemimpin PKR, PPBM, DAP dan Amanah di satu pentas sudah diadakan, tetapi paling penting ialah Dr Mahathir dan Anwar hadir bersama.

Jadi, dari satu sudut, kehadiran perdana menteri dalam kempen PRK Port Dickson bukan semata-mata untuk memberi kemenangan kepada Anwar sebagai ahli Parlimen, tetapi lebih penting lagi untuk menunjukkan PH bersatu.

Sokongan Dr Mahathir dipercayai mampu menambah undi untuk calon PH di PRK Port Dickson, walaupun Anwar sendiri mampu mencapai kemenangan. Mesej perdana menteri kepada pengundi adalah turun mengundi kerana selalunya rakyat kurang berminat terhadap PRK.

Bagi mereka yang hatinya lebih berpaut kepada Dr Mahathir dan bukannya PH, maka mereka boleh sengaja tidak turun mengundi.

Begitu juga mereka yang menyokong PH, dalam erti kata lain menolak Barisan Nasional (BN), PRK ini tidak mempunyai makna kerana kemenangan tercapai dalam PRU lalu, tambahan pula BN tidak bertanding.

Malah, perdana menteri juga mengatakan PRU baru saja berlalu dan mungkin ramai orang menjadi kurang berminat. Lebih-lebih lagi orang ramai sudah berasa letih untuk mengikuti perkembangan politik Malaysia Baharu yang penuh kejutan.

Tetapi, PRK ini penting bukan saja bagi Anwar untuk menjadi perdana menteri, lebih-lebih lagi pada negara.

Bakal pengganti Dr Mahathir mesti disediakan untuk meneruskan kelangsungan Malaysia Baharu. Maknanya Anwar mesti menang besar bagi menunjukkan kekuatan sosok politiknya.

Tetapi bukan itu saja, kemenangan besar Anwar juga penting bagi PKR dan PH. Sementara kekuatan PH terletak pada perpaduan parti-parti anggotanya, perpaduan PH ini adalah kunci kejayaan Malaysia Baharu.

Kerajaan persekutuan PH merupakan tonggak Malaysia Baharu, ia mempunyai naratif tersendiri untuk menjayakannya.

Walaupun ia kelihatan berkecamuk dan kompleks, tetapi pergerakan strukturnya adalah jelas dan berfokus, iaitu bagi mereka yang mahu melihatnya sedemikian.

Jadi, naratif penting dalam PH ialah Anwar akan menggantikan Dr Mahathir suatu hari kelak. Walaupun ia tidak jelas bila, tetapi anggarannya sudah dapat diteka, iaitu dalam sekitar 2 tahun. Namun, ia bersifat terbuka dan perubahan tetap boleh dilakukan Majlis Presiden.

Hubungan baik Dr Mahathir dan Anwar adalah kunci kepada kerajaan PH, tetapi ia perlu didokong padu semua parti komponen, terutama PPBM dan PKR.

Sebarang cabaran politik dari dalam terhadap perpaduan pengerusi dan ketua umum PH itu datangnya daripada kedua-dua parti. Bagi DAP dan Amanah, sokongan mereka terhadap gabungan Dr Mahathir-Anwar tidak ada sebarang tanda masalah.

Cabaran dari dalam kalangan PPBM dan PKR berbentuk penolakan silang. Maksudnya, ada orang PPBM yang tentunya penyokong Dr Mahathir menolak Anwar sebagai perdana menteri.

Ia bukanlah bermakna mereka anti-PKR. Mereka boleh menerima pemimpin lain daripada PKR, tetapi bukan Anwar, umpamanya Datuk Seri Azmin Ali.

Sementara ada kalangan PKR pula yang menolak Dr Mahathir, mereka tidak dapat menerima Dr Mahathir sebagai perdana menteri. Penerimaan mereka terhadap beliau sebagai ketua kerajaan dan pemimpin PH hanya berasaskan persetujuan Anwar serta keadaan sebelum PRU lalu.

Dari sudut lain, keadaan ini merupakan beban politik yang ditanggung kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar sebagai pewaris atau lanjutan kepada krisis di antara mereka ketika berada dalam Umno. Ia jelas dapat difahami dengan melihat PPBM dan PKR sebagai pecahan daripada Umno.

Ia berbeza dengan sikap ahli-ahli politik DAP dan Amanah yang pernah menentang Dr Mahathir dan Anwar ketika mereka dalam Umno dahulu.

Sebagai ahli-ahli politik yang selama ini menjadi pembangkang, mereka berasa gandingan Dr Mahathir-Anwar merupakan gandingan politik terbaik untuk DAP dan Amanah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Kedua-dua parti itu pastinya berusaha mempertahankan PH tidak berpecah. Walaupun mereka sendiri tidak akan mempunyai mimpi untuk menjadi parti dominan, tetapi apa yang mahu dipastikan ialah perpaduan Dr Mahathir-Anwar dan PPBM-PKR.

Orang menyebut DAP dan Amanah tidak akan mahu “rock the boat” (gegarkan kapal) ketika berlaku sebarang perbalahan antara PPBM dan PKR.

PH boleh digambarkan sebagai kapal dengan Dr Mahathir dan Anwar sebagai nakhoda, manakala PPBM dan PKR pula berada di dek atas, DAP dan Amanah berada di dek bawah, mendayung serta memastikan kapal tidak bocor atau karam.

Apapun kegelisahan atau riuh-rendah di atas dek, tidak akan mempengaruhi mereka yang berada di bawah. DAP dan Amanah menjadi pihak yang menstabilkan kapal.

Namun, jika perbalahan mereka di dek atas menjadi tidak terkawal, pihak yang berada di bawah tidak akan dapat menyelamatkan kapal.

Akhir sekali, apa yang perlu dipertahankan adalah nilai asal didokong PH, serta apa bentuk Malaysia Baharu yang mereka berazam untuk bina. Maknanya, dalam persilatan dan percaturan politik oleh pemimpin-pemimpin dan parti, ada dasar yang menjadikan dokongan mereka itu bernilai.

Untuk melihat nilai asal ini, apa yang perlu dilakukan para pendokong PH adalah “kembali ke pangkal jalan”. Apakah pangkal jalan PH? Ia adalah apa yang mendorong mereka semua bersepakat, iaitu menentang kleptokrasi BN dan Umno.

PPBM muncul kerana mahu perjuangan bangsa yang bersih, PKR pula lahir daripada azam Reformasi atau pembaharuan terhadap negara.

DAP lahir daripada tuntutan demokrasi, sementara Amanah muncul bagi melaksanakan gagasan rahmat untuk semua. Inilah nilai-nilai yang menjadi asas kepada Malaysia Baharu.

Jadi, apa yang berlaku di Port Dickson dengan Anwar menyertai PRK di situ untuk ke Parlimen dan Dr Mahathir turun berkempen bagi mempertahankan perpaduan PH, dengan seluruh rakyat Malaysia menyaksikannya bersama perasaan bercampur baur.

Tetapi, Malaysia Baharu yang dibawa kedua-duanya membawa nilai-nilai pembaharuan yang hanya dapat dilaksanakan sepenuhnya, jika diberi sokongan berterusan oleh majoriti rakyat negara ini.